TINTA MINDA

SIJORI: JENDELA EKONOMI KITARAN KOMUNITI ASEAN

22/09/2021 09:33 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Muhammad Ariff Mohamad Nizam dan Fakhrurrazi Rashid

“Setiap tan karbon yang dikeluarkan, membawa dunia lebih dekat kepada titik penentuan bahaya kehidupan. Setiap minit tertangguhnya usaha menangani isu alam sekitar, meningkatkan ancaman terhadap kehidupan, kesihatan dan masa hadapan alam.” - (DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, 2020)

Kebejatan yang lahir daripada revolusi industri dan permodenan sejagat secara berterusan mencabar tatanan dunia dengan memunculkan ketidaktentuan perubahan iklim. Lihat saja bah besar yang melanda China dan Barat Eropah, kebakaran hutan di Sub-Artik dan tidak kurang hebat juga ribut merakus di Tanjung Sedili, Johor di kala kita masih berdepan serangan wabak COVID-19.

Pendedahan dapatan Laporan Panel Antara Kerajaan terhadap Perubahan Iklim (IPCC) baru-baru ini wajar dipandang serius tatkala kita diletakkan sebagai pencetus fenomena alam yang perlu segera bertindak membetulkan keadaan bagi menongkah arus perubahan iklim dan pemanasan sejagat yang bakal menginjak kepada 1.5 darjah Celsius.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres yang menyinggung laporan IPCC tersebut merumuskannya sebagai amaran kepada masyarakat sejagat. Sasaran Perjanjian Paris 2015 perlu segera diterjemah tanpa lengah – seperti petikan titah Sultan Perak yang mengawali makalah ini dan turut disuarakan Canselor Jerman, Angela Merkel baru-baru ini.

Alam sekitar ancaman baharu keselamatan

Ancaman keselamatan tidak lagi terkait dengan ketenteraan dan politik semata-mata. Letupnya Hiroshima dan runtuhnya Tembok Berlin serta lahirnya globalisasi telah memunculkan ancaman melangkaui sifat tradisional tersebut dengan menyinggung keselamatan ekonomi, kemanusiaan, kesihatan, teknologi maklumat dan terkini yang sedang membarah, alam sekitar.

Sarjana Barry Buzan merangkumkan ancaman tradisional dan baharu dalam konsep keselamatan komprehensif di bawah kerangka hubungan antarabangsa yang diguna pakai oleh Jepun dan ASEAN. Setiap ancaman saling bergantungan sama ada sebagai punca atau laluan penyelesaian konflik negara individu atau serantau (2009).

Paling hampir, lihat saja kesan domino akibat serangan wabak COVID-19 terhadap keselamatan ekonomi – kelumpuhan sektor pelancongan dan industri, kemanusiaan pula menyaksikan kehilangan nyawa berjuta pesakit manakala alam sekitar yang sememangnya terancam dibebani lagi dengan pertambahan janaan sisa klinikal seperti kelengkapan perlindungan diri (PPE) termasuk pelitup muka.

Globalisasi yang pernah diratib masyarakat sejagat kini menjadi bola tanggung kepada keselamatan alam sekitar dan kesihatan awam. Misalnya, Pertubuhan Sisa Pepejal Antarabangsa (ISWA, 2012) melihat globalisasi sebagai ancaman keselamatan alam sekitar melalui corak pengurusan sisa pepejal yang didorong oleh sistem ekonomi linear dan pembentukan masyarakat pengguna.

Sisa pepejal tidak dapat lari daripada sumbangannya kepada janaan gas rumah hijau. Seperti diunjurkan Bank Dunia (2018), janaan sisa akan terus meningkat selari dengan pembangunan dan perbandaran sekali gus menyumbang kepada gas rumah hijau. Bagi Asia Tenggara, janaan sisa pepejal diunjurkan meningkat sehingga 150 peratus menjelang tahun 2025 berbanding tahun 1995 – untuk gambaran jelas peningkatan tersebut, rantau ini jana 150 juta tan sisa pepejal pada tahun 2016 sahaja.

Ekonomi kitaran pengubah keadaan

Konsep teroka, jana dan sisa (take-make-waste) yang diterapkan sistem ekonomi linear telah meningkatkan janaan sisa pepejal dan mengancam ekosistem sejagat. Bank Dunia (2018) mengunjurkan sebanyak 2.6 bilion tan karbon dioksida bersamaan akan dilepaskan menjelang tahun 2050 melalui janaan sisa pepejal. Begitulah ancaman sisa pepejal terhadap perubahan iklim.

Lantaran itu, wacana ekonomi kitaran ditimbulkan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) sebagai gantian muncul di tengah-tengah kekacauan ekonomi linear. WEF melihat ekonomi kitaran sebagai peluang kedua bagi masyarakat sejagat untuk menambah baik pengurusan sumber dan industri yang mampu mengimbangi keperluan pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Kemunculan ekonomi kitaran disifatkan oleh Kesatuan Eropah dan ASEAN sebagai pengubah keadaan bagi mendepani dilema perubahan iklim dan pembangunan ekonomi. China mengorak langkah seawal tahun 2008 meneroka potensi ekonomi kitaran yang diunjurkan oleh Institut Kajian Ekonomi ASEAN dan Asia Timur (ERIA) bakal melimpah sehingga ASD234 bilion bersama 1.5 peluang pekerjaan di Asia.

