TINTA MINDA

PENTINGNYA KEMAHIRAN KEIBUBAPAAN DIGITAL KEPADA DAYA TAHAN DIGITAL KANAK-KANAK

03/01/2022 09:49 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Norsiah Abdul Hamid

Oleh : Prof. Madya Dr. Norsiah Abdul Hamid

Pandemik COVID-19 sememangnya mempengaruhi manusia di peringkat global, termasuk rakyat Malaysia. Perkembangan semasa menunjukkan Malaysia berprestasi baik dari segi inovasi teknologi dan penggunaan perkakasan dan perisian berkaitan teknologi. Indeks Pengetahuan Global 2020 oleh United Nations Development Programme (UNDP) melaporkan Malaysia berada di kedudukan ke-33 daripada 138 negara dari segi infrastruktur pengetahuan, yang dikategorikan sebagai negara yang berprestasi tinggi.

Namun, di sebalik prestasi know-how dan know-what teknologi yang baik, tahap penggunaan dan kebergantungan digital dalam kalangan generasi muda Malaysia amat membimbangkan.

Peningkatan masa melayari aplikasi dalam talian dan masa bersama skrin (sama ada skrin telefon pintar, tablet, televisyen dan lain-lain) yang ketara menambah isu keselamatan dalam talian kepada kanak-kanak yang turut sama memberi risiko besar kepada ibu bapa, bahkan situasi ini berlaku sejak sebelum pandemik lagi.

Walaupun terdapat peningkatan 155 peratus dalam jumlah anak-anak yang menggunakan internet, kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan pemerhatian dan kawalan oleh ibu bapa menurun daripada 53.4 peratus pada 2018 kepada 34.4 peratus pada 2020. Ini menunjukkan masih kurang kesedaran dalam kalangan ibu bapa dalam aspek keibubapaan digital, terutama untuk melindungi anak-anak mereka dalam era digital.

Peluang mengakses digital pengaruhi perkembangan, keselamatan kanak-kanak

Peluang yang diberikan oleh ibu bapa untuk mengakses alat dan permainan telah mengubah cara anak-anak melihat, berfikir, berinteraksi, dan menyesuaikan diri dengan perubahan dunia terutama pada era Revolusi Industri 4.0. Anak-anak, dari usia setahun sudah menghabiskan banyak waktu di depan skrin yang disebut "waktu layar" menggunakan pelbagai saluran sehingga membawa kepada pelbagai risiko dan bahaya, bukan hanya untuk kesihatan mental, fizikal dan psikologi, tetapi juga kesejahteraan hidup mereka.

Penggunaan telefon bimbit dan media digital yang keterlaluan juga mempengaruhi mood dan kualiti tidur kanak-kanak, yang menyebabkan kes lebih serius seperti ketagihan, kemurungan dan kemerosotan prestasi akademik mereka. Media digital juga mendatangkan risiko pedofilia, pornografi kanak-kanak, dadah, buli siber, penggodaman, perjudian dan lain-lain. Oleh itu peranan, kemahiran dan gaya keibubapaan dalam menangani masalah global penggunaan media digital oleh kanak-kanak sangat penting.

Sebelum COVID-19, ramai penyelidik akademik, agensi kerajaan dan sektor swasta telah mengambil inisiatif untuk meningkatkan daya tahan digital dalam kalangan remaja dan kanak-kanak di Malaysia. Contohnya, kajian oleh Digi Malaysia bertajuk “Digi Yellow Heart Cyberbullying and Youth Disposition Survey 2018” melibatkan belia berusia 13 hingga 21 tahun, daripada sekolah bandar dan luar bandar. Digi juga bekerjasama dengan UNICEF dan Telenor Group untuk menghasilkan buku keibubapaan bertajuk "Bagaimana untuk bercakap dengan anak-anak anda mengenai internet".

Corak penggunaan media digital, perangkap tingkah laku obsesif

Corak penggunaan, sikap, dan tingkah laku digital semasa dan selepas COVID-19 lebih penting dan mesti diperhalusi untuk memahami gaya keibubapaan digital dan pengaruhnya terhadap daya tahan digital kanak-kanak. Pada era digital ini, semakin ramai orang tanpa mengira peringkat usia terperangkap dalam tingkah laku obsesif.

Penting untuk kita memahami bahasa dan rentak digital Malaysia serta kerumitan yang dihadapi oleh ibu bapa dan anak-anak mengenai pengalaman dalam talian mereka. Keperluan untuk melindungi anak-anak daripada terdedah kepada risiko kandungan perlu dilakukan melalui komitmen serius semua pihak. Penggunaan media digital oleh kanak-kanak jelas berubah dengan munculnya internet.

