TINTA MINDA

WUJUDKAN UNDANG–UNDANG KHUSUS BENDUNG BULI

17/12/2021 09:38 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Muzaffar Syah Mallow

Kejadian buli berlaku lagi dalam negara kita dengan kes terbaharu pendedahan kejadian buli yang berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh. Kita juga jangan lupa dengan isu buli di institusi pengajian tinggi (IPT), iaitu kematian tragis seorang pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Zulfarhan Osman Zulkarnain, pada tahun 2017. Mangsa dipercayai dibuli dan didera selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakannya.

Kesemua insiden ini bukanlah satu perkara yang jarang kita dengar. Ia sudah lama menjadi buah mulut terutamanya mangsa yang terpaksa melaluinya ketika berada dalam kawasan sekolah atau kampus universiti setiap hari. Isu buli ini perlu diatasi dengan segera sebelum ia menjadi lebih serius hingga boleh melibatkan kecederaan parah atau kehilangan nyawa.

Persoalannya, kenapa kejadian buli ini masih berlaku di institusi pendidikan kita sama ada di peringkat sekolah mahupun IPT? Perkara ini menyebabkan seluruh angota masyarakat semakin gusar.

Apakah itu buli?

Buli membawa maksud kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh pelaku atau pembuli terhadap mangsanya. Buli boleh dilakukan sekali atau banyak kali terhadap mangsa. Pelbagai faktor boleh diambil kira yang mempengaruhi seorang pelajar untuk terlibat dalam gejala buli.

Antara yang utama ialah latar belakang keluarga pembuli terbabit yang bermasalah, pengaruh negatif dari rakan sebaya, kurangnya aspek pendidikan moral dan agama. Selain itu, pembuli menghidapi masalah mental atau emosi yang tidak stabil, persekitaran dan budaya ataupun suasana di sekolah atau universiti yang tidak kondusif serta pengaruh buruk yang datang dari internet.

Bagi mengatasi masalah buli di semua sektor pendidikan dalam negara, pihak pengurusan sekolah dan universiti perlu memainkan peranan yang penting, kerana kejadian berlaku di dalam kawasan dan waktu pengawasan pihak sekolah atau universiti. Oleh itu, pihak pengurusan sekolah dan universiti lebih mengetahui perihal yang berlaku dengan terperinci berbanding orang lain.

Perlu berani dedahkan kejadian buli

Dalam usaha mengatasi masalah buli, pihak pengurusan sekolah dan universiti perlu berani mengakui kewujudan kes buli yang kian menggusarkan para pelajar. Kebiasaannya, mangsa atau saksi bagi kejadian buli tidak akan mengadu kepada pihak pengurusan kerana bimbang dengan keselamatan mereka memandangkan tiada jaminan perlindungan kepada pemberi maklumat. Selain itu, cerita mangsa dan saksi kejadian buli juga sukar untuk dipercayai oleh pihak pengurusan.

Pihak pengurusan juga perlu mengambil inisiatif bagi mendapatkan maklumat mengenai kegiatan buli yang berlaku di premis masing-masing sama ada dalam bentuk serangan psikologi atau fizikal. Ia boleh dilakukan dengan meminta pelajar mengisi borang soal selidik berkaitan dengan kegiatan buli. Untuk mendapat maklum balas dan kerjasama yang baik dan menyeluruh mengenainya identiti pelajar yang terlibat hendaklah dirahsiakan.

Peraturan yang jelas mengenai buli

Semua sekolah dan universiti di negara ini perlu mempunyai peraturan yang jelas berkaitan dengan masalah buli. Segala peraturan terbabit perlulah diuar-uarkan setiap masa bukan sekadar diucapkan pada sesi pembukaan persekolahan atau semasa majlis suai kenal ketika masuk ke universiti. Selain itu, poster dan risalah anti buli juga boleh diedarkan untuk dibaca bersama oleh pelajar dengan ibu bapa atau penjaga.

Semua maklumat yang terkandung dalam poster serta risalah yang diedarkan perlulah merangkumi definisi dan jenis buli. Maklumat mengenai panduan mudah mengatasi buli, dan yang paling utama pihak yang perlu dihubungi sekiranya berlaku buli. Selain itu, kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk mewujudkan undang-undang baharu bagi mengatasi masalah buli.

Setiap usaha yang ingin diambil tanpa adanya peruntukan undang-undang tidak akan membawa kesan yang positif. Bagi membendung kegiatan buli yang berterusan khususnya di sekolah dan universiti, pihak kerajaan boleh meminda peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] ataupun mewujudkan akta baharu iaitu ”Akta Anti-Buli”.

Bagi tujuan itu, kerajaan boleh membuat rujukan terhadap peruntukan undang-udang yang ada di United Kingdom dan Amerika Syarikat terhadap isu ini. Dengan adanya peruntukan undang-undang, semua pihak dalam negara kita akan mengambil serius isu buli serta mengelakkan diri mereka daripada terjebak dengan kegiatan itu.

Melalui peruntukan undang-undang ini juga ia boleh memastikan setiap tempat memiliki polisi anti-buli yang lebih jelas, seragam dan sesuai. Menerusi peruntukan undang-undang itu, hukuman yang setimpal juga dapat diberikan kepada pihak yang didapati bersalah melakukan kesalahan buli serta gagal membendung kegiatan buli. Tindakan undang-undang juga boleh diambil terhadap pihak yang didapati menyembunyikan isu buli ini tanpa sebab atau alasan yang munasabah.

Isu buli tidak boleh dipandang ringan ataupun hanya diberi perhatian apabila berlaku sesuatu insiden sahaja seperti kejadian baru-baru ini. Ia memerlukan komitmen tinggi daripada semua pihak, sama ada pensyarah, guru, ibu bapa atau pelajar bagi memastikan semua institusi pendidikan dalam negara ini menjadi gedung ilmu dan bukannya tempat untuk melahirkan generasi samseng. Perbuatan membuli, sama ada untuk berseronok atau kerana benci tidak sepatutnya menjadi amalan biasa atau budaya yang menunjangi institusi pendidikan dalam negara kita.

-- BERNAMA

Dr. Muzaffar Syah Mallow, merupakan Profesor Madya, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)