TINTA MINDA

Awas Bahaya Arsenik Dalam Air Bawah Tanah Di Kemboja

10/09/2021 09:30 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff

Setiap kali menjelang perayaan Hari Raya Korban, akan meriah badan bukan kerajaan (NGO) Islam di Malaysia mempromosikan ibadah korban di luar negara, terutama di negara miskin atau negara yang sedang bergelut dengan krisis peperangan. Antara negara yang popular dipromosikan adalah Kemboja. Keperitan hidup umat Islam di Kemboja telah menjadi satu tarikan untuk umat Islam di Malaysia menunaikan ibadah korban di sana, manakala daripada segi sejarah, Kemboja mempunyai kaitan rapat dengan rumpun Melayu di Nusantara.

Seringkali juga ibadah ini ditambah nilai dengan mempromosikan amal yang menarik seperti membina masjid, membantu pelajar madrasah dan wakaf telaga tiub. Dengan berpandukan hadis tentang ganjaran pahala untuk mereka yang membina perigi tiub seperti “sungai yang dialirkan untuk kepentingan orang ramai”, maka tidak hairanlah ramai yang memilih untuk membina perigi tiub untuk diwakafkan pada diri mereka atau ahli waris yang telah meninggal dunia.

Sejarah Kemboja

Kemboja mempunyai catatan sejarah kuno dan moden yang menarik. Pernah diperintah dengan kejam oleh Khmer Rouge antara tahun 1975 hingga 1979 yang menyebabkan kematian sehingga 2 juta orang, diikuti dengan kerajaan campuran yang dipengaruhi oleh Vietnam dan sentiasa bergolak dengan peperangan gerila. Akhirnya kembali disatukan dibawah pemerintahan beraja pada 1993.

Pada masa ini, Kemboja dikategorikan sebagai antara negara termiskin dunia dengan pendapatan per kapita hanya USD$260 (RM1,079) dengan kebanyakkan penduduk bergantung kepada pengusahaan pertanian secara kecil kecilan. Penduduk Kemboja kini mencecah 17 juta orang dengan lebih 4 juta (~24 peratus) orang menetap di kawasan bandar. Di Phnom Penh sahaja, penduduknya adalah 1.5 juta orang.

Kekangan sumber air

Penduduk di kawasan bandar atau berhampiran dengan bandar tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan air bersih. Adalah dianggarkan 3.4 juta orang yang menetap jauh di kawasan pendalaman tiada akses kepada bekalan air. Dalam erti kata yang lain, dua daripada 10 orang penduduk Kemboja tidak mendapat bekalan air bersih. Jika kita berkunjung ke kawasan ini, kita akan mendapati sekeliling rumah mereka dipenuhi dengan tempayan besar yang digunakan untuk menampung air hujan sebagai air minuman.


Akan tetapi, punca bekalan air ini tidak berpanjangan kerana negara ini juga mempunyai musim kering antara bulan Oktober dengan April. Ini bermakna, mereka perlu mendapatkan sumber air lain dan sumber yang paling mudah adalah dari air bawah tanah. Akan tetapi, pengerudian telaga tiub ini juga memerlukan kos antara USD$300 (RM1,245) hingga USD$500 (RM2,075), bergantung kepada kedalaman pengerudiannya. Maka di sinilah, NGO dan agensi lain serata dunia menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

NGO dari Malaysia, terutamanya NGO Islam tidak ketinggalan untuk membantu saudara seIslam yang banyak menetap di Kampong Cham dan Kampung Chnang bagi tujuan yang sama. Akan tetapi, sebilangan besar penderma dan juga NGO ini tidak mengetahui terdapat masalah lain di sebalik sumber air dari telaga tiub ini.

Risiko pencemaran air bawah tanah

Secara umumnya, air bawah tanah merupakan sumber air terpenting di Kemboja, membekalkan lebih 95 peratus air untuk kegunaan harian dan pertanian. Air bawah tanah diperolehi dengan cara dua kaedah iaitu pengalian perigi besar dan cetek sedalam tiga hingga lima meter dan pengerudian telaga tiub, yang kebiasaannya 30 meter dan boleh mencecah sehingga beberapa ratus meter dalam, bergantung kepada strata geologi kawasan tersebut.

Masalah dengan perigi cetek adalah kualiti air yang tidak berapa baik dan mudah dicemari dengan mikrob. Air daripada telaga tiub dari kacamata umum dilihat sangat jernih, maka tidak hairanlah kenapa perigi tiub menjadi pilihan. Bagaimanapun, jenis bahan kimia bahan terlarut dalam air bawah tanah ini tidak semestinya baik. Arsenik contohnya, adalah sebatian toksik yang biasa terdapat dalam air bawah tanah. Sebatian ini mudah larut, tidak berwarna, tidak berbau dan tidak mempunyai rasa. Sifat toksik sebatian yang sebeginilah yang menyukarkan pihak berkuasa untuk menghalang orang ramai daripada menggunakan air tersebut yang pada zahirnya sangat jernih.

