TINTA MINDA

WANITA DALAM KONSEP KELUARGA MALAYSIA

06/12/2021 10:16 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Salmiwati Othman, Prof Dr Roshima Said dan Prof Madya Dr Mahadir Ladisma @ Awis

Konsep ‘Keluarga Malaysia’ telah menjadi sebutan apabila ia diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan ia dianggap sebagai satu simbol kebersamaan yang inklusif dalam menghadapi krisis akibat pandemik COVID-19.

‘Keluarga Malaysia’ jelas menunjukkan kepentingan institusi keluarga dalam menghadapi situasi yang mencabar. Dalam konteks institusi keluarga, wanita mempunyai fungsi yang penting dan secara tidak langsung, konsep keluarga Malaysia turut mengiktiraf peranan wanita (iaitu ibu) sebagai salah satu tunjang keharmonian sesebuah keluarga.

Wanita dan cabaran COVID-19

Wanita biasanya berperanan sebagai ibu, isteri, anak perempuan, kakak dan adik perempuan dalam sesebuah keluarga. Walaupun peredaran masa dan zaman telah banyak merubah peranan wanita dalam institusi keluarga, namun penyertaan kaum wanita dalam tenaga kerja tidak sedikit pun mengurangkan tanggungjawab dan peranan mereka sebagai ibu, isteri, dan pengurus rumahtangga.

Amla Salleh dan Nila Inangda,penyelidik bagi artikel “A study on coping strategies employed by successful women in Malaysia: Women in Paid Employment” berpendapat bahawa peranan baharu yang diberikan kepada wanita tidak mengubah peranan tradisi mereka sebagai tunggak rumah tangga.

Ini jelas terbukti ketika negara berdepan ancaman pandemik COVID-19, wanita memainkan peranan yang cukup signifikan dan sama penting dengan lelaki ketika negara berdepan cabaran, termasuk dalam mencegah penularan virus ini di seluruh dunia.

Ramai wanita bertugas sebagai barisan hadapan seperti doktor, jururawat, polis mahupun wanita dalam sektor pendidikan yang berusaha sebaik mungkin untuk menyampaikan ilmu kepada para pelajar dalam Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan Pendidikan Jarak Jauh Terbuka (ODL).

Wanita dan ekonomi keluarga

Wanita bukan sahaja memainkan peranan utama dalam pembentukan generasi akan datang malah merupakan sumber ekonomi yang penting. Berdasarkan trend penyertaan wanita sebagai tenaga buruh di Malaysia, penyertaan wanita meningkat dari 37.2 peratus dalam tahun 1970 kepada 46.7 peratus dalam 1990.

Merujuk laporan Tenaga Buruh Malaysia, Februari 2021, tenaga buruh wanita meningkat sebanyak 2.7 ribu orang kepada 6.23 juta orang berbanding Januari 2021.

Bagaimanapun, jasa dan pengorbanan wanita sebagai seorang surirumah juga tidak boleh dilupakan kerana menjalankan tanggungjawab yang sama pentingnya seperti wanita berkerjaya membangunkan keluarga dan menjaga anak-anak walau tanggungjawab tersebut tidak dapat diukur dalam bentuk nilai bayaran upah dan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Satu kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik Malaysia dan Indonesia berkaitan “Peranan wanita dalam memperkasakan kelestarian ekonomi,kajian perbandingan Malaysia-Indonesia” pada 2020 telah mendapati bahawa tahap kesediaan wanita untuk berperanan dalam pembangunan ekonomi adalah tinggi pada nilai skor min adalah 4.04.

Ini menunjukkan bahawa wanita di Malaysia dan Indonesia mempunyai tahap kesediaan yang tinggi bagi membantu kerajaan dalam memacu ekonomi walaupun dilanda pelbagai cabaran ketika pandemik COVID-19 melanda.

Menangani pandemik dan endemik COVID-19 sebagai sebuah keluarga Malaysia

Kelangsungan peranan wanita dalam keluarga Malaysia juga adalah penting dalam kesihatan awam terutama dalam sektor pendidikan. Wanita merupakan golongan yang memainkan fungsi yang penting di dalam sesebuah struktur masyarakat. Fungsi tersebut merujuk kepada peringkat unit terkecil dalam sesebuah masyarakat iaitu institusi keluarga. Peranan wanita sebagai ibu kepada anak-anak dalam menjaga dan mendidik merupakan antara fungsi utama yang perlu dimainkan oleh mereka.

Menurut Rahimah Abdul Aziz, penulis buku bertajuk “Now you see her, now you don’t :women, work and family life”, dalam hampir kesemua budaya menunjukkan bahawa peranan tradisional wanita adalah melibatkan penjagaan dan mendidik anak, memenuhi keperluan suami dan keluarga. Oleh itu, sebagai ibu moleklah kiranya pendidikan kesihatan terutama dalam aspek keperluan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan menjadi perhatian dalam setiap keluarga ketika pandemik.

Sebagai contoh, para ibu perlu mempunyai pengetahuan asas dan tepat berkaitan kepentingan vaksin kepada keselamatan anak-anak terutama jika anak itu merupakan seorang pelajar.Para ibu tanpa mengira bangsa, agama dan aliran politik perlu menasihati dan memberikan pandangan yang bernas berkaitan kepentingan vaksin kepada anak remaja mereka.

Justeru, para wanita yang bergelar ibu dalam “Keluarga Malaysia” perlu berperanan dan memberi sokongan penuh terhadap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan agar ia berjaya mencapai matlamatnya.

Selain itu, wanita juga berperanan dalam merancang ekonomi keluarga atau diri sendiri dengan lebih teliti. Wanita boleh menyumbang tenaga dalam mengusahakan perniagaan kecil dan sederhana agar peningkatan ekonomi negara kembali pulih. Para wanita yang bergelar surirumah boleh manfaatkan perniagaan dalam talian dengan platform digital bagi menambahkan pendapatan sampingan. Wanita perlu bersikap terbuka menghadapi fasa endemik dengan terus menyumbangkan tenaga kepada apa jua pekerjaan agar gaya hidup sebelum pandemik dapat dinikmati semula.

Kesimpulannya, dapat dikatakan bahawa wanita mempunyai peranan besar dalam pembangunan keluarga, masyarakat dan negara. Dalam konsep “Keluarga Malaysia” ini wanita dari pelbagai latar belakang pendidikan, agama, budaya dan fahaman politik mempunyai tanggungjawab bagi memastikan setiap pelan pemulihan negara dapat dilaksanakan dan negara berjaya keluar daripada kemelut pandemik COVID-19 dan seterusnya memasuki fasa endemik dengan baik.

Pepatah melayu ada mengatakan “tangan yang menghayun buaian juga mampu menggoncangkan dunia” menunjukkan bahawa wanita merupakan salah satu tunjang kekuatan dalam pembangunan negara terutama dalam “Keluarga Malaysia"

-- BERNAMA

Salmiwati Othman merupakan Timbalan Pendaftar, UiTM

Prof. Dr. Roshima Haji Said merupakan Profesor, Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Prof Madya Dr Mahadir Ladisma @ Awis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, UiTM

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)