Kita baru sahaja dikejutkan dengan berita kemalangan maut melibatkan 10 mangsa yang sebahagian besarnya adalah dalam satu keluarga. Berita ini sangat menyayat hati dan bukan pertama kali berlaku di negara kita. Sudah banyak peringatan dikeluarkan oleh banyak pihak berkaitan prosedur operasi standard (SOP) jika berlaku kecemasan di atas jalan terutamanya di jalan yang mempunyai had kelajuan tinggi seperti lebuh raya kita, tetapi kejadian yang sama masih berulang. Dimanakah silapnya perkara ini?. Walaupun ia merupakan takdir kepada mangsa, tetapi ia wajar menjadi peringatan kepada mereka yang masih hidup terutama yang sering memandu di atas jalan.
Tanggungjawab ketika menjadi pengguna kepada jalan berkelajuan tinggi pasti tidak sama dengan tanggungjawab ketika menjadi pengguna jalan raya dalam kawasan bandar yang sesak. Di lebuh raya terutamanya yang mempunyai had laju melebihi 80 kilometer/jam (km/j), impak kemalangan adalah lebih tinggi berbanding dalam kawasan bandar yang kebanyakkan individu memandu dengan kelajuan antara 60 hingga 40 km/j.
Fakta yang perlu kita semua ketahui adalah ketika memandu pada kelajuan tinggi, pemandu tidak akan dapat memberhentikan kenderaaan dengan selamat dalam tempoh yang singkat. Perkara ini kerap kali ditekankan dalam semua modul keselamatan jalan raya terutamanya dalam silibus kursus pemanduan bagi individu yang ingin mendapatkan lesen memandu. Maka ia menjadi perkara paling asas yang perlu diketahui untuk memastikan keselamatan diri.
Utamakan keselamatan diri serta penumpang
Berbalik semula tanggungjawab untuk menjaga keselamatan pemandu dan penumpang ketika berada di lebuh raya. Ia bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan kerana sedikit kecuaian boleh membawa padah. Walaupun kecemasan atau kerosakan kenderaan tidak dapat dijangkakan, kepantasan berfikir dan tindakan berkaitan keselamatan semua pengguna jalan sangat diperlukan. Sekurang-kurangnya kita cuba untuk mengurangkan risiko yang lebih parah.
Cuba cari kawasan yang selamat seperti hentian rehat untuk berhenti. Sekiranya berlaku kes-kes kecemasan dan perlu berhenti serta merta, pastikan kenderaan berhenti sejauh mungkin ke kiri bahu jalan, jauh dari aliran trafik. Pastikan juga tayar kenderaan dipusingkan ke kiri supaya jika berlaku kejadian langgar belakang, kenderaan anda akan terus ke kiri dan bukannya masuk ke aliran trafik yang pastinya lebih bahaya.
Jangan sesekali padam lampu kenderaan anda terutama lampu amaran, pastikan semua penumpang keluar dan duduk dalam kawasan selamat serta jauh dari kenderaan yang rosak (di belakang penghadang lebuh raya). Hubungi pihak keselamatan dengan segera. Jangan sesekali cuba membaiki atau meletakkan sebarang peranti amaran (kecuali benar-benar selamat) di laluan kereta kerana kita mungkin berisiko untuk dilanggar terutamanya pada waktu malam. Tinggalkan kenderaan dengan segera ke tempat selamat sehingga bantuan tiba. Ini adalah langkah paling selamat yang perlu dilakukan dengan mengutamakan keselamatan diri dahulu.
Peka pada persekitaran
Kepada pengguna jalan raya yang lain, peka terhadap persekitaran pemanduan adalah kunci utama keselamatan diri dan pengguna jalan yang lain. Penggunaan bahu jalan terutama untuk kenderaan berat ini kadangkala boleh meninggalkan bala kepada kenderaan yang mungkin berhenti kerana kecemasan. Tambahan pula kenderaan jenis ini sudah tentu memerlukan jarak berhenti selamat yang lebih panjang berbanding kenderaan lain disebabkan faktor berat dan dimensi kenderaan tersebut.
Kepada semua pengguna lebuh raya, untuk mengelakkan impak kemalangan yang teruk jika perlu bergerak di lorong kecemasan kerana faktor yang tak dapat dielakkan, pemandu harus memandu dalam kelajuan yang rendah untuk memungkinkan mereka berhenti dengan selamat jika terdapat bahaya dihadapan. Untuk kenderaan dilorong lain pula, jarak selamat dan had laju perlu sentiasa dipatuhi. Yang paling utama sentiasa peka dengan perubahan aliran trafik dan patuhi peraturan di lebuh raya kerana malang tidak berbau.
Jadikan peristiwa kemalangan sebegini sebagai pengajaran untuk kita semua dan semoga mangsa yang terlibat diberikan kesabaran. Untuk mereka yang kerap menggunakan jalan raya terutama di jalan bertaraf lebuh raya, jangan ambil mudah soal keselamatan diri dan penumpang anda. Utamakan keselamatan nyawa dahulu.
-- BERNAMA
Prof. Madya Dr. Munzilah Md. Rohani merupakan Ahli Smart Driving Research Center, UTHM dan beliau juga merupakan ahli Persatuan Sain Pengangkutan Malaysia