PENA WANITA

MEMBENTUK MASYARAKAT MAMPAN PASCA PANDEMIK

22/11/2021 09:03 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr. Siti Roshaidai Mohd Arifin

Impak jangka panjang COVID-19 ke atas aspek sosial, kesihatan dan ekonomi telah mula dirasai oleh rakyat Malaysia. Keupayaan masyarakat untuk bangun semula selepas pandemik ini dikenali sebagai ketahanan komuniti. Dalam membentuk komuniti yang berdaya tahan, sistem kesihatan perlulah menitik beratkan aspek pencegahan seperti sokongan sosial yang boleh memberikan kesan baik kepada kesihatan dan kesejahteraan semasa fasa pemulihan.

Sokongan sosial boleh disampaikan melalui kerjasama antara kerajaan dan organisasi dalam komuniti. Organisasi ini termasuklah badan bukan kerajaan, agensi persendirian dan sukarelawan. Mereka memainkan peranan yang sangat penting dalam menyokong proses pemulihan negara pasca COVID-19.

Antara bentuk kerjasama yang sedia terjalin ialah langkah proaktif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang telah menggerakkan seramai 15,000 sukarelawan di bawah agensi itu untuk membantu proses pemberian vaksin.

Kita juga telah menyaksikan bagaimana besarnya impak sumbangan yang telah diberikan oleh sukarelawan dan badan bukan kerajaan termasuklah rmkmenguruskan bank makanan, membekalkan peralatan perlindungan diri untuk barisan hadapan, dan menyampaikan khidmat kaunseling kepada pesakit COVID-19.

Sokongan yang diberikan bukan sahaja menunjukkan solidariti kepada mereka yang terkesan tetapi juga menyokong usaha ke arah mencegah penularan virus COVID-19 dengan menggalakkan orang ramai kekal di rumah. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijunjung. Begitulah ungkapan yang boleh menggambarkan usaha mereka yang telah mengembeling tenaga dalam menyampaikan bantuan semasa pandemik COVID-19 begitu galak melanda negara.

Memperkukuh solidariti dan kerjasama

Justeru, kerjasama rapat kerajaan dan organisasi dalam komuniti ini penting dalam membangunkan semula kesihatan dan kesejahteraan keluarga Malaysia. Organisasi dalam komuniti terbukti telah berjaya mengenalpasti keperluan masyarakat setempat dan tampil menghulurkan bantuan dengan kadar yang segera.

Mereka juga merupakan sumber yang sangat penting dalam menggerakkan perubahan dalam usaha memulihkan kesihatan dan kesejahteraan serta mewujudkan masyarakat yang berdaya tahan pasca pandemik. Kerjasama ini amat penting terutamanya dalam memudahkan pemberian rawatan dan aktiviti kesihatan kepada pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya warga emas, golongan fakir miskin, gelandangan, dan orang kelainan upaya.

Terdapat lebih 30 badan bukan kerajaan yang ditubuhkan untuk memperjuangkan kepentingan kesihatan di Malaysia dan antaranya termasuklah Malaysian Mental Health Association, Pertubuhan Pertolongan Wanita, Mental Illness Awareness and Support Association, dan ANGSANAcare.

Kajian telah membuktikan bahawa kerjasama erat antara kerajaan dan badan bukan kerajaan telah memperbaiki indikator kesihatan dalam komuniti, meningkatkan sumber kewangan sektor kesihatan, dan memperkasakan kapasiti kerajaan tempatan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan.

Apa yang paling penting adalah kerjasama ini telah dibuktikan berkesan dalam mengawal penyakit berjangkit seperti AIDS, tuberculosis dan malaria. Antara faktor kejayaan adalah kerana individu yang terlibat dalam badan bukan kerajaan dilihat sebagai lebih dekat dengan masyarakat, memahami budaya setempat dan tidak terikat dengan mana mana fahaman politik.

Kerjasama ini dilihat mampu menyokong aspirasi kerajaan untuk memulihkan serta menjana semula ekonomi negara bagi mencapai pertumbuhan yang mampan, dengan mengambil kira landskap sosio ekonomi pasca COVID-19 seperti yang telah disebutkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa pembentangan pelan Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 pada 12 Oktober yang lalu.

Semoga kerjasama ini membawa kepada pembentukan keluarga Malaysia yang makmur, inklusif dan mampan.

-- BERNAMA

Dr. Siti Roshaidai Mohd Arifin merupakan Pensyarah Kejururawatan dan Kebidanan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)