TINTA MINDA

BENCANA BANJIR DI YAN, KEDAH : SALAH SIAPA?

25/08/2021 10:06 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Zulkarnain Hassan

Terkejut dan tidak dijangka, tempat manda-mandi kami sekeluarga sejak saya berkhidmat di universiti di Utara Semenanjung Malaysia, iaitu kawasan peranginan di sekitar Yan, Kedah, telah dibadai “tsunami” akibat fenomena kepala air yang bermula di Gunung Jerai pada 20 Ogos 2021. Kawasan yang indah dan cantik, serta damai daripada hiruk piruk kota, dengan sekelip mata hilang ekoran kejadian bencana ini. Media melaporkan, beberapa buah kampung di sekitar kaki Gunung Jerai seperti di daerah Yan, Gurun dan Merbok dilanda banjir kilat.

Fenomena kepala air seteruk ini yang telah mengorbankan enam nyawa, tidak pernah berlaku dalam sejarah dan dikatakan sungai sedia ada yang kecil melebar keluasanya dan menjadi lebih deras berbanding sebelumnya, sehingga meranap beberapa kawasan peranginan sepanjang sungai dan air terjun berhampiran Gunung Jerai, seperti Taman Rekreasi Titi Hayun dan Pusat Peranginan Alang Kenari. Manakala beberapa kawasan di kaki Gunung Jerai turut mengalami tanah runtuh, akibat fenomena kepala air yang berpunca dari puncak gunung berkenaan.

Salah Siapa?

Melihat keadaan dan kejadian luar biasa “kepala air” dari puncak Gunung Jerai sehingga mengakibatkan banjir besar ini, ramai yang menunding jari kepada isu pembalakan dan kuari yang dikatakan aktif berjalan di sekitar kaki gunung tersebut. Mungkin benar atau mungkin tidak penyataan ini. Kejadian seperti ini perlu dilihat secara holistik dan menyeluruh, kerana pembentukkan kadar air sungai daripada kawasan tadahan bersifat dinamik dan berkait dengan pelbagai faktor.

Menurut kenyataan media oleh Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) iaitu Datuk Seri Zaini Ujang, taburan hujan lebat luar biasa dengan keamatan yang tinggi telah berlaku di sekitar Gunung Jerai dengan jumlah kumulatif tertinggi hujan bagi tempoh 1 jam adalah 91 mm serta Kala Kembali Purata (KKP) melebihi 70 tahun.

Hujan lebat ini terutama hujan di kawasan puncak gunung menyebabkan limpahan air sungai, sehingga membawa halangan kayu dan pokok sepanjang laluan air sungai. Hujan dan cuaca lembab sepanjang minggu ini di sekitar kawasan utara Semenanjung Malaysia, terutama kawasan yang terlibat dalam bencana ini, menyebabkan kawasan tadahan air menjadi tepu iaitu tidak dapat menyerap dan menampung dengan baik air hujan. Ditambah dengan faktor keamatan hujan yang tinggi, kemungkinan kawasan tadahan tersebut tidak dapat menampung lagi hujan yang lebat dan ianya menyebabkan fenomena kepala air.

Pembangunan dan guna tanah yang tidak sistematik seperti pembersihan kawasan hutan untuk dijadikan kawasan pertanian, pembalakan, penempatan dan bentuk aktiviti pembangunan yang lain turut menyumbang kepada faktor banjir. Kita boleh lihat kesan aktiviti pertanian secara haram kepada banjir dan tanah runtuh di Cameron Highlands, Pahang. Dalam konteks dan isu fenomena “kepala air” di kaki Gunung Jerai, kawasan puncak dan sekitar Gunung Jerai telah diwartakan sebagai Hutan Perlindungan. Oleh itu, isu melibatkan pembalakan dan penebangan hutan di kawasan Gunung Jerai bukan penyebab utama kepada fenomena kepala air yang luar biasa ini. Bagaimanapun, faktor ini tidak boleh diabaikan oleh pihak berwajib dan seharusnya kajian yang menyeluruh perlu dibuat bagi melihat kesan banjir akibat pembangunan dan guna tanah.

