Oleh: Dr Ahmad Zakirullah Mohamed Shaarani
Wabak COVID-19 menyebabkan kesan luar biasa yang dahsyat kepada kehidupan masyarakat merangkumi bidang ekonomi, sosial dan sebagainya. Ramai yang kehilangan pekerjaan, mengalami pengurangan gaji dan pendapatan. Terdapat juga perniagaan yang terpaksa ditutup, diisytiharkan muflis dan lain-lain.
Situasi ini menyebabkan kesan sosial yang mendalam kepada masyarakat termasuk tekanan emosi dan mental. Masyarakat bukan sahaja berhadapan dengan wabak COVID-19 yang mengorbankan banyak nyawa tetapi turut memberi kesan terhadap ekonomi dunia.
Banyak pihak tampil menghulurkan bantuan termasuk kerajaan menerusi pelbagai program bantuan dan insentif. Usaha daripada pusat zakat, Majlis Agama Islam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak lain bertujuan memastikan rakyat mempunyai bekalan makanan mencukupi serta wang untuk mendapatkan keperluan asas.
Konsep saling membantu
Sistem kewangan Islam adalah satu sistem yang berorentasikan konsep saling bantu membantu, menjauhi riba, judi dan gharar. Ia dibuktikan dengan instrumen-instrumen yang terdapat dalam bidang ini seperti zakat, wakaf, wasiat dan hibah yang bersifat sosioekonomi.
Selain itu, akad perkongsian yang terdapat di dalamnya seperti Mudarabah, Musyarakah dan sebagainya mempunyai keistimewaan tersendiri serta sangat berpotensi untuk digembelingkan bagi membantu masyarakat dalam menghadapi wabak ini.
Oleh itu, fokus penulisan ini adalah akad Mudarabah iaitu akad yang bermaksud sumbangan modal oleh pemilik dana untuk diusahakan oleh pengusaha. Dari segi keuntungan, ianya dikongsi antara pemilik dana dan pengusaha, manakala kerugian ditanggung sepenuhnya oleh pemilik modal.
Selain berbentuk perkongsian (partnership contract), ia juga termasuk dalam kategori Pembiayaan Ekuiti (equity based financing) iaitu pihak pembiaya (pemilik modal) memberi pembiayaan melalui cara ekuiti dan pegangan saham atau berdasarkan nisbah perkongsian hasil dari perusahaan.
Berbeza dengan pembiayaan berbentuk hutang
Akad Mudarabah berbeza dengan pembiayaan berbentuk hutang (debt based financing) yang memerlukan pembayaran hutang oleh penghutang secara tetap walaupun perniagaan mengalami situasi turun naik. Sebaliknya, akad Mudarabah memberikan kelebihan dan kelegaan kepada pengusaha dari sudut pembayaran iaitu tiada kewajipan pembayaran hutang. Malahan pembayaran dalam bentuk hasil perkongsian hanya akan berlaku jika adanya keuntungan. Sekiranya tiada keuntungan maka tiada tekanan kepada pihak pengusaha untuk membuat pembayaran tetap.
Dalam konteks kewangan Islam semasa terutamanya dalam konteks perbankan Islam, Mudarabah lebih banyak diaplikasikan dalam produk-produk berbentuk akaun pelaburan iaitu pemilik akaun adalah pemodal manakala bank adalah pengusaha. Begitu juga bagi produk pasaran wang (money market), ianya diaplikasikan melalui pelaburan antara bank yang memerlukan kecairan (deficit) dan bank yang mempunyai lebihan tunai (surplus).
Risiko Mudarabah jelas
Bagi produk berasaskan pembiayaan pula, setakat pemerhatian, ianya tidak ditawarkan kepada pelanggan kerana sifatnya yang lebih berisiko dan tidak sesuai dengan peranan bank yang merupakan financial intermediary atau orang tengah kewangan sahaja. Risiko yang terdapat pada Mudarabah jelas iaitu jika berlakunya kerugian pada perusahaan maka pihak pemodal iaitu bank perlu menanggungnya manakala pengusaha menanggung dari sudut usahanya yang tidak membuahkan hasil.
