TINTA MINDA

PENDEKATAN 'BEHAVIORAL INSIGHT' DALAM MENGUBAH TINGKAH LAKU VAKSINASI RAKYAT MALAYSIA

21/09/2021 06:49 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Suhaimee Saahar@Saabar

Kerajaan sedang bertungkus lumus dalam memastikan setiap rakyat Malaysia mendapat suntikan vaksin bagi memastikan keselamatan nyawa dijamin. Kini sejumlah 60 peratus orang dewasa telah menerima dua suntikan vaksin dan angka ini akan terus meningkat bagi memastikan keselamatan awam terjamin. Berdasarkan Laporan WHO (2012), vaksin menyelamatkan lebih kurang dua hingga tiga juta nyawa setahun. Walaupun mendapat beberapa halangan dan tentangan daripada sesetengah ahli masyarakat, vaksin telah menyelamatkan nyawa manusia dan ini merupakan fakta kesihatan yang perlu kita terima.

Hujah anti vaksin

Naratif anti vaksin bukan perkara baru, pasti akan ada kumpulan yang akan memberi hujah-hujan dalam menafikan vaksin. Ada yang menggunakan hujah agama, agenda pihak asing, hak asasi manusia dan ada juga menggunakan hanya sentimen untuk menolak vaksin. Perkara ini bukan sahaja berlaku di negara kita tetapi juga negara-negara luar. Malah kandungan anti vaksin luar negara dibawa masuk melalui media-media sosial dan mempengaruhi pemikiran masyarakat kita.

Menteri Kesihatan, YAB Khairy Jamaluddin telah menetapkan bahawa negara perlu mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok dan perlu menerima bahawa kita sekarang dalam fasa endemik. Kegagalan untuk mencapai imuniti kelompok ini akan memberi kesan terutamanya pada sektor ekonomi dan kesihatan. Dalam berdepan dengan kumpulan yang menolak vaksin sebanyak empat kategori dari segi profail psikologi boleh dikenalpasti iaitu (1) mereka yang sudah merasa selamat, (2) mereka yang tidak mahu divaksin kerana merasa tidak selamat, (3) mereka yang kurang yakin terhadap vaksin dan sistem kesihatan dan (4) mereka yang masih lagi berada dalam keadaan menilai pro dan kontra mengenai keberkesanan vaksin.

Empat kategori ini saling mempengaruhi dan cuba mempengaruhi mereka yang lain dalam pelbagai kaedah, sama ada dalam bentuk rayuan mahupun justifikasi mereka yang bersandarkan fakta yang direka oleh mereka.

Untuk mengubah tingkah laku vaksinasi ini, kemungkinan besar faktor-faktor ini perlu diambil kira. Memahami tingkah laku mereka ini boleh membantu pihak kerajaan bukan sahaja mendidik tetapi memberi satu panduan mengapa tingkah laku itu perlu diubah bagi memberikan manafaat untuk semua pihak. Ini bukan mengenai hak individu tetapi ia merangkumi hak komuniti untuk mendapatkan jaminan keselamatan kesihatan dan nyawa.

Apa itu pendekatan behavioral insights

Salah satu pendekatan yang digunapakai oleh negara luar dalam mengubah tingkahlaku manusia adalah melalui pendekatan Behavioral Insight. Pendekatan ini mampu membantu dalam memahami tingkah laku masyarakat dan menyesuaikan dengan perancangan sama ada dalam bentuk kempen atau dasar dalam memastikan proses buat keputusan boleh dilaksanakan.

Sebagai contoh maklumat mengenai pandangan negatif mengenai vaksin diambil daripada pelbagai sumber maklumat dan proses mengenalpasti sama ada sentimen dan emosi akan dianalisa bagi memahami reaksi dan penerimaan mereka terhadap faktor risiko yang bakal mereka hadapi. Norma-norma sosial ini boleh dianalisa bagi membantu pihak kerajaan dalam berdepan dengan tingkahlaku penolakan vaksin bagi memastikan sasaran khalayak ini didekati dan dapat dibantu dengan kaedah psikologi ataupun proses komunikasi strategik bagi meningkatkan kefahaman, efikasi kesihatan dan mampu merasionalisasikan keputusan mereka ke atas kepentingan vaksin sama ada kepada diri sendiri dan mereka yang berada di sekelilingnya.

