Semasa di Sulawesi minggu ini (7-10 Feb, 2022), seorang kenalan lama wartawan Indonesia, Bapak Asro Kamal Rokan menghadiahkan sebuah buku terbaru tulisan beliau bertajuk ‘Granada Menangislah…’. Buku cetakan Januari 2022 ini merupakan catatan-catatan beliau ke negara-negara di lima benua dunia termasuk ke negara Malaysia semasa melancong dan sebagai wartawan.
Yang menarik mengenai buku setebal 350 muka ini ialah satu bab catatan mengenai bagaimana mula lahirnya bibit-bibit silaturrahim antara wartawan Malaysia dan Indonesia hingga terbentuknya secara rasmi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia, yang lebih terkenal sebagai ISWAMI. Pak Asro menceritakan bibit itu bermula sejak 2005 lagi sewaktu Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi sedang cuba meredakan krisis Malaysia dengan Indonesia dalam kes "rebutan" kawasan laut Ambalat berhampiran Sabah dan Kalimantan Timur.
Krisis ini menyebabkan berlaku protes besar di Jakarta dan beberapa kota lain di Indonesia. Dilaporkan media masa itu laungan ‘Ganyang Malaysia’, pembakaran bendera Malaysia dan foto Pak Lah dilakukan sekumpulan penentang dan sebahagian rakyatnya serta diapikan lagi oleh media setempat. Hubungan Malaysia dan Indonesia semasa itu masih tegang kerana sebelum itu Indonesia baru hilang Pulau Ligitan dan Sipadan kepada Malaysia hasil keputusan ICJ – Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
ISWAMI : Ikatan silaturrahim yang kian berkembang dan kukuh
Dua tahun kemudian wartawan Indonesia datang lagi ke Putrajaya berjumpa Pak Lah bagi mengenali rapat pimpinannya. Bibit silaturrahim antara wartawan kedua-dua negara makin dikembang dan diperkukuhkan.
Ini akhirnya mendorong wartawan senior dari kedua-dua negara tetangga membentuk ISWAMI. Antara pelopornya dari Malaysia, ialah Johan Jaaffar, Chamil Wariya, Ahmad Talib (Allahyarham), Jalil Ali (Allahyarham), Zulkefli Salleh, Sabaruddin Ahmad, Nasir Yusof, dan Zulkifli Hamzah.
Secara rasminya ISWAMI Malaysia didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia di Kuala Lumpur pada 29 September, 2010 walaupun ISWAMI telah bergerak secara tidak rasmi beberapa tahun sebelum itu.
Presiden ISWAMI Malaysia kini ialah Mokhtar Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) yang juga mantan Ketua Pengarangnya. Dari Indonesia, pelopornya Tarman Azam (Allahyarham), Ilham Bintang, Saiful Hadi Chalid (Alahyarham), Noor Syamsuddin Chatib Haesy dan Pak Asro sendiri. ISWAMI, dibilang orang, selepasnya adalah sejarahnya ‘the rest is history’.
Presiden ISWAMI Indonesia sekarang ialah Pak Asro sejak 2018. Pak Asro ialah mantan Pemimpin Redaksi akhbar Republika dan Pimpinan Umum LBKN (Lembaga Kantor Berita Nasional) ANTARA dan kini Anggota Dewan Kehormatan PWI (Persatuan Wartawan Indonesia) Pusat.
ISWAMI bergerak aktif lebih 10 tahun
Lebih 10 tahun ISWAMI bergerak aktif dengan tujuan mengerat dan menyemarakkan hubungan baik antara rakyat kedua-dua negara serumpun melalui pemberitaan dan laporan berdasarkan sumber asli dan maklumat sahih dari kedua-dua belah pihak dan bukannya dari sumber laporan pihak ketiga iaitu media asing yang sering berat sebelah.
Melalui ISWAMI-lah hubungan wartawan Malaysia dengan Indonesia dipereratkan lagi dengan antaranya saban tahun wartawan Malaysia diundang menghadiri sambutan Hari Pers Nasional Indonesia atau Hari Wartawan Nasional yang diadakan di merata kota provinsinya pada setiap 9 Februari.
Turut diundang ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (yang juga dahulu dikenali sebagai Menteri Penerangan) seperti Rais Yatim, Zainuddin Maidin, Shabery Cheek, Salleh Said Keruak dan terbaru Annuar Musa.
Kehadiran Menteri Malaysia ini mengukuhkan lagi hubungan dalam aspek penerangan dan komunikasi kedua-dua negara kerana Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia kerap akan mengadakan pertemuan peribadi atau empat mata dengan Menteri penerangan Malaysia sewaktu sambutan hari wartawan ini bagi membincangkan masa depan industri media dan kerjasama media kedua-dua negara.
Dalam hal ini, satu pencapaian yang ketara ialah kerjasama di antara harian Republika dan Berita Harian di mana Republika menyiarkan sehalaman akhbarnya dengan berita dari Malaysia, dan Berita Harian juga menyiarkan dalam akhbarnya sehalaman berita dari Indonesia.