Bagi sistem perbankan, mereka lebih selesa dengan produk yang memberi jaminan lebih tinggi dan risiko yang rendah iaitu yang berbentuk hutang dan tetap seperti produk berasaskan jual beli secara tangguh, sewaan secara tangguh, fi atau upah dan sebagainya.
Perlu perubahan pada model perniagaan
Bagaimanapun, dalam berhadapan dengan COVID-19, bank-bank Islam perlu melakukan anjakan paradigma model perniagaan mereka. Mereka tidak boleh terlalu bergantung kepada debt based financing lagi kerana suasana COVID-19 memberi tekanan kepada pelanggan dan ramai daripada mereka sedang bergelut untuk bangkit semula.
Mekanisma pembayaran hutang bulanan secara tetap atau bertempoh dengan adanya unsur tambahan keuntungan memberi lebih tekanan kepada perniagaan mereka. Ini tidak banyak membantu perusahaan mereka untuk mengharungi suasana serba mencabar. Apatah lagi untuk bangkit semula memerlukan masa sedangkan pembayaran hutang secara tetap bukanlah sesuatu yang sesuai dengan situasi tersebut.
Mudarabah beri peluang lebih fleksibel
Justeru, Mudarabah lebih memberi peluang kepada pelanggan sebagai pengusaha dan ia juga lebih fleksibal dan anjal terutama dari sudut masa dan tanggungjawab pembayaran. Kelebihan Mudarabah adalah jelas, contohnya sekiranya tiada keuntungan untuk bulan pertama, perusahaan akan diteruskan sehinggalah sudah mencapai tahap yang dikira mampu untuk memberi keuntungan kepada pihak bank sebagai pemodal.
Bagi pihak bank, selain bersedia untuk meneroka akad Mudarabah dalam bentuk pembiayaan, mereka juga perlu mempunyai mekanisma baharu daripada soal mengenal pasti pelanggan atau mudarib/penguasaha yang berkelayakan. Seterusnya, ia juga merupakan bidang perniagaan yang boleh diterima. Aspek pengurusan risiko dan teknikal lain yang semestinya berbeza bagi akad Mudarabah berbanding akad-akad berbentuk hutang seperti Tawarruq, bai al-Inah dan pinjaman/Qard.
Teroka peranan sebagai mudarib yudarib
Selain itu, pihak bank boleh meneroka peranan sebagai mudarib yudarib iaitu pengusaha yang memberikan modal yang diterimanya kepada mudarib atau pengusaha kedua. Ia boleh dijalankan melalui platform Investment Account Platform (IAP) yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia selain akad Wakalah/Pewakilan yang banyak diguna ketika ini.
Pihak bank boleh menerima wang daripada pelabur (Rabb al-Mal) di atas dasar Mudarabah. Kemudian lakukan Mudarabah selari (Mudarib Yudarib) dengan pihak pengusaha sebenar. Hasil dari keuntungan akan diagihkan pula dengan pihak pemodal sebenar (pelabur) selepas ditolak bahagian keuntungan bank.
Bank sebenarnya hanya sebagai penyampai dana. Ia kurang berisiko dan lebih sesuai dengan peranan bank sebagai orang tengah kewangan sahaja. Konsep sebegini sebenarnya sudah mula mendapat perhatian dari perbankan Islam. Dilaporkan sudah terdapat bank-bank Islam yang mula mengorak langkah memperkenalkan produk pembiayaan berasaskan Mudarabah kepada pelanggan terutama kepada usahawan kecil.
COVID-19 memberi cabaran besar kepada kelangsungan kehidupan rakyat dan ia memerlukan langkah drastik dalam berhadapan dengannya. Melalui pengenalan beberapa inovasi baru dalam sistem kewangan Islam akad Mudarabah, Musyarakah, Muzara`ah dan sebagainya maka ianya diharap dalam membantu masyarakat dan negara mengharungi saat getir ini.
--BERNAMA
Dr Ahmad Zakirullah bin Mohamed Shaarani ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.