TINTA MINDA

SAHABATKU, SEMOGA KAU TENANG DI SANA

24/08/2021 09:42 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Dr Jeniri Amir

Saya mulai mengenali Openg Onn Net (bekas editor Bernama dan pengasas bersama Bernama Radio) selepas menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia pada 1982. Saya masih ingat 39 tahun lalu bagaimana perkenalan itu bermula. Tidak lama selepas perkenalan pertama di satu majlis sastera anjuran sebuah persatuan penulis, beliau membawa saya makan sate terkenal berdekatan Panggung Rex di Kuching. Peristiwa itu amat membekas di hati saya.
Beliau bukan kawan, tetapi seorang sahabat. Ya, sahabat sejati yang sering memberi dorongan, menyenangkan hati, dan membawa kita ke arah kebaikan. Beliau ialah insan yang sentiasa menghulurkan tangan ketika kita jatuh. Openg adalah bagai roda yang terus berputar, sahabat yang membuat lokomotif hidup terus berjalan. Ya, sejak itu persahabatan kami terus mesra, harmoni dan dan berkembang. Tidak syak lagi, Openg Onn yang dilahirkan 10 Jun 1959, merupakan sahabat saya paling akrab. Kami sering mengongsikan suka duka kehidupan bersama.

Kecintaan pada bidang penulisan

Kami berdua mulai memupuk minat dalam bidang sastera ketika pada awal 1980-an khususnya dalam penulisan cerpen dan puisi. Openg yang saya panggil “Peng” dan saya yang beliau panggil “Jen”, terus aktif dan berjumpa dalam pelbagai aktiviti sastera dan penulisan. Malah, beliau pernah memenangi peraduan penulisan cerpen anjuran DBP Sarawak. Perjalanan beliau sebagai penulis dan wartawan begitu panjang dan berliku, bermula sebagai pemberita di RTM Kuching pada Mei 1979, sebelum menyertai Bernama sebagai wartawan pada Ogos 1985. Itu merupakan titik tolak penting dalam kerjayanya.
Kerjayanya di Bernama terus menyinar. Beliau menjadi wartawan kanan di Kota Kinabalu dari 1992 sebelum dilantik sebagai Ketua Biro di Sabah dari 1994 hingga 1997. Beliau menjadi Ketua Biro Bernama Sarawak dari Oktober 1997 hingga 1999.
.
Beliau terus mempertajam bakatnya dalam penulisan genre berkenaan. Kami mempunyai minat yang sama, iaitu membeli dan membaca buku. Itulah sebabnya, ketika beliau di Jakarta sebagai pewarta Bernama di kota 12 juta jiwa itu, saya sering mengunjungi beliau di sana. Setiap kali saya hadir di Jakarta, beliau dan keluarga akan menyambut mesra kedatangan saya. Openg bertugas di sana selama enam tahun, dan tempoh berkenaan beliau menyaksikan pemerintahan empat presiden, termasuk kejatuhan Suharto pada 1998 ketika Indonesia bergelora.

Kesempataan pertama beliau menjejakkan kaki ke Jakarta adalah pada 1989 apabila dipilih untuk menyertai sekumpulan wartawan dari Sarawak melawat kota berkenaan dan Bandung.
Meskipun lawatan itu hanya lima hari, tetapi ia diakuinya meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwanya. Sebab, bukan saja Indonesia sebuah negara yang menarik dengan pelbagai warna-warni kehidupan, tetapi itu merupakan lawatan pertama beliau ke luar negara. Pada 1994, beliau sekali lagi dipilih menyertai program pertukaran Wartawan Asean selama sebulan. Program itu membawa beliau ke semua enam negara Asean, termasuk Indonesia. Beliau akui tidak pernah terfikir untuk bertugas di negara itu, melewati empat presiden dan dua pilihan raya umum dan pilihan raya presiden secara langsung yang pertama.

Galas cabaran tugas di Jakarta

Openg mempunyai tujuh orang anak, termasuk seorang dilahirkan di Jakarta. Saya berseloroh dengan beliau mengapa tidak beri nama anak lelaki itu sedikit ciri keindonesiaan. Beliau bersetuju dengan saya dan menyatakan sedikit kekesalannya, setidak-tidaknya sebagai ingatan pernah tinggal lama di Jakarta. Beliau mengakui seronok bertugas di Jakarta dan amat berterima kasih kepada ketuanya Pengurus Besar Bernama, Datuk Syed Jamil Jaafar dan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Seri Azman Ujang. Sepanjang berada di Jakarta, saya tinggal di rumahnya yang lengkap dengan pemandu dan pembantu rumah.
Beliau akan menyediakan kereta dengan supirnya sekali untuk saya berkelana di jantung kota Jakarta manakala beliau berada di pejabat. Kami yang suka makanan Sunda akan makan bersama-sama di restoran kegemaran beliau, sambil pada waktu lapang, mencari buku di pelbagai kedai buku, terutama Gramedia. Seperti diakui Azman Ujang, satu daripada kejayaan beliau adalah ketika bertugas di Jakarta. Beliau tidak putus-putus menghasilkan berita dan rencana yang menarik tentang pergolakan politik Indonesia, dan isu-isu lain yang menarik perhatian dari 1999 hingga 2004.

