Oleh : Dr Abu Zarrin Hj Selamat
Merdeka! Merdeka! Merdeka! Saban tahun negara akan menyambut hari kebangsaan secara gilang gemilang dan dizahirkan melalui pelbagai cara termasuk memasang Jalur Gemilang di rumah kediaman, kenderaan, pusat pentadbiran kerajaan, pusat perniagan; juga sambutan di peringkat institusi dan organisasi, kempen, doa selamat dan pelbagai lagi aktiviti yang dirancang dengan tujuan untuk mensyukuri nikmat kemerdekaan dan memperingati jasa serta sumbangan perjuangan pemimpin-pemimpin serta barisan hadapan masa silam.
Cuma, dalam keadaan pandemik yang sedang melanda negara hari ini, cara sambutan hari kebangsaan sedikit berbeza tanpa ada program-program himpunan seperti biasa. Kini, dalam memperingati semangat hari kemerdekaan, kebanyakan program dilaksanakan dalam bentuk maya sepenuhnyanya ataupun secara hibrid seperti program wacana, majlis doa selamat dan pelbagai lagi program yang boleh dilakukan secara atas talian.
Dalam konteks meraikan hari kebangsaan, generasi yang perlu dipandang dengan rasa penuh kebimbangan ialah generasi muda yang menurut takrifan World Health Organization (WHO), merupakan kelompok masyarakat yang berusia di antara 10 hingga 25 tahun. Mengapa perlu bimbang? Hal yang demikian adalah kerana golongan ini merupakan generasi yang sedang mencari arah untuk meneruskan perjalanan hidup mereka di masa hadapan sama ada arah yang dipilih itu baik ataupun sebaliknya. Selain itu, golongan ini juga merupakan golongan yang sedang bergelut dengan perasaan dan jiwa mahu berseronok secara berlebihan seperti berhibur dengan hiburan yang tidak sesuai, bermain dengan aplikasi yang melalaikan, terlibat dengan aktiviti siber yang tidak terkawal dan perkara-perkara yang melekakan sehingga kadang kala lupa akan tangungjawab dan peranan yang perlu dilakukan seperti belajar, sembahyang dan berakhlak mulia.
Kemerdekaan bukan sekadar membawa maksud bebas dari sebarang cengkaman dan penjajahan sama ada yang berbentuk mental mahupun fizikal. Bahkan ianya adalah lebih besar daripada itu dengan melihat bagaimana kita mampu menjiwai dan menghayati semangat kemerdekaan yang telah dikecapi selama 64 tahun ini dengan penuh adab dan bertamadun. Ramai orang sanggup untuk melaungkan kalimah keramat (merdeka! merdeka! merdeka!) dengan penuh semangat hingga hilang suara. Ramai juga yang sanggup berpanas dan berhujan semata-mata membawa Jalur Gemilang semasa berarak. Tidak kurang juga, ramai orang sanggup menghulurkan wang dan tenaga ketika bergotong royong membuat persiapan dan persediaan menyambut hari kemerdekaan. Persoalannya ialah, adakah pengorbanan yang dilakukan itu sudah cukup untuk membutikan bahawa mereka telah menghayati semangat kemerdekaan? Tepuk dada tanyalah selera.
Apabila kita bicara tentang menghayati semangat kemerdekaan dalam kalangan generasi muda, banyak perkara yang perlu dirungkai dan diperhalusi agar generasi ini tidak hanyut dibawa oleh arus hegemoni teknologi yang merosakkan nilai adab, etika dan budaya kebangsaan. Kepesatan perkembangan alat teknologi dalam kalangan generasi muda memang sukar untuk dibendung bahkan kadang kala kerajinan mereka untuk meneroka atau explore sesuatu produk IT itu agak luar biasa sehingga sanggup bersekang mata, melewatkan waktu makan dan rehat.
Situasi ini amat membimbangkan kita khususnya ibu bapa. Untuk bersifat adil, sewajarnya kecenderungan ini perlu diimbangi dengan elemen-elemen yang bercirikan pembinaan jati diri seperti pendidikan agama, moral, akhlak dan bahasa. Pengintegrasian di antara elemen teknologi dan pembinaan jati diri perlu digarap secara beriringan agar generasi muda dapat memperkembangkan potensi dan bakat secara seimbang dan komprehensif di antara keperluan duniawi dan ukhrawi. Keprihatinan kepada generasi muda berhubung minat mereka terhadap penggunaan alat teknologi ini perlu diraikan secara berhikmah bagai menarik rambut di dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.
