Kelenjar tiroid adalah organ penting di leher yang menghasilkan hormon (iaitu sejenis bahan kimia dalam badan) ‘tiroksin’ yang mengawal banyak fungsi tubuh. Ia terletak di bahagian tengah dan depan leher, di bawah peti suara dan berbentuk rama-rama yang mempunyai bahagian (“lobe”) kanan dan kiri. Paras hormon tiroid yang normal diperlukan untuk memastikan perkembangan fizikal dan mental yang normal.
Penyakit tiroid boleh berbentuk gangguan fungsi (ketidakseimbangan hormon tiroid) dan/atau gangguan struktur (penghasilan nodul/benjolan dalam kelenjar).
Kenali gejala hipertiroid
Gejala penyakit hipertiroid termasuk tangan yang terketar-ketar, tidak tahan atau sentiasa merasa kepanasan, senang naik angin, masalah susah tidur, hilang berat badan walaupun selera makan baik, mata bengkak/terbeliak. Secara amnya, pesakit mengalami kadar metabolik yang terlalu tinggi. Gejala penyakit hipotiroid yang disebabkan kadar metabolik yang terlalu rendah pula merangkumi senang keletihan, berat badan yang semakin bertambah dan pemikiran atau percakapan yang lambat/tidak aktif.
Bagaimanapun, kelenjar tiroid kerap mempunyai benjolan di dalamnya yang mungkin akan membesar. Benjolan mungkin padat/keras (“solid”) atau berisi cecair (“cyst”) atau campuran kedua-duanya. Ia biasanya bukan barah tetapi ada juga kemungkinan bertukar menjadi barah dalam kes-kes tertentu.
Imbasan ultrasound untuk membezakan bahagian bercecair (“cystic) dan keras
Masalah dengan nodul
Agak biasa untuk seseorang pesakit untuk berasa bimbang dengan kemungkinan kanser apabila timbulnya benjolan yang luar jangkaan di mana-mana bahagian badan. Dalam kes kelenjar tiroid, simptomnya termasuk benjolan yang semakin membesar pada kadar yang cepat, konsistensi benjolan yang semakin mengeras, pembengkakan benjolan kelenjar limfa berdekatan, perubahan suara menjadi garau. Nasib baik, kanser adalah jauh lebih jarang daripada jenis benjolan bukan kanser.
Kanser tiroid yang paling biasa adalah jenis ‘papillary’ atau ‘follicular’. Kedua-duanya merangkumi lebih daripada 90 peratus jumlah kes kanser tiroid, namun jarang menyebabkan maut. Walaupun terdapat kemungkinan sel kanser merebak ke kelenjar limfa leher dan lebih jauh lagi seperti paru-paru, tetapi peluang kanser jenis ini diubati sepenuhnya masih cerah.
Prosedur pemeriksaan
Pemeriksaan wajib dalam penyakit tiroid adalah ujian darah hormon tiroid untuk mengesan ketidakseimbangan hormon dan ujian pengimejan ultrasound untuk perubahan struktur dalaman kelenjar.
Oleh kerana ultrasound tiada kesan radiasi, ia selamat digunakan untuk tujuan imbasan kaum wanita mengandung, janin dan kanak-kanak. Ultrasound bukan sahaja menampakkan bahagian keras (“solid”) dan berair (“cyst”) dengan lebih jelas, ia juga membolehkan pengkajian lebih lanjut sama ada ia mempunyai kecenderungan kanser berdasarkan ciri-ciri tertentu pada ultrasound. Prosedur lanjutan dapat dilakukan adalah seperti pengambilan sampel melalui biopsi, kajian sel sitologi, penyaliran cecair atau skleroterapi (proses mengeraskan bahagian berair). Ultrasound membenarkan penilaian dibuat secara langsung atau ‘live’ dan ujian ini adalah amat penting untuk pengesahan jenis benjolan tiroid.
Ablasi frekuensi radio (RFA) kaedah baharu rawat tiroid
Selepas memperolehi informasi melalui ujian-ujian tersebut, pakar tiroid dapat berbincang dengan pesakit berkenaan jenis-jenis rawatan yang ada. Sebelum ini, antara rawatan tiroid termasuk pemantauan, iodin radioaktif (penggunaan ubatan beradioaktif untuk menghapuskan sel kelenjar tiroid), pembedahan reseksi/pembuangan sebelah atau kedua-dua belah tiroid.
Bagaimanapun, terkini pengunaan Radiofrequency ablation (RFA) telah diluluskan US FDA bagi rawatan tiroid.
Pembedahan ablasi frekuensi radio (RFA) adalah kaedah invasif minimal (melalui laluan hirisan 1mm kulit) menggunakan tenaga suhu rendah yang dihantar melalui “probe” yang diarahkan di bawah panduan ultrasound 'siaran langsung' ke nodul tiroid, menyebabkan kematian sel dan penyusutan benjolan. Nodul mesti disahkan secara pasti melalui FNAC / biopsi berpandukan ultrasound bukan barah (sekurang-kurangnya sekali atau bahkan dua kali dalam beberapa kes yang masih was-was).
Penggunaan utama adalah untuk benjolan tiroid (lebih-lebih lagi jenis yang terjadi di kedua-dua belah kelenjar tiroid) yang kelihatan besar (mungkin atau mungkin tidak menyebabkan gejala mampatan) atau nodul hiperfungsi yang menyebabkan hipertiroidisme. Kaedah RFA paling bermanfaat untuk pesakit yang mempunyai benjolan bersaiz sederhana di kedua-dua belah bahagian tiroid di mana pembedahan pembuangan tiroid (total thyroidectomy) biasanya disyorkan dahulu sebelum teknologi RFA ini ditemui dan dipergunakan.
Kelebihan RFA nodul tiroid:
-- BERNAMA
Dr Vincent Tan Eng Soon merupakan pakar perunding Telinga,Hidung,Tekak, Kepala dan Leher di Hospital Pakar KPJ Klang.