TINTA MINDA

SEKOLAH DAN COVID-19 : USAH NAFI HAK ANAK-ANAK UNTUK DIVAKSIN

10/11/2021 11:06 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani dan Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed

Sesi persekolahan secara bersemuka telah bermula secara berperingkat di seluruh negara. Namun, ada kalangan ibu bapa serta guru-guru yang berpendapat bahawa tindakan ibu-bapa yang menolak vaksin menghantar anak mereka ke sekolah mencetuskan kebimbangan tentang keselamatan dan kesihatan anak mereka.

Untuk menjawab persoalan ini, sebenarnya kita berhadapan dengan dua isu. Isu pertama ialah isu penolakan vaksin dalam kalangan dewasa dan isu yang kedua ialah persoalan sama ada anak yang dihantar tersebut telah menerima vaksin (sekiranya mereka ini dalam kalangan pelajar sekolah menengah) dan bakal menerima vaksin (sekiranya mereka ini adalah pelajar sekolah rendah).

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), melalui Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah-sekolah telah memainkan peranan yang penting dan harus diberikan pujian dalam pemberian vaksin dalam kalangan remaja. Apabila dimulakan program pemberian vaksin kepada kanak-kanak 5-12 tahun kelak, peranan penting ini perlu diteruskan.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa pelajar-pelajar remaja sekolah menengah yang belum mendapat vaksin adalah antara mereka yang tidak mendapat kebenaran ibu bapa atau penjaga mereka. Ada dalam kalangan ibu bapa yang mereka sendiri tidak mengambil vaksin dan ada juga dalam kalangan mereka yang ibu bapa telah mengambil vaksin, tetapi tidak memberikan kebenaran kepada anak mereka untuk menerima vaksin walaupun anak-anak ini layak mendapatkannya.

Sebagai ibu bapa dan guru yang menjadi kumpulan majoriti yang telah bersetuju menerima dan melengkapkan dos vaksin, persoalan dan kebimbangan terhadap isu ini adalah berasas dan perlu diberikan perhatian.

Risiko kepada pelajar dan guru-guru serta institusi pendidikan

Antara kebimbangan utama ialah risiko mendapat jangkitan di sekolah dan risiko penularan jangkitan. Umum mengetahui bahawa mereka yang belum menerima vaksin, boleh mendapat jangkitan dengan komplikasi yang teruk. Golongan yang belum lengkap vaksin juga, sekiranya terjangkit, jumlah virus dalam badan juga lebih tinggi jika dibandingkan dengan mereka yang telah menerima dos vaksin yang lengkap. Jadi, risiko penyebaran jangkitan juga adalah lebih tinggi.

Apabila penularan berlaku, pelajar-pelajar mungkin hanya mengalami gejala ringan, tetapi mereka boleh menjadi pembawa virus dan menjangkiti kaum keluarga (yang tidak layak divaksin) di rumah. Penularan berleluasa di sekolah akan menyebabkan penutupan sekolah yang bukan sahaja mengganggu proses pembelajaran, malah menyukarkan ibu bapa untuk menguruskan anak-anak. Ibu bapa yang kebanyakannya telah mula bekerja, perlu mengambil cuti kerana menjadi kontak rapat. Keadaan ini juga menjejaskan sumber pendapatan sesebuah keluarga.

Mulai 1 November 2021, Pekeliling Perkhidmatan bilangan 4 tahun 2021 yang menyatakan tanggungjawab pegawai perkhidmatan awam untuk mendapatkan dos imunisasi yang lengkap adalah terlaksana. Justeru, kami berpendapat bahawa, sekiranya warga sekolah termasuk guru-guru dan kakitangan sekolah diminta untuk mendapatkan dos yang lengkap, tanggungjawab ibu bapa juga untuk mengambil vaksin dan seterusnya membenarkan serta membawa anak mereka mendapatkan vaksin juga harus seimbang dan selari dengan pekeliling tersebut.

Hakikatnya, peranan ini adalah peranan yang besar bagi memastikan persekitaran sekolah yang selamat dan produktiviti perkhidmatan pendidikan yang optimum dapat diberikan.

