Malaysia amat sinonim sebagai antara destinasi yang dikenali sebagai syurga makanan. Rakyat pelbagai kaum, budaya dan etnik negara ini menghasilkan kepelbagaian dari sudut cita rasa, menu dan masakan. Terdapat banyak restoran dan outlet makanan yang wujud seiring dengan permintaan tinggi dalam sektor makanan dan minuman di negara ini.
Hampir keseluruhan restoran dan outlet makanan memberi pilihan kepada pelanggan untuk dine in atau takeaway (bawa pulang). Untuk perkhidmatan bawa pulang, kebanyakan restoran menggunakan pembungkus makanan yang berasaskan plastik. Penggunaan plastik ini didapati semakin meningkat pada waktu pandemik COVID-19 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalam Pergerakan yang hanya membenarkan perkhidmatan bawa pulang atau penghantaran makanan. Plastik sekali guna seperti pembungkus makanan, cawan, dan penyedut makanan direka untuk dibuang selepas digunakan.
Satu daripada faktor penggunaan plastik sekali guna ini menjadi pilihan kepada penjual makanan adalah kerana kosnya yang murah. Namun begitu walaupun pengusaha restoran dapat menjimatkan kos, penggunaan plastik sekali guna ini memberi impak yang negatif terhadap alam sekitar. Plastik mengambil masa 400 sehingga 1,000 tahun untuk diuraikan secara semulajadi. Natijahnya, plastik-plastik ini menjana lebih banyak sisa timbunan sampah di tempat pembuangan sampah atau hanyut ke lautan.
Dilaporkan pada 2020 sahaja, rakyat Malaysia menggunakan 148,000 tan pembungkus makanan plastik. Statistik ini amat membimbangkan kerana sampah-sampah plastik ini menyumbang sebahagian daripada 5.25 trilion mikro dan makro kepingan plastik yang memenuhi lautan dunia setiap tahun. Sisa-sisa plastik sekali guna bukan sahaja menyebabkan penambahan kapasiti terhadap kawasan pembuangan sampah di Malaysia malahan plastik mikro menyebabkan impak negatif kepada kesuburan tanah dan sumber air bersih.
Menyedari hakikat permasalahan ini, Kementerian Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim memperkenalkan Pelan Hala Tuju Ke arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 pada 2018. Pelan Hala Tuju ini telah mengenal pasti pelbagai cabaran dalam mencapai sasaran penggunaan sifar terhadap plastik sekali guna. Antara cabaran yang dihadapi adalah mewujudkan kesedaran kepada masyarakat tentang penggunaan plastik sekali guna ini. Bagaimanapun, setelah dua tahun Pelan ini diperkenalkan, obsesi pengguna dalam penggunaan plastik sekali guna ini didapati semakin meningkat iaitu 1.16 kilogram per kapita pada 2018 kepada 16.8 kilogram per kapita pada 2020, menjadikan Malaysia sebagai penyumbang terbesar pencemaran plastik di Asia.
Kemusnahan alam dalam sedar: niat tanpa tindakan
Tahap kesedaran pengguna tentang betapa kritikalnya masalah pencemaran plastik yang melanda dunia dan di dalam negara masih lagi rendah. Kajian menunjukkan bahawa kecenderungan pengguna untuk tidak menggunakan plastik sekali guna dipengaruhi oleh beberapa faktor. Antaranya adalah pengetahuan pengguna, kesedaran tentang kesan plastik terhadap pencemaran alam, faedah psikologi kepada pengguna, tekanan sosial, dan juga kerelaan membayar harga yang lebih untuk bahan alternatif menggantikan plastik sekali guna.
Namun begitu, agak sukar untuk melaksanakan kempen dengan mengambil kira kesemua faktor tersebut. Sebagai contoh, pengguna lebih mudah menerima kempen ‘hari tiada beg plastik’ semasa membeli barang keperluan di pasar raya berbanding di pasar basah. Pengguna merasakan adalah tidak praktikal untuk menggunakan beg yang boleh diguna semula atas alasan penggunaan plastik sekali guna lebih mudah kerana boleh terus dibuang. Sementara itu, beg yang boleh diguna semula perlu dibersihkan apabila telah selesai menggunakannya. Dalam hal ini, ternyata pengguna lebih mengutamakan keselesaan dengan tidak perlu bersusah payah berbanding memikirkan kesan plastik sekali guna terhadap alam sekitar.
Dalam pada itu satu lagi dapatan kajian menunjukkan pengguna tidak menitik beratkan impak kesan plastik terhadap alam sekitar. Kajian ini meninjau persepsi peniaga-peniaga makanan di pasar malam di Kuala Selangor terhadap kesan penggunaan plastik. Didapati sebahagian besar peniaga-peniaga makanan tersebut lebih bimbang kesan penggunaan pembungkus plastik terhadap kesihatan mereka berbanding kesan terhadap alam sekitar.