Pada tahun pertama di Jakarta, beliau tidak membawa isteri dan anak-anaknya dan kerana itu beliau pulang bercuti setiap dua atau tiga bulan sekali ke Kuching. Pada minggu-minggu awal di Jakarta beliau mencatatkan: “Sehingga kini saya masih belum mengerti apakah hikmah di balik perpindahan tugas ini. Tetapi saya menganggapnya sebagai satu rahmat dan kesempatan yang tidak diberikan kepada semua orang. Apatah lagi waktu pertukaran tugas ini datang pada waktu yang ‘amat sesuai sekali.”

Beliau menyahut cabaran itu, dan ternyata kemudiannya ketuanya di Kuala Lumpur amat berpuas hati dengan prestasi kerjanya. Ketika balik ke Kuchinglah saya menganjurkan supaya beliau menulis pelbagai isu tentang Indonesia. Akhirnya, 98 tulisan berkenaan pelbagai isu dan perkara tentang negara 17,000 pulau itu diterbitkan dalam buku Indonesia: Dari Sebuah Jendela - Satu Catatan Kewartawanan.
Terus terang, buku ini wajib dibaca oleh wartawan dan mereka yang ingin tahu dengan mendalam tentang negara itu.

Melalui buku ini beliau mencatat secara naratif dan mengikut kronologi peristiwa dan detik bersejarah yang menjadi kebanggaan dan kejayaan, tetapi juga rintihan dan kekesalan rakyat Indonesia.
Buku itu bukan sahaja ditulis dengan serius dan mendalam, tetapi dengan gaya khas Openg Onn. Beliau mengakui menyiapkan buku setebal 667 halaman itu bukan tugas mudah, tetapi penuh ujian dan cabaran. Beliau pernah mengaku kepada saya, bagai hendak menyerah kalah, tetapi saya terus memberi galakan kepada sahabat baik saya itu agar jangan patah semangat, sebaliknya terus sabar dan tekun menyiapkannya.

Saya akhirnya bangga kerana buku pertama nukilannya itu berjaya diterbitkan oleh Pekan Ilmu pada 2007. Saya terharu apabila membaca penghargaan panjang beliau terhadap saya dalam buku itu, semalam.
Bahasanya cukup memikat, pasti kerana dipengaruhi kekuatan ekspresi bahasa Indonesia hasil minat dan kesungguhan beliau membaca antara lain majalah Tempo dan Gatra, selain begitu banyak akhbar harian lain yang perlu dibacanya.Akhirnya, Openg dibawa balik ke ibu pejabat Bernama di Kuala Lumpur pada hujung 2004 sebagai Timbalan Editor Perkhidmatan Antarabangsa. Selepas itu beliau menulis sebuah lagi buku biografi bertajuk “Dari Seorang Pramugara Ke Juruterbang” yang memaparkan pengalaman seorang juruterbang.

Cetus idea penubuhan Bernama Radio

Beliau adalah antara pengasas utama Bernama radio yang sudah berusia 14 tahun. Ketika di Indonesia dan berada dalam kesesakan dahsyat kota berkenaan, kami sering mendengar radio Elshinta oleh Salim Group yang pertama kali ke udara pada 14 Februari 1968. Radio berita 24 jam itu menarik kerana sering memaparkan berita terkini dan panas dari seluruh Indonesia. Ketika terperangkap selama lima jam untuk perjalanan tujuh kilometer, beliau menyatakan kepada saya hasratnya untuk mengemukakan cadangan itu kepada Bernama. Rupa-rupanya, idea itu menjadi kenyataan. Bagaimana beliau dapat meyakinkan dan memujuk pihak pengurusan tertinggi dan meyakinkan Menteri Penerangan ketika itu adalah sesuatu yang menakjubkan. Jadi, ini merupakan antara legasi penting Openg.