Buat masa ini, mengikut ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia, belum lagi diwajibkan bagi para pelajar untuk mengambil vaksin dan tiada halangan untuk memasuki kawasan sekolah bagi mereka yang belum menerima vaksin walaupun layak berbuat demikian.

Isunya bukan hanya risiko kepada kesihatan. Malah, ianya meliputi dimensi yang luas lagi. Ini termasuk isu stigma pelajar-pelajar dan mereka di sekolah terhadap anak tersebut. Mungkin mereka ini dipulaukan dan dijauhi menyebabkan gangguan emosi dan menjejaskan pelajaran. Dalam apa jua keadaan sekalipun, pertimbangan yang jelas kepada punca masalah adalah penting dan penyelesain yang bakal diambil tidak akan menjejaskan masa depan pelajar tersebut.

Peranan kerajaan dan badan-badan lain

Usaha untuk memberikan pendidikan kesihatan dan promosi vaksin bagi meningkatkan kadar pengambilan vaksin ini bukan hanya terletak pada bahu Kementerian Kesihatan sahaja. Kita lihat melalui KPM, usaha-usaha ini diteruskan dan dipertingkatkan. Selain itu, kami juga menyokong penubuhan suruhanjaya khas kanak-kanak. Ini adalah kerana sesebuah suruhanjaya boleh memainkan peranan penting dalam mempertahankan hak kanak-kanak bagi dilindungi daripada penyakit berjangkit termasuk perlindungan kepada penyakit COVID-19. Di sekolah sendiri, peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam membantu meningkatkan pemahaman ini dalam kalangan ibu bapa lain amat penting dan amat diperlukan.

Kebimbangan ibu bapa bukan hanya bersandarkan kepada fakta sains semata-mata. Apabila soal kesihatan dan masa hadapan anak-anak menjadi taruhan, ramai ibu-bapa yang beremosi mempertahankan anak-anak masing-masing.

Saya yakin, baik kalangan mereka yang telah memberikan kebenaran anak-anak mendapatkan vaksin dan mereka yang tidak memberikan kebenaran anak mereka mendapatkan vaksin, faktor yang menjurus kepada keputusan tersebut adalah kasih sayang dan rasa bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka.

Ingin saya tegaskan di sini, anak-anak kita termasuk kanak-kanak adalah golongan yang perlu kita lindungi. Seperti mana orang dewasa, kanak-kanak juga adalah berhak untuk mendapat kesihatan yang baik dan capaian kepada kesihatan yang baik. Salah satu daripadanya ialah perlindungan daripada penyakit COVID-19.

Di sinilah peranan PIBG dalam membantu pihak sekolah meningkatkan kadar vaksinasi adalah perlu. Sekiranya sesi perkongsian daripada ibu bapa sendiri yang menceritakan pengalaman anak mereka diberikan vaksin dan sebab-sebab mereka memberikan vaksin ini dihuraikan; sudah pasti ramai lagi ibu bapa akan memberikan turut persetujuan.

Selain daripada itu, langkah-langkah pencegahan COVID-19 yang asas harus diteruskan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan serta SOP pengendalian kes COVID-19 di sekolah-sekolah harus diperkukuhkan dan dipertingkatkan.

Jangan beri ruang untuk penularan berlaku, khususnya di sekolah-sekolah. Berdasarkan kes-kes sebelum ini, sekiranya penularan berlaku di institusi-institusi pendidikan, jumlah yang terlibat adalah ramai. Dalam kalangan institusi pendidikan berasrama, jumlah yang lebih tinggi dicatatkan.

Kesimpulannya, pembukaan sekolah adalah perlu supaya anak-anak dapat belajar dengan baik dan sistematik tetapi persekitaran sekolah perlulah dipastikan selamat dengan pematuhan SOP dan vaksin lengkap supaya kesihatan seluruh golongan terjamin.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani (Pakar Perubatan Kesihatan Awam) dan Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed (Pakar Mikrobiologi Klinikal) merupakan pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)