Oleh: Dr Kartini kamaruzzaman dan Kazzman Kamaruzzaman
Konsep Keluarga Malaysia menjadi aspirasi utama dalam meneruskan perpaduan dan kebersamaan serta semangat cintakan negara. Konsep Keluarga Malaysia menekankan pendekatan untuk berkongsi semangat kebersamaan, mengambil berat terhadap satu sama lain sebagai anggota keluarga disamping berikhtiar dengan bersungguh-sungguh untuk menjaga keutuhan negara yang berpegang kepada nilai-nilai kekeluargaan agar masyarakat saling melengkapi.
Sungguhpun Malaysia masih dilanda wabak COVID-19, namun, ujian ini tidak seharusnya menghentikan kelangsungan untuk masyarakat daripada terus menyemai rasa cinta kepada negara. Malah, konsep Keluarga Malaysia bertindak sebagai hala tuju strategik agar masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan bangsa dapat bersama-sama berganding bahu mendepani rintangan.
Kita perlu menyingkap bahawa Keluarga Malaysia bukanlah sekadar konsep, tetapi membawa tujuan serta keinginan negara untuk membangunkan rakyat Malaysia sebagai satu entiti yang berganding bahu dan saling melengkapi antara satu sama lain. Ini termasuklah saranan mengamalkan nilai-nilai yang menjadi teras pembentukan Keluarga Malaysia seperti prihatin, bersatu padu, bertoleransi, hormat-menghormati, berkasih sayang dan bertanggungjawab. Kesemua ini merupakan teras penting nilai-nilai dan ciri-ciri Keluarga Malaysia.
Bahkan, nilai-nilai yang disebutkan tadi merupakan nilai-nilai universal yang amat dititikberatkan oleh setiap agama. Jika kita lihat menerusi perspektif Islam, ketika Nabi Muhammad S.A.W berhijrah dari kota Mekah ke Kota Madinah, antara perkara pertama yang dibuat oleh baginda ialah menyatupadukan masyarakat Islam khususnya dalam kalangan Muhajirin dan Ansar. Baginda juga memeterai perjanjian dengan masyarakat Yahudi dan kaum-kaum lain melalui Piagam Madinah. Ia merupakan satu tuntutan untuk hidup bersatu padu, prihatin antara satu sama yang lain dan mengelakkan perpecahan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit. ‘Ibrah daripada peristiwa pemeteraian Piagam Madinah itu amat sesuai untuk kita contohi dalam mengekalkan keharmonian hidup dalam kalangan masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk.
Keluarga Malaysia menerusi pembudayaan ilmu pengetahuan
Untuk menjadi rakyat Malaysia yang prihatin, kesedaran dan ilmu pengetahuan adalah penting. Masyarakat perlulah cakna berkenaan sejarah, kehidupan, persekitaran dan hal ehwal semasa. Contohnya, apakah yang dimaksudkan dengan prihatin dan bagaimana seseorang dapat menjadi insan yang prihatin. Kesemuanya memerlukan ilmu pengetahuan. Malah, menerusi pendidikan dan ilmu pengetahuan yang diperolehi dari sumber yang sahih, ia dapat membimbing diri seseorang untuk mengetahui apakah kaedah terbaik untuk merealisasikan dan memanfaatkan nilai keprihatinan dalam konteks diri sendiri, keluarga, dan masyarakat.
Islam memandang tinggi kepentingan ilmu pengetahuan. Dalam Al-Quran, terminologi ‘ilmu’ dan perkataan yang sinonim dengannya disebut sebanyak 105 kali. Malah wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad (SAW) turut menekankan kepentingan menuntut ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan bukan sahaja sebagai paksi penting pendidikan, malah ia mempunyai kaitan yang rapat dengan pembentukan jiwa dan kerohanian seseorang. Oleh yang demikian, ilmu pengetahuan perlu menjadi asas yang membolehkan seseorang menilai dan memberi makna kepada sesuatu perkara.