Tanggungjawab keselamatan dalam talian kanak-kanak terletak di bahu ibu bapa dan masyarakat. Bagaimanapun, mengawal dan memantau kanak-kanak dalam talian juga harus menjadi tugas pihak yang berkepentingan, termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, NGO, sekolah dan guru, serta pemimpin masyarakat.

Peningkatan jumlah penggunaan dalam talian oleh kanak-kanak adalah “bom jangka” dan tindakan sewajarnya perlu diambil untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan risiko digital. Oleh itu, penting bagi ibu bapa memiliki kemahiran keibubapaan digital bagi membantu anak-anak untuk berdaya tahan digital dan bersedia bagi menghadapi masa depan yang lebih mencabar.

Gaya keibubapaan pengaruhi perkembangan kanak-kanak

Istilah ‘keibubapaan digital’ bermaksud penglibatan ibu bapa dalam aktiviti media digital anak mereka (pengantaraan/mediasi ibu bapa), dan inisiatif dalam memasukkan media digital dalam aktiviti harian anak-anak mereka. Konsep keibubapaan digital muncul disebabkan isu semasa yang semakin meningkat dan keperluan peningkatan kesedaran masyarakat. Perlu ditekankan bahawa rumah adalah tempat asas bagi pembangunan dan minat anak-anak, membentuk kepekaan dan nilai terhadap sesuatu perkara, termasuk kepada media digital.

Justeru, ibu bapa memberi pengaruh yang besar terhadap keperibadian anak-anak mereka. Kehidupan harian seorang kanak-kanak sangat berkait rapat dengan gaya keibuan dan kebapaan mereka. Telah diketahui bahawa anak-anak cenderung untuk memerhati dan meniru pada usia muda. Oleh itu, mereka memerlukan ibu bapa untuk terlibat sama semasa ‘waktu layar’ mereka. Penglibatan ibu bapa adalah antara amalan yang dilihat berkesan menangani risiko dan menjadi tingkah laku teladan selari dengan cadangan gaya keibubapaan yang dikaji oleh para sarjana.

Program literasi digital untuk semua anggota masyarakat masih sangat diperlukan dan keperluan untuk meningkatkan kemahiran keibubapaan pada zaman digital adalah sangat penting. Ketahanan anak-anak secara intrinsik dikaitkan dengan ibu bapa atau penjaga mereka.

Gagasan gaya keibubapaan pertama kali diperkenalkan oleh Diana Baumrind untuk menjelaskan tentang variasi dalam cara ibu bapa berusaha menjaga tingkah laku anak mereka dan cara mereka bersosial. Teori Baumrind menghujahkan terdapat hubungan erat antara jenis gaya keibubapaan dan tingkah laku anak-anak. Gaya keibubapaan yang berbeza boleh mempengaruhi perkembangan anak dan memberikan hasil yang berbeza.

Empat gaya keibubapaan

Keibubapaan autoritatif mendorong anak-anak untuk bertanggungjawab, berdikari dan bijak, sementara keibubapaan autoritarian lebih mengawal dan tidak mengharapkan bantahan anak-anak. Keibubapaan permisif adalah responsif dan mesra, namun, kurangnya pelaksanaan peraturan. Akhir sekali, ibu bapa yang neglectful, iaitu kekurangan sokongan emosi dan gagal melaksanakan sebarang peraturan. Empat gaya keibubapaan tradisional yang masih relevan saat ini perlu digabungkan dengan gaya keibubapaan digital untuk menambah kualiti gaya keibubapaan yang lebih baik pada era digital kini.

Ibu bapa mestilah sentiasa berwaspada dan berhati-hati kerana proses pemantauan harus bermula di rumah. Sekiranya ibu bapa gagal memantau aktiviti dalam talian anak-anak di rumah, ia akan mendedahkan anak-anak kepada ancaman digital. Sikap dan kepercayaan ibu bapa boleh mempengaruhi penggunaan media anak-anak mereka. Keibubapaan digital juga menunjukkan pentingnya ibu bapa terlibat sama dalam mengenali kesan kepada personaliti anak semasa ‘waktu layar’. Penyertaan ibu bapa pada waktu layar diharapkan dapat menzahirkan pemahaman dan interpretasi baharu mengenai mediasi ibu bapa dan gaya keibubapaan digital.


-- BERNAMA

Prof. Madya Dr. Norsiah Abdul Hamid merupakan Ketua Unit Penyelidikan Civic Media, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM), dan EXCO Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia (MACE).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)