Iklan dapat mempengaruhi sikap pengguna
Kini, Pelan Hala Tuju Ke arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 telah pun memasuki tahun keempat. Amalan membawa beg sendiri untuk membeli-belah masih belum menjadi budaya masyarakat Malaysia. Kajian menunjukkan 62 peratus pengguna masih tidak membawa beg kitar semula. Kajian yang sama juga melaporkan, media memainkan peranan yang penting untuk menyebarkan maklumat dan menyemai kesedaran alam sekitar kepada pengguna.
Sehubungan dengan itu, peranan media perlu dipergiatkan dalam usaha meningkatkan kesedaran pengguna. Melalui kesedaran ini pengguna berupaya untuk mengubah sikap dan memilih pembungkusan makanan yang boleh diguna semula. Dengan perubahan sikap ini, pengguna akan lebih mudah menerima mesej pengiklanan, aktiviti dan program yang berkaitan yang akhirnya akan mempengaruhi tingkah laku pengguna dalam mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
Teknik ‘Green Marketing’
Beberapa kaedah telah dikenalpasti yang dapat mempengaruhi tingkah laku pengguna. Antaranya adalah adaptasi kempen “green marketing” ataupun “pemasaran hijau”. Teknik pemasaran hijau merupakan strategi yang melibatkan penghasilan dan promosi produk mesra alam. Promosi berbentuk mesej yang memberi faedah kepada pengguna apabila menggunakan produk mesra alam perlu diberi penekanan.
Penggubal dasar dan penganjur kempen juga dicadangkan untuk mengenal pasti kategori pengguna yang paling terkesan dengan idea mengurangkan penggunaan plastik sekali guna ini.
Ini adalah untuk memastikan keberkesanan pemasaran hijau terhadap pengguna secara tersasar. Secara umumnya, terdapat lima segmen pengguna yang menggunakan barangan mesra alam iaitu (1) tegar, (2) sederhana, (3) berkala, (4) sinis, dan (5) santai. Pengguna barangan mesra alam dalam segmen ‘tegar’ akan lebih tertarik dengan mesej-mesej pengiklanan kempen pengurangan plastik sekali guna. Pengguna dalam segmen ‘sederhana’ tidaklah mempunyai semangat yang tinggi berbanding pengguna ‘tegar’ tetapi mereka agak cenderung menerima mesej untuk memelihara alam sekitar.
Selain itu, kempen kesedaran yang dilaksanakan perlu melibatkan beberapa elemen penting seperti memperlihatkan unsur kemusnahan alam sekitar. Mesej seumpama ini berupaya memberi kesan yang mendalam dan seterusnya dapat mempengaruhi tingkah laku pengguna. Selanjutnya, mesej iklan yang mengetengahkan elemen ‘ketakutan’ digunakan dalam pengiklanan. Pengguna lebih mengingati mesej iklan dengan elemen ‘ketakutan’, ini meningkatkan keberkesanan iklan tersebut. Paparan imej seolah-olah ikan yang isinya penuh dengan sisa plastik seperti gambar di bawah.
Pengguna juga akan lebih terpengaruh dengan mesej yang menunjukkan gaya hidup tanpa plastik sekali guna adalah merupakan satu norma sosial yang baharu. Pengguna tidak mahu ketinggalan dalam trend gaya kehidupan baharu. Kegagalan untuk mengikuti gaya hidup baharu akan menyebabkan seseorang itu rasa terasing dan dipandang negatif oleh masyarakat.
Saban tahun, pelbagai kempen hindari plastik sekali guna telah dilaksanakan, namun keberkesanannya seringkali dilihat tidak mencapai matlamat. Perancangan dan pelaksanaan ke arah sifar plastik sekali guna mestilah dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan berpaksikan kefahaman mengenai segmen pengguna dan elemen kempen yang mampu memberi kesedaran dengan efektif.
Diharapkan Pelan Hala Tuju Ke arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 yang dilancarkan pada tahun 2018 akan terus dipergiatkan. Kemajuannya perlu dipantau dan laporannya diterbitkan secara berkala untuk makluman umum. Libat urus secara kolektif bersama stakeholder serta rakan strategik dalam mendidik, memberi kesedaran, advokasi dan intervensi mengenai kepentingan menghindari penggunaan plastik sekali guna perlu diperkasakan lagi.
-- BERNAMA
Muhamad Shahrin Hashim merupakan Pensyarah di Jabatan Pemasaran dan Perniagaan Antarabangsa, UniKL Business School