Keluarga Malaysia menerusi pembentukan akhlak
Nilai keprihatinan yang ditunjukkan sesama masyarakat menunjukkan adanya pembentukan akhlak dan pengisian kerohanian. Akhlak bukan sahaja merujuk kepada budi pekerti, kelakuan, dan tabiat, bahkan ia merangkumi hubungan individu dengan pencipta-Nya serta sesama makhluk yang lain. Untuk melahirkan masyarakat yang prihatin, bertanggungjawab dan bersatu-padu, ia memerlukan disiplin dan pegangan pendirian yang berterusan. Malah, pembentukan akhlak yang baik secara dasarnya dibentuk melalui jiwa dan rohani yang baik.
Dalam sebuah Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim, Baginda Rasulullah (SAW) bersabda: “Ketahuilah bahawa pada sesuatu jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik, maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).” Hati (jantung) yang dimaksudkan di dalam Hadith tersebut merujuk kepada jiwa seseorang. Jika jiwa seseorang itu dalamannya baik, maka akhlak yang terbentuk di luar jasad seseorang itu sudah semestinya baik dan begitulah sebaliknya.
Dalam konteks hidup bermasyarakat, Islam amat menyarankan kehidupan yang dapat dijalani secara bersama dengan mengamalkan akhlak yang baik. Islam juga mementingkan keseimbangan dunia dan akhirat dan menolak gaya hidup yang mengasingkan diri. Seperti yang disebut dalam Al-Quran yang bermaksud: “Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bagianmu di dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sesunguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan” (Surah Al-Qasas: 77).
Justeru, matlamat mencapai Keluarga Malaysia juga menjadi tuntutan yang diraikan agama Islam dan setiap agama. Di sini, nilai seperti keprihatinan juga menunjukkan usaha untuk membangunkan akhlak masyarakat dan sebagai wadah untuk melahirkan masyarakat yang mempunyai keperibadian yang baik.
Keluarga Malaysia dan penglibatan sosial
Penglibatan masyarakat dalam merealisasikan matlamat negara untuk membangunkan Keluarga Malaysia merupakan aktiviti sosial yang memerlukan semangat kebersamaan dan kerjasama dari semua lapisan masyarakat. Islam melihat penglibatan sosial sebagai kaedah untuk meningkatkan kualiti kehidupan yang baik (hayat thoiyibah) dan juga mengukuhkan peranan individu dalam sesebuah masyarakat. Manusia diciptakan Allah dan disempurnakan dengan akal fikiran sebagai sebaik-baik penciptaan. Kurniaan akal fikiran membolehkan manusia untuk memberi makna sesuatu perkara yang berlaku dalam kehidupan mereka. Ia juga membolehkan manusia mengatur, memakmurkan dan melestarikan bumi sebagai tempat tinggal yang kondusif.
Pembentukan Keluarga Malaysia boleh dilihat sebagai seruan mengajak kepada kebaikan dan aktiviti yang sangat dituntut oleh agama Islam. Contohnya, sesebuah komuniti yang berkongsi ilmu pengetahuan tentang kaedah menjadi masyarakat yang prihatin dan kemudian melakukan aktiviti seperti mengajak dan mendidik masyarakat untuk mengambil berat terhadap orang lain merupakan aktivisme sosial yang mulia.
Penglibatan masyarakat juga mempunyai keupayaan untuk membentuk kebersamaan dan memupuk perpaduan agar sesuatu aktiviti yang bermanfaat dapat digerakkan bersama komuniti yang lebih besar. Oleh yang demikian, aktivisme menggerakkan Keluarga Malaysia juga merupakan usaha bersama untuk membina sifat dan karakter insan yang berjaya. Seperti yang disebutkan di dalam Al-Qur’an, Surah Ali-Imran, Ayat 104, yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”
Justeru, bagi membentuk Keluarga Malaysia, ianya memerlukan usaha berterusan dari semua pihak untuk membantu dalam memupuk, mengukuh, dan memelihara perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia.
-- BERNAMA
Dr. Kartini Kamaruzzaman, merupakan Ketua Program, Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.
Kazzman Kamaruzzaman, merupakan Ketua Jabatan Ilmu Wahyu, Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.