TINTA MINDA

NILAI SEMULA PELAN DAN PROGRAM BANTERAS RASUAH

15/12/2021 09:22 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Azizan Mohamed Isa

Oleh : Azizan Mohamed Isa

Kadar kes rasuah dan salah laku anggota penjawat awam di negara ini seringkali dipaparkan di media masa walaupun isu COVID-19 masih lagi menjadi fokus utama. Baru-baru ini, seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dilaporkan didakwa atas 32 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM26,200 daripada 2018-2019.

Menurut statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 509 individu ditahan bermula dari Januari hingga Jun 2021 bersabit kesalahan rasuah. Daripada jumlah itu, 260 tangkapan iaitu 51 peratus melibatkan orang awam, manakala selebihnya 249 tangkapan (49 peratus) membabitkan penjawat awam.

Peratusan ini sedikit sebanyak telah mencalarkan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam. Penjawat awam yang sepatutnya menjalankan tugas dengan penuh amanah dan memelihara kepentingan awam, dilihat telah bertindak mengkhianati kepercayaan yang diberikan.

Ketirisan amanah

Laporan Ketua Audit Negara untuk 2020 mendedahkan bahawa sebilangan Kementerian dan Jabatan Persekutuan kerugian sebanyak RM680 juta ringgit akibat ketidakpatuhan dan kecuaian. Angka ini amat membimbangkan dan sekiranya tidak ditangani dengan kadar segera dan diambil pendekatan yang efektif, dapat memberikan impak yang negatif kepada negara daripada sudut ekonomi, imej dan pelaburan antarabangsa.

Usaha membanteras rasuah dan menyemai nilai integriti dalam kalangan penjawat awam melalui jentera pentadbiran kerajaan telah dilaksanakan sebaik sahaja negara mendapat kemerdekaan. Pelbagai dasar dan kempen serta slogan diwujudkan. Beberapa institusi ditubuhkan untuk memantau dan mengawal selia serta mengekang amalan rasuah termasuk penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan salah guna kuasa.

Maklumat di bawah menunjukkan pelbagai pendekatan yang telah diperkenalkan dan dilaksanakan bagi memerangi amalan rasuah bagi tempoh 1959 – 2020 di negara ini.

Bil

Tahun

Kempen/manifesto/slogan

Unit/Institusi

Akta

Pelan/Program

1

1959

Unit Pencegah Rasuah

2

1967

Badan Pencegah Rasuah (BPR)

3

1973

Biro Siasatan Negara

4

1982

Bersih, Cekap dan Amanah

[Akta 123] Akta Badan Pencegah Rasuah 1982

5

1983

Kepimpinan Melalui Teladan

6

1997

[Akta 575] Akta Pencegahan Rasuah 1997

7

2004

Institut Integriti Malaysia (IIM)

Pelan Integriti Nasional (PIN)

8

2005

Hari Integriti Nasional (diisytiharkan pada 5 November 2005)

9

2009

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

  1. [Akta 694] Akta SPRM 2009
  2. [Akta 696] Akta Perlindungan Saksi 2009

Program Transformasi Kerajaan (GTP) 1.0

10

2010

[Akta 711] Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010

11

2011

Mahkamah Khas Rasuah

12

2012

Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0

13

2017

MS ISO 37001:2016 Anti-Bribery Management System (MS ISO 37001)-Sistem Pengurusan Pencegahan Rasuah

14

2018

  1. Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Kebangsaan -Government Integrity Anti Corruption Centre (GIACC)
  2. Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA SPRM)

15

2019

Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023

16

2020

Seksyen 17A Akta SPRM 2009

Indeks persepsi rasuah dan kedudukan negara

Persoalannya, sejauh manakah keberkesanan usaha-usaha yang telah dilaksanakan dalam menangani isu rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan integriti di negara ini? Salah satu kayu ukur untuk menentukan tahap persepsi rasuah dalam negara adalah melalui Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perception Index -CPI). CPI memberikan gambaran tahunan berkaitan tahap rasuah sektor awam sesebuah negara dengan menentukan kedudukan negara tersebut di seluruh dunia.

Berdasarkan laporan kajian daripada Transparency International, Malaysia menduduki tangga 57 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi 2020. Kedudukan ini menunjukkan kemerosotan berbanding kedudukan di tangga 51 pada 2019. Antara faktor kemerosotan tersebut adalah berpunca daripada kes penyalahgunaan kuasa dan rasuah berterusan oleh pegawai awam dan kes-kes rasuah melibatkan ahli politik dan individu kenamaan yang digugurkan pendakwaan.

Ini memperlihatkan walaupun terdapat sistem, undang-undang, polisi, dan badan berautoriti, keberhasilannya dipersoalkan kerana masih belum mampu menangani isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa secara tuntas.

Perhalusi pelan dan program cegah rasuah untuk impak maksima

Sehubungan itu, keperluan penggubal dasar dan polisi khususnya untuk memperhalusi pelaksanaan dan kaedah mana yang dapat memberi impak positif dan keberhasilan yang optimum. Jika polisi terdahulu berfokuskan pencegahan, penguatkuasaan dan hukuman, kini pelaksanaan polisi memerlukan pendekatan baharu yang berteraskan human factor. Memahami bahawa integriti seseorang adalah berdasarkan pegangan dan keutuhan prinsip moral dan etika individu tersebut.

Nilai ini digambarkan melalui sifat-sifat positif yang terserlah daripada sikap dan tingkah laku individu yang berkait rapat dengan sifat amanah, jujur dan ikhlas. Pengaruh masyarakat, jiran dan rakan sejawatan juga memberi impak terhadap nilai moral individu tersebut.

Sempena dengan Hari Antirasuah Antarabangsa yang disambut pada 9 Disember setiap tahun, marilah kita sama-sama berganding bahu mengambil peranan memerangi rasuah dan sentiasa memberi sokongan kepada setiap kempen dan program yang dilaksanakan.

“Semarakkan Integriti, Rasuah Diperangi”

-- BERNAMA

Azizan Mohamed Isa merupakan Pensyarah Jabatan Pengurusan dan Keusahawanan UniKL Business School

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)