Langkah Mengatasi dan Mitigasi Bencana

Proses pembentukan sungai adalah dinamik dan saling berkait dengan pelbagai faktor. Kawasan pergunungan dan bukit menjadi “magnet” kepada awan dan curahan hujan yang tinggi biasanya terjadinya di kawasan pergunungan. Seharusnya, kajian yang holistik dan menyeluruh perlu dibuat bagi mitigasi permasalahan banjir dan fenomena “kepala air” daripada terjadi di kawasan kaki Gunung Jerai.

Sebagai permulaan, kawasan risiko iaitu kawasan terjadinya bencana dan laluan kepala air perlu dikenalpasti melalui kajian penilaian risiko dan pemetaan. Dengan kajian ini, kita dapat mengetahui dengan jelas di mana kawasan di kaki Gunung Jerai yang akan terkesan jika fenomena “kepala air” berlaku lagi. Ini dapat memberi langkah awal kepada penduduk setempat yang terjejas dengan masalah ini. Di samping itu, kajian seperti ini dapat membantu pihak bertanggungjawab bagi mengambil tindakan awal yang berkesan bagi mengelak kejadian seperti ini berlaku sekali lagi, seperti pembinaan struktur mitigasi, perpindahan penduduk di kawasan yang berisiko dan sebagainya.

Kajian komprehensive dan menyeluruh juga perlu dijalankan bagi mengkaji punca kepada isu banjir ini, kesan kepada penduduk, serta langkah mitigasi yang sesuai bagi menghadapi fenomena ini untuk jangka masa panjang. Data-data hidrologi (seperti hujan dan kadar aliran air), topografi, parameter hidraulik, serta guna tanah bagi kawasan tadahan tersebut perlu dimodelkan dengan simulasi komputer bagi mendapatkan jawapan yang lebih tepat kepada punca berlakunya permasalahan bencana ini, seterusnya langkah berkesan dapat dibuat oleh pihak berwajib melalui hasil daripada kajian komprehensif ini.

Banyak kajian seperti ini pernah dilakukan di kawasan yang lain, dan saya percaya, pihak berwajib seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) amat pakar dalam bidang ini. Kita boleh lihat, bagaimana kejayaan projek-projek tembatan banjir di kawasan pembangunan pesat Kuala Lumpur yang diselia oleh JPS, yang berjaya mengawal isu banjir secara berkesan dan seterusnya mengurangkan kesan banjir.

Kesimpulan

Semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan, universiti, syarikat swasta, serta masyarakat perlu memainkan peranan dan berganding bahu dalam mencari titik noktah bagi permasalahan dan isu banjir di kawasan kaki Gunung Jerai. Ekosistem alam sekitar kita yang rapuh, boleh musnah ditangan kita dan boleh mendatangkan kemudaran kepada kita seperti berlakunya bencana ini tanpa disangka dan cepat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dia (yakni Allah) menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah lembah (dengan airnya) menurut kadar ditetapkan Tuhan untuk faedah makhluk-Nya." (Al-Ra'd: 17).

Ayat ini menunjukan kadar air hujan yang turun ke permukaan bumi bersesuaian dan memberi manfaat kepada seluruh makhlukNya, termasuk manusia. Oleh itu, air membawa manfaat yang cukup besar kepada kehidupan kita dan kita seharusnya menjaga alam sekitar supaya tidak rosak. Konsep kesejahteraan alam sekitar dan pembangunan lestari perlu diamalkan, khususnya kepada pihak berwajib supaya ekosistem sedia ada terjaga dan memberi manfaat pada semua.

-- BERNAMA

Zulkarnain Hassan merupakan Pensyarah Kanan dan ahli hidrologi daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam, Universiti Malaysia Perlis.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)