Sekiranya sasaran 80 peratus komuniti berkelompok ini berjaya dicapai dalam tempoh masa yang ditetapkan, kebarangkalian akan wujudnya kesan ‘bandwagon’ mungkin tercapai apabila kumpulan ini merasakan sudah tiba masanya diri mereka juga meletakkan kepentingan awam sebagai tindakan rasionalisasi mereka. Namun apa yang kita khuatirkan adalah sikap berdiam diri dan berkecuali daripada mendedahkan diri mereka yang tidak mahu divaksin akan menjadi satu lagi cabaran pada pihak kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan untuk mencapai program vaksinasi kebangsaan sepenuhnya.

Salah satu cara dalam pendekatan Behavioral Insight adalah dengan memaparkan tahap penerimaan yang tinggi mengenai kejayaan program vaksinasi walaupun masih berdepan dengan cabaran-cabaran yang lain seperti kadar kematian. Namun begitu, pendekatan ini akan membantu bukan sahaja individu membuat keputusan tetapi merasionalkan senario ini dengan maklumat-maklumat kesihatan yang sahih daripada satu sumber sahaja iaitu daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Perbetul persepsi dengan maklumat tepat

Langkah YAB Menteri Kesihatan untuk bersikap telus dan terbuka mengenai data dan maklumat ini merupakan satu tindakan yang tepat pada ketika ini. Mengurangkan rasa keraguan dan kegelisahan dalam kalangan orang awam terhadap pelbagai maklumat yang mereka perolehi ini adalah berdasarkan maklumat-maklumat yang sahih, tepat dan objektif akan membantu mereka dalam terlibat sama dalam program vaksinasi kebangsaan.

Walaupun jumlah kes harian masih lagi tinggi, namun penerimaan publik untuk bersedia hidup dalam fasa endemik akan menjadi satu teras baharu dalam norma kehidupan kita. Sebagai tambahan, dalam model penerimaan vaksin ini elemen pengiraan (calculation) iaitu publik melakukan pengiraan berdasarkan informasi dan maklumat yang mereka terima dalam bentuk jumlah kes dan kematian juga merupakan elemen penting dalam kerajaan berdepan dengan kelompok ini. Sebagai contoh sekiranya mereka melihat risiko jangkitan adalah lebih rendah daripada risiko vaksinasi keputusan untuk menolak vaksin akan diambil kira sebagai perhitungan dalam menerima vaksin.

Inilah realiti sebenar yang sedang kita hadapi. Namun langkah kerajaan yang menetapkan hanya mereka yang telah lengkap menerima dua dos suntikan mempunyai akses dan ruang sosial yang dibenarkan mengikut SOP yang ditetapkan. Dari segi pemerhatian, masyarakat sudah menerima norma dan menjadi satu kewajipan penting dalam diri mereka untuk merasionalisasikan tindakan, penerimaan dan rasa selamat dengan menolak kepentingan diri dan mementingkan kepentingan awam dalam konsep Keluarga Malaysia.

Apa sahaja tindakan dan reaksi yang diterima daripada pihak publik sudah menjadi tanggungjawab dan peranan untuk mana-mana kerajaan berperanan untuk menjaga keselamatan nyawa rakyatnya. Oleh itu dalam berdepan dengan cabaran masa hadapan, pendekatan Behavioral Insight mampu membantu untuk pembentukan dasar dan proses buat keputusan yang penting dalam kehidupan kita.

-- BERNAMA

Dr Suhaimee Saahar @ Saabar merupakan Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komukasi dan Pengajian Media, UiTM, Shah Alam.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)