Kesan keracunan arsenik

Tahap kepekatan arsenik yang dibenarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk air minuman adalah 10 ppb (bahagian per billion). Arsenik akan membawa kesan kronik. Dari segi kesihatan, pengambilan arsenik yang berlebihan daripada yang dibenarkan oleh WHO boleh mengakibatkan keracunan arsenik atau arsenikosis. Kesan arsenikosis boleh didiagnos bermula tompok-tompok kehitaman pada kulit terutamanya lengan dan kaki. Sekiranya air minuman yang tercemar dengan arsenik diambil berterusan, dalam jangka masa yang panjang, biasanya antara lima hingga 10 tahun boleh mengakibatkan berlakunya melanosis, keratosis dan berakhir dengan kanser kulit terutama bahagian kaki.


Wilayah Kandall (satu wilayah berhampiran dengan Phnom Penh) merupakan salah satu wilayah yang mempunyai kandungan arsenik yang tinggi dalam air bawah tanahnya, menjangkau sehingga 1600 ppb.

Punca arsenik

Pada masa ini, dianggarkan terdapat 200 juta orang di dunia ini yang bergantung kepada sumber air bawah tanah yang dicemari dengan arsenik. Dari manakah datangnya arsenik ini? Kebanyakkan masalah arsenik dalam air bawah tanah berpunca daripada mobilisasi sebatian unsur tersebut dalam keadaan semulajadi. Akibatnya, air bawah tanah berada dalam persekitaran kawasan geologi yang mengandungi arsenik akan tercemar seperti yang berlaku di Bangladesh, India, Nepal, Pakistan dan beberapa negara di Indo-Cina.

Kehadiran arsenik secara semulajadi dalam air bawah tanah yang menjadi sumber minuman sebahagian penduduk di Kemboja mula diketahui apabila Kementerian Industri, Perlombongan dan Tenaga (MIME) bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (MRD) melakukan kajian bersama pada tahun 1999. Ujian saringan untuk mengenal pasti bahan kimia berbahaya telah dilakukan ke atas hampir 100 sumber minuman dari kawasan bandar dan luar bandar di 13 wilayah. Hasilnya, hampir 11 peratus daripada sumber air bawah tanah dari lima wilayah didapati mengandungi arsenik yang melebihi tahap yang dibenarkan oleh WHO.

Bagaimanapun, hanya pada 2001, dokumentasi pertama isu kehadiran arsenik dalam air bawah tanah telah dibuat hasil kajian WHO dan Kerajaan Kemboja. Berikutan dengan itu, satu jawatankuasa yang di panggil Arsenic Inter-Ministerial Sub-committee telah ditubuhkan pada tahun yang sama untuk menyelaraskan gerak langkah menangani masalah arsenik ini. Bermula dari itu, beberapa lagi organisasi luar seperti UNICEF, Resource Development international (RDI) serta institusi pengaian tinggi dalam dan luar negara mula melakukan kajian pencemaran arsenik di seluruh Kemboja.

Kajian yang dilakukan oleh D. Federicks bagi pihak Kementerian Pembangiunan Luar Bandar Kemboja pada 2004 telah menghasilkan peta hazad air bawah tanah yang tercemar dengan arsenik yang pertama. Kajian ini juga menunjukkan enam daerah telah dikenal pasti mempunyai kandungan pencemaran arsenik dalam air bawah tanah yang tinggi iaitu Kampong Cham, Kampong Chnang, Kampong Thom, Kandal, Kratie dan Prey Veng.

Bancian peringkat kebangsaan di Kemboja yang dibuat pada 2008 mendapati antara 75,000 dan 150,000 penduduk menggunakan air yang tercemar ini sebagai air minuman terutama ketika musim kering kerana ketiadaan sumber air bersih yang lain. Statistik yang dibuat pada 2016, menunjukkan bilangan perigi tiub di Kemboja dianggarkan sebanyak 270,000. Setiap tahun, terdapat pertambahan bilangan perigi tiub sebanyak 3,000 unit yang mana sebanyak 2,500 unit adalah dari pembiayaan geran kerajaan dan negara luar seperti China dan selebihnya adalah dari pembiayaan persendirian dan bantuan NGO dari dalam dan luar Kemboja.


Infaq yang bermanfaat

Berbalik kepada aktiviti infaq yang dikendalikan oleh kebanyakkan NGO Islam di Malaysia, adalah menjadi satu kewajipan bagi mereka mengetahui kawasan di mana mereka hendak membina perigi tiub ini. Kampung Cham yang banyak terdapat perkampungan orang Islam, merupakan antara kawasan yang berisiko. Mereka tidak seharusnya membina perigi tanpa mendapat maklumat tentang kawasan tersebut. Maklumat boleh didapati daripada agensi kerajaan yang berkaitan, pihak berkuasa tempatan atau setidak-tidaknya penyelidik yang banyak mengkaji tentang kawasan yang berisiko dengan pencemaran arsenik.

Adalah amat malang sekali sekiranya ada perigi tiub yang di infakan menghasilkan air yang tercemar dengan arsenik. Aktiviti infaq juga harus diperluaskan kepada menyelidik kualiti air dikawasan yang mempunyai telaga tiub. Ini boleh dilaksanakan dengan membekalkan kit arsenik kepada NGO tempatan atau ahli jawatankuasa setempat. Kit arsenik ini amat mudah untuk digunakan dan difahami keputusan kuantiti arsenik yang terdapat di dalam air minuman tersebut. Setidak-tidaknya, aktiviti ini akan membantu pihak berkuasa untuk menimbulkan kesedaran awam tentang bahaya arsenik dalam air minuman.

-- BERNAMA

Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff merupakan Felow Akademi Sains Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)