TINTA MINDA

IMPAK PSIKOLOGI BENCANA BANJIR

24/12/2021 09:58 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Mohd. Shahrul Bin Kamaruddin

Bencana banjir merupakan antara fenomena alam semula jadi yang sering membawa kepada tragedi dan kebiasaannya berlaku dalam keadaan luar jangka. Kesan daripada bencana banjir ini amat besar kepada mangsa yang mengalaminya kerana ia bukan sahaja melibatkan kerosakan dan kemusnahan harta benda, bahkan ia juga melibatkan kehilangan nyawa.

Oleh kerana fenomena bencana ini sering berlaku saban tahun, maka pengurusan komprehensif perlulah dirancang oleh pihak yang terlibat bagi mengatasi masalah pasca banjir kerana ianya mendatangkan impak psikologi dan mental kepada mangsa banjir.

Simptom-simptom psikologikal yang dialami mangsa bencana antaranya adalah sedih, takut, gelisah, risau, bimbang, somatik, fizikal, emosi yang tidak stabil, trauma, mimpi, tidak mahu berkomunikasi (Ehrenreich, 2001). Simptom yang dialami oleh orang dewasa adalah berbeza dengan simptom yang dialami oleh golongan kanak-kanak.

Impak psikologi

Terdapat pelbagai tekanan yang berlaku kepada mangsa banjir sehingga menyebabkan berlakunya impak psikologi yang teruk kepada mangsa banjir. Antaranya adalah bekalan makanan serta kelengkapan yang tidak mencukupi, konflik sesama mangsa banjir, pusat pemindahan yang sesak serta kemusnahan harta benda.

Aktiviti ekonomi juga tidak dapat dijalankan seperti biasa menyebabkan punca pendapatan terputus. Ini akan menyumbang kepada masalah psikologi termasuklah stres, kebimbangan yang berterusan, gangguan emosi dan kognitif di mana berlakunya perasaan sedih, sukar tidur, menyalahkan diri sendiri serta berputus asa.

Ada juga dalam kalangan mangsa banjir yang berisiko mendapat 'Post-traumatic stress disorder (PTSD)' atau gangguan stres pasca trauma.Terdapat empat gejala utama dalam PTSD iaitu imbasan semula (re-experiencing), gejala pengelakan (avoidance), perubahan negatif pada kognitif/emosi serta peningkatan kepekaan deria (hypersensitivity). Di pusat pemindahan banjir, individu boleh mendapatkan bantuan daripada Pasukan Kesihatan Mental dan Respons Psikososial sekiranya perlu.

Antara perkhidmatan psikososial yang diberikan adalah psychological first aid, kaunseling, melaksanakan teknik relaksasi serta saringan kesihatan mental bagi mengenal pasti tahap emosi serta kemurungan dalam kalangan mangsa yang terlibat.

Pengaruh mental

Faktor-faktor bencana yang boleh mempengaruhi kesihatan mental dibahagikan kepada empat jenis:

1) Faktor yang berkaitan dengan bencana yang berlaku iaitu tahap, jenis dan tempoh masa berlaku bencana tersebut.

2) Faktor interpersonal iaitu kekuatan sistem sokongan sosial termasuk keluarga dan sumber kewangan.

4) Faktor komuniti iaitu sejauh mana peranan komuniti membantu mangsa yang terlibat dengan bencana.

Faktor yang berkaitan dengan individu seperti sejarah kesihatan, sejarah hidup, tekanan hidup seharian, pengalaman trauma yang lalu serta keupayaan daya tindak.

Keperluan kepada bantuan psikologi untuk mangsa banjir ini sebenarnya bermula sejak dari awal berlaku kejadian iaitu semenjak mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan. Menurut Said, Ghafor & Nazri (2013), melalui kajian yang dilakukan mendapati konflik yang wujud di pusat pemindahan mangsa banjir antaranya adalah bekalan makanan yang tidak mencukupi, tiada kesefahaman sesama mangsa banjir, pusat pemindahan yang sesak, kelengkapan infrastruktur yang tidak mencukupi.

Konflik ini akan menambahkan tekanan yang dirasai oleh mangsa banjir semasa berada di pusat pemindahan. Konflik seterusnya yang dilalui oleh mangsa adalah lebih kritikal iaitu apabila pulang ke rumah dalam keadaan kemusnahan harta benda, rumah yang berselerak, lumpur tebal, dan pelbagai kerosakan kekal ataupun sementara.

Hal ini akan menambahkan tekanan yang dilalui oleh mangsa banjir ditambah pula dengan aktiviti ekonomi seharian yang tergendala sehingga keadaan pulih sepenuhnya. Konflik-konflik ini seterusnya menyumbang kepada masalah psikologi yang dialami oleh mangsa banjir termasuklah kebimbangan, tekanan, kesedihan,trauma, krisis emosi, masalah penyesuaian. Tekanan emosi yang dialami oleh mangsa mengambil masa yang lama untuk dipulihkan berbanding dengan masalah kesihatan fizikal yang dialami oleh mangsa.

Terdapat beberapa langkah yang penting dalam pengurusan emosi. Ia melibatkan semua fasa iaitu sebelum bencana berlaku, ketika berpindah, di pusat pemindahan serta apabila kembali semula ke rumah. Pertama adalah membuat perancangan dan persediaan. Pada tahap ini, individu mula bersedia menghadapi sebarang kemungkinan masalah bencana.

Persediaan rapi perlu dilakukan termasuk persediaan dari sudut fizikal dan barangan yang diperlukan, rancangkan pelan pergerakan dan pengangkutan yang selamat, apa yang perlu dipindahkan, bagaimana menyesuaikan diri serta membuat persediaan mental dan spiritual.

Jika terdapat penyakit sedia ada tidak kira penyakit fizikal atau mental, pastikan anda mempunyai bekalan ubatan yang mencukupi kerana ini juga boleh mendatangkan tekanan. Seterusnya adalah mempraktikkan kemahiran pengurusan tekanan serta penyelesaian masalah yang baik. Kenal pasti masalah yang dihadapi serta lihat bagaimana langkah penyelesaian.

Minta pertolongan daripada orang lain sekiranya perlu. Berkongsi masalah serta perasaan yang dialami, berfikiran positif serta cuba menyesuaikan diri dengan keadaan dapat membantu mengurangkan tekanan.

Kekalkan interaksi serta hubungan dengan keluarga dan rakan-rakan untuk membantu menguatkan semangat.Kekalkan rutin harian seperti biasa. Pastikan supaya individu tersebut mendapat tidur dan makan yang cukup, serta lakukan riadah yang bersesuaian di masa lapang. Pengisian masa yang produktif dapat menghalang mangsa daripada berfikir tentang masalah secara berterusan.

Manakala langkah seterusnya adalah pengukuhan rohani serta spiritual di mana ia dapat membantu individu mendapatkan kekuatan mental serta daya tahan. Sokongan daripada keluarga dan masyarakat juga amat membantu individu dalam membina kekuatan diri menghadapi bencana yang dihadapi.

-- BERNAMA

Mohd. Shahrul Bin Kamaruddin merupakan Kaunselor IKM Kuching/Ikon Kaunselor MARA

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)