Cumanya, pihak berwajib seperi guru-guru, ibu bapa dan pemimpin perlu mengasah, mengasuh, membantu serta membimbing mereka agar tidak menggunakan teknologi itu ke arah yang boleh merosakkan nilai etika dan estetika agama, bangsa dan negara. Hal ini bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan 2021 iaitu Malaysia Prihatin yang melihat bahawa semua lapisan masyarakat perlu disantuni peranan dan fungsinya agar tidak ada yang ketinggalan dalam menerima kemudahan, kebajikan dan keselesaan.
Singkap sejarah pejuang kemerdekaan
Golongan muda perlu diajak untuk menyingkap sejarah kemerdekaan tanah air yang dahulunya dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu. Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan sebagai negara yang merdeka daripada penjajahan bangsa asing pada 31 Ogos 1957. Umum mengetahui bahawa sebelum mencapai kemerdekaan, Persekutuan Tanah Melayu telah dijajah selama 446 tahun oleh empat buah negara iaitu Portugis, Belanda, British dan Jepun. Dalam tempoh itu telah lahir ramai pejuang tanah air yang menentang pihak penjajah seperti Datuk Bahaman, Tok janggut, Dr Burhanuddin Helmi, Mat Kilau dan ramai lagi nama-nama masyhur dalam sejarah perjuangan tanah air.
Perjuangan menuntut kemerdekaan daripada kuasa penjajah bukan kerja enteng dan mudah. Mereka telah mempertaruhkan jasad dan nyawa sehingga ada yang terkorban, dibakar, digantung, dipenjara dan dibunuh dengan kejam. Pengorbanan para pejuang tanah air di atas merupakan satu usaha yang tidak mampu untuk kita balas dengan apa cara sekalipun melainkan dengan mengenang jasa-jasa mereka. Antara cara untuk mengenang jasa-jasa mereka ialah dengan memelihara serta mensyukuri nikmat keamanan dan kemakmuran hari ini yang telah dirintis oleh mereka. Golongan muda disarankan agar banyakkan membaca buku-buku atau makalah-makalah yang mengisahkan tentang perjuangan menuntut kemerdekaan seperti Sejarah Malaysia yang dikarang oleh Muhammad Ismail Ahmad, Ke Arah Pembentukan Negara Malaysia yang dikarang oleh Melissa Muhammad, 365 Hari Dalam Sejarah Malaysia yang dikarang oleh Syed Mahadzir Syed Ibrahim, Tun Hussien Onn Menjalin Perpaduan yang dikarang oleh Marina Mohd Amin dan banyak lagi buku-buku bacaan dan rujukan yang berkisar tentang perjuangan mempertahan dan membagunkan tanah air tercinta.
Syukuri nikmat keamanan
Justeru itu, sebagai rakyat yang telah merasai nikmat kemerdekaan hasil daripada titik peluh dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh para pejuang masa lalu, sewajibnya dihargai dan dihormati oleh generasi muda dengan penuh kesyukuran. Mengenang dan bersyukur yang dimaksudkan ialah menjaga keamanan, perpaduan kaum dan tidak melakukan perkara yang boleh mencemar nama baik negara seperti menconteng Jalur Gemilang, mengiktiraf perjuangan komunis, bermain dengan sentimen perkauman dan sebagainya. Antara perkara yang boleh dilakukan oleh golongan muda dalam usaha mensyukuri nikmat keamanan ialah dengan mengamalkan konsep menerima, menghormati dan mengurus kepelbagaian dengan baik dan harmoni. Selain daripada itu, aktiviti doa selamat, kempen merayakan hari kebangsaan dan program dialog peradaban juga wajar dilakukan dalam usaha untuk memberi pengetahuan, kesedaran dan semangat patriotik kepada generasi muda. Semoga dengan aktiviti-aktiviti tersebut dapat melahirkan warganegara umumnya dan generasi muda khususnya yang berpengetahuan, mengamalkan dan menghayati erti kemerdekaan mengikut perspektif yang sebenar.
Kesimpulan
Adalah menjadi harapan yang tinggi kepada generasi muda agar dapat mengambil iktibar di atas pengalaman pahit yang telah dilalui oleh generasi terdahulu dalam menterjemah dan menghayati erti kemerdekaan tanah air yang telah dikecapi. Generasi muda adalah harapan bangsa dan negara yang menjadi pelapis kepada kelangsungan suasana aman dan damai yang dikecapi hari ini. Kalau bukan anda siapa lagi yang diharapkan dan kalau bukan hari ini bila lagi anda akan mulakan. Ayuh bersama berganding bahu memerah tenaga dan idea dalam usaha membagun sebuah negara bangsa Malaysia yang menjadi idaman semua warga.
-- BERNAMA
Dr Abu Zarrin Hj Selamat merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Moral, Sivik dan Pembangunan Karakter, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.