“Tidak ternilai jasa dan khidmat bakti beliau kepada Bernama di samping prestasi kerja yang cemerlang dan keperibadian yang merendah diri dan mantap,’ kata Azman Ujang, mantan ketua beliau di Bernama dalam Whatsapp kepada saya. Bagi saya Openg Onn ialah teman yang penyabar, ikhlas, sentiasa berusaha untuk membantu, tidak pernah merungut atau mencetuskan konflik.
Beliau pencen awal selepas bertugas di Radio Bernama, dan saya agak terkejut dengan tindakannya menyertai bidang perniagaan. Namun, tetapi memberi dukungan dan galakan kepada beliau sambil berdoa agar beliau berjaya dalam perniagaannya. Beliau begitu teruja membuka kilang mengeluarkan ‘interlocking brick’ malah, berjaya membina lebih daripada 30 buah rumah dengan menggunakan bahan tersebut.
Saya kagum dengan kesungguhan dan pencapaiannya itu meskipun ia bidang baharu baginya. Tetapi disebabkan kesediaan dan kesungguhan mempelajari selok-belok bidang berkenaan, beliau mampu melakukannya.
Beliau mengakui kesukaran, lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19 melanda negeri ini mulai awal tahun 2020. Sekali-sekala beliau akan singgah di rumah saya, dan membawa saya melihat rumah yang dibinanya, sama ada yang sudah siap ataupun dalam proses pembinaan. Sering pula kami akan singgah di kedai minum atau makan sekembali daripada lawatan berkenaan. Ketika makan atau minum di pelbagai kedai di Kuching, kami sering bertukar-tukar fikiran dan cerita mengenai pelbagai isu semasa termasuk politik, penulisan dan dunia buku.

Tewas kerana kanser

Suatu hari sekitar April lalu, saya menerima mesej melalui Whatsapp daripada beliau menyatakan beliau mungkin dijangkiti kanser. Tentu berita itu mengejutkan saya. Lalu, saya segera menemui beliau di rumah adiknya keesokannya. Sejak itu saya beberapa kali ke rumahnya, sambil kami berbalas-balas mesej melalui WhatsApp. Pada 5 Mei, saya menerima mesej daripada Openg bahawa beliau berasa banyak perubahan selepas menerima rawatan.
“Dah dapat tidur juga dan rasa sakit kaki dah kurang, cuma ada gatal-gatal di kaki.” Beliau mengakui begitu terkesan tak dapat tidur oleh penyakit itu. Saya berdoa agar beliau dapat menjalani kehidupan seperti biasa. Selepas itu, beliau menghubungi saya kembali, meminta pandangan tentang buku yang beliau tulis dan hal penerbitan serta kulit buku berkenaan. Entah bagaimana pada suatu petang, beliau tiba-tiba muncul di pejabat saya di MetroCity. Saya pun bertanya khabar terutamanya perkembangan rawatannya. Openg mengakui keadaannya bertambah baik. Saya bersyukur.

Namun, pada 18 Ogos, saya menerima satu mesej daripada beliau berbunyi: “Assalamulaikum. Saya ditahan di SGH sejak Isnin untuk menjalani angioscopy for my lung complication. The procedure is to fix a stent to block my cancer tumor from spreading and blocking my trichia.
The procedure was done yesterday but failed. So, the doctor have to do it again in the OT with me on full sedation. According to the doctor, the risk is quite high. I mohon doa from you, for my health.”

Saya tidak dapat menyembunyikan rasa risau saya. Namun, saya terus berdoa agar sahabat baik saya itu selamat. Sebenarnya kanser yang beliau hadapi sudah mulai mengecil agak banyak dengan ubat yang diambilnya. Tetapi selepas dua bulan, ia tumbuh kembali. Jadi, doktor terpaksa menukar rawatan kepada kemoterapi. Openg mengakui kanser mulai tumbuh di paru-paru beliau menyebabkan beliau sesak nafas dan batuk-batuk.

Saya berasa amat risau dan sedih dan sentiasa berdoa agar beliau sembuh dan selamat. Beliau menjawab dalam satu mesej singkat: “You had help kept me strong and determined.”
Pada 19 Ogos, saya menerima satu lagi mesej, memberitahu pembedahan berjalan baik, dan bahawa beliau sedar pada jam 4 petang. Saya semak balik waktu beliau menghantar mesej itu ialah jam 7.17 malam. Beliau menyatakan ketika itu sudah berada di wad hospital tetapi mengakui badannya masih lemah. “Terima kasih atas keprihatinan dan doa semua. Thanks for keeping me going,” katanya.
Saya terus menelefon beliau dan menyatakan harapan agar beliau sembuh dan kuatkan semangat. Suara Openg sudah kedengaran amat lemah, dan bergetar. Hati saya terasa amat pilu. Saya tidak dapat tidur nyenyak malam itu, kerana terus teringatkan beliau. “Terus kuatkan semangat. Be strong,” saya hantar mesej sekali lagi.
I will. Insya-Allah,” balas beliau singkat.

Rupa-rupanya itu ialah kali terakhir saya bercakap dengan teman karib selama 39 tahun itu. Itulah juga mesej terakhir beliau kepada saya. Haji Openg Onn, 62, telah menghembuskan nafasnya yang terakhir malam semalam, 22 Ogos 2021 di Hospital Umum Sarawak. Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Samariang tengah hari semalam.

Beliau yang terkenal sebagai wartawan dan insan yang tidak mudah menyerah kalah itu akhirnya ditewaskan oleh kanser tahap empat yang menyerang beliau sejak awal tahun ini.
Semoga kau tenang di sana sahabatku. Al-Fatihah.

-- BERNAMA

Dr Jeniri Amir merupakan Felo Kanan Majlis Profesor Negara.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)