Tetapi yang lebih membanggakan ISWAMI kedua-dua negara ini ialah ia mempunyai satu grup Whatsapp yang dianggotai Pemimpin Redaksi, mantan Ketua Pengarang, Editor Senior, mantan pimpinan ISWAMI dan wartawan muda.
Forum Wartawan RI-Malaysia, elak salah faham dan salah lapor
Grup yang dipanggil Forum Wartawan RI-Malaysia ini menjadi wadah penting untuk mendapatkan berita-berita atau maklumat sahih daripada kedua-dua pihak dan turut berperanan meredakan emosi rakyat jika berlaku ketegangan akibat salah faham atau salah lapor.
Yang terakhir ialah mengenai berita ‘kematian’ mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini. Di Malaysia media telah melaporkan Dr. Mahathir sudah kembali sihat selepas dirawat di Institut Jantung Negara. Tetapi di Indonesa kabar ‘wafatnya’ Dr. Mahathir tersebar luas hingga para editor memohon pengesahan melalui forum tersebut di mana media Malaysia menyalurkan kenyataan, foto dan video yang Dr. Mahathir sudah keluar IJN dan kembali pulih untuk kegunaan mereka.
Sebenarnya banyak lagi kisah yang boleh menimbulkan ketengangan antara Malaysia dan Indonesia diselesaikan secara ISWAMI. Satu daripadanya ialah insiden bendera Indonesia diletakkan secara terbalik di beberapa acara di Malaysia.
Selain itu, pelbagai program diadakan di antara media Malaysia dan Indonesia bagi mengeratkan hubungan dan meningkatkan persefahaman antara kedua-dua pihak seperti pertukaran wartawan, lawatan media, sosial dan kebudayaan, mengadakan bengkel serta bertemu dengan Perdana Menteri.
Wartawan Indonesia turut diundang menghadiri Hari Wartawan Malaysia yang diadakan buat pertama kali di Kuala Lumpur pada 29 Mei 2018 secara besar-besaran. InsyaAllah Hari Wartawan Malaysia tahun ini akan disambut sekali lagi pada 29 Mei ini.
Sebagai anggota ISWAMI Malaysia, dan atas asas sebagai Ketua Pengarang BERNAMA, penulis mulai menyertai Hari Pers Nasional yang bermula di Batam (2015) dan diikuti di Lombok (2016), Ambon (2017), Padang (2018), Surabaya (2019), Banjarmasin (2020), Jakarta (2021) (secara Zoom kerana wabak Covid-19) dan terakhir sekali minggu lepas di Kendari, Sulawesi Tenggara.
Tuanrumah Hari Pers, perlu buat bidaan
Apa yang hebatnya mengenai Hari Pers Nasional ialah ianya disambut berdasarkan pada dikri atau Keputusan Presiden Nomor 5 Tahun 1985, iaitu yang diputuskan oleh Presiden Soeharto pada 25 Januari tahun tersebut. Dan Hari Pers Nasional ini diselenggarakan pada setiap 9 Februari, mengambil sempena tarikh penubuhan Persatuan Wartawan Indonesia, dengan melibatkan pihak media, masyarakat setempat dan Kerajaan Indonesia. Yang lagi menarik ialah bukan mudah untuk dapat menjadi tuanrumah Hari Pers Nasional ini kerana kota-kota provinsi Indonesia yang berminat perlu membidanya.
Ia menjadi rebutan kerana setiap kota yang berjaya menjadi tuanrumah akan mendapat peruntukan kewangan khas yang besar dari Jakarta. Seperti di Lombok, ia mendapat bekalan elektrik untuk daerah yang belum ada kemudahan asas itu serta kapal feri.
Hari Pers Nasional ini dipenuhi dengan pelbagai acara seperti forum, bengkel, pameran, jualan, seminar, lawatan, pelancaran projek baru, hadiah dan anugerah untuk wartawan dan masyarakat setempat dan kemuncaknya ialah ucapan Presiden Indonesia.
Tetapi kali ini di Kendari, Sulawesi Tenggara, Presiden Joko Widodo tidak dapat hadir (ini kali kedua) atas sebab bahaya wabak COVID-19. Perasmiannya diadakan secara Zoom.
Bagaimanapun yang hadir di kota tepi laut Kendari tetap berada di tapak perasmian berhadapan Masjid Terapung Al-Alam Kendari, menyaksikan ucapan Jokowi melalui skrin besar di panggung.
-- BERNAMA
Datuk Zakaria A. Wahab merupakan bekas Ketua Pengarang Bernama 2014-2019. Mula menyertai Bernama sebagai wartawan pada 1980. Berkhidmat dengan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dari 1992 hingga 2003 sebagai Penolong Setiausaha Akhbar dan kemudian Setiausaha Akhbar. Pernah melalui pengalaman sebagai Ketua Biro Bernama Pulau Pinang, Sarawak dan Koresponden Singapura selain sebagai Pengarah Eksekutif anak syarikat teknologi maklumat Bernama Systems and Solutions Advisor (Bessar) yang kini dipanggil UXERA.