Justeru, ekonomi kitaran wajar dilihat secara meluas dan dinamik sebagai penampan ancaman keselamatan alam sekitar dan ekonomi sejagat yang menawarkan reformasi pembuatan dan kepenggunaan dengan jaminan terhadap ketahanan perniagaan dan kewujudan peluang baharu.

Sijori teraju ekonomi kitaran ASEAN

Lantas, kerjasama keselamatan alam sekitar harus digembleng di rantau Asia Tenggara sepertimana saranan Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Armanatha Nasir (2017) bahawa perubahan iklim memerlukan kerjasama semua negara tanpa mengira status ekonominya. Ia harus dipimpin oleh ASEAN sebagaimana ditekankan oleh bekas Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon agar institusi keserantauan memainkan peranan berkesan dalam membendung krisis serantau.

Kita perlu berbalik kepada asas penubuhan ASEAN dan konsep keselamatan komprehensif – keselamatan serantau saling bersangkutan dengan kekukuhan ekonomi menjadi keutamaan. Oleh itu, Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) serta Segitiga Pertumbuhan ASEAN harus menjadi wadah untuk memurnikan ekonomi kitaran dan kelestarian alam sekitar.

Segitiga Pertumbuhan Singapura-Johor-Kepulauan Riau (Sijori) wajar menjadi pemangkin ekonomi kitaran ASEAN berdasarkan pengalaman kerjasama ekonomi serantau hampir 30 tahun lalu. Faedah berbanding yang dimiliki Sijori wajar dimanfaatkan untuk merangsang pelaburan dan pasaran hijau, seterusnya, memastikan perkongsian kepintaran teknologi dan pembangunan modal insan.

Kesenjangan serantau menerusi kerangka dasar, perundangan, piawaian industri, pengguna dan alam sekitar serta pasaran dan permintaan perlu dirapatkan bagi membangunkan ekosistem yang saling melengkapi dan mengukuhkan rantaian sumber sekali gus mengelakkan kerencatan pertumbuhan ekonomi kitaran di ketiga-tiga wilayah tersebut.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah (2019) sebelum ini pernah mengungkapkan bahawa dasar luar bermula di halaman sendiri. Oleh yang demikian, advokasi ekonomi kitaran perlu berterusan digerakkan di Sijori secara individu melibatkan para penggubal dasar, pemain industri, gerakan masyarakat madani, ahli akademik dan aktivis dari cabang pengguna, alam sekitar serta bidang kepintaran dan kemahiran sebelum diwacanakan di peringkat Sijori dan ASEAN.

Malah, penggubalan dasar-dasar negara individu harus berpaksikan keupayaan industri dan masyarakat yang dinamik terhadap faedah berbanding ekonomi kitaran serantau. Di samping itu, peralihan kepada teknologi hijau membabitkan pemain industri dari Sijori menerusi suntikan modal, tawaran insentif cukai, perkongsian pintar dan pembangunan modal insan harus dirancakkan dan tidak dikesampingkan sehingga tersasar daripada landasan kerjasama.

Agenda ekonomi kitaran harus mencapai masyarakat akar umbi – ia tidak wajar sekadar berdegar-degar dalam kalangan penggubal dasar, pemain industri, ahli akademik dan aktivis. Maka dengan itu, diplomasi awam tentang ekonomi kitaran perlu digerakkan di Sijori melalui saluran pendidikan dan penyertaan generasi muda yang bakal menerima tempiasnya kelak.

Jika di Singapura, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menganjurkan Cabaran Menuju Sifar Sisa dengan memberi galakan kepada sekolah untuk melaksanakan amalan mesra persekitaran. Tidak kurang hebatnya di Johor yang menyaksikan Pihak Berkuasa Pembangunan Iskandar (IRDA) menterjemahkan Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Malaysia 2025 melalui penganjuran program Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) bersama rakan strategiknya membabitkan murid-murid sekolah rendah di Johor.

Komitmen Singapura, Malaysia dan Indonesia untuk mengurangkan karbon yang masing-masing tetapkan pada 35 peratus, 45 peratus dan 41 peratus menjelang tahun 2030 menjadi pemangkin kerjasama sebagai jendela ekonomi kitaran ASEAN sekali gus meneraju usaha menghindarkan Asia Tenggara daripada perubahan iklim. Meskipun keberhasilannya bukanlah sekelip mata, namun kita perlu optimis bahawa ia mampu dilaksanakan tatkala ASEAN itu harus dilihat sebagai suatu proses berbanding sebuah produk.

-- BERNAMA

Muhammad Ariff Mohamad Nizam merupakan Pegawai Komunikasi Korporat Swasta & Penyelidik Bebas Hubungan Antarabangsa. Fakhrurrazi Rashid ialah Koordinator Penyelidik Research for Social Advancement (REFSA).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)