TINTA MINDA

MPOGCF SERU RAKYAT MALAYSIA BANTU TANGKIS KEMPEN ANTI SAWIT

18/02/2022 09:34 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Tuan Nazuri Tuan Ismail

Kematian seekor badak sumbu Sumatera pada 23 November 2019 merupakan satu tragedi buat rakyat Malaysia. ‘Iman’ adalah badak sumbu Sumatera terakhir dan kematiannya di pusat jagaan, Borneo Rhino Sanctuary, Lahad Datu, menandakan pupusnya spesies badak sumbu Sumatera di bumi Malaysia.

Satu lagi hidupan liar yang disenaraikan spesies kritikal terancam ialah Harimau Malaya. Dianggarkan terdapat kurang 200 ekor Harimau Malaya di hutan-hutan di Semenanjung.

Bagi mengelak tragedi sama berulang, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menjalankan Program Pemuliharaan Harimau Malaya bertujuan menambah populasi haiwan itu melalui pembiakan secara semula jadi.

Usaha baik PERHILITAN ini adalah selari dengan komitmen pemain-pemain utama industri sawit Malaysia untuk menjadikan industri ini mampan alam sekitar dengan menjalankan dan menyokong projek pemuliharaan alam sekitar khususnya hidupan liar dan pokok-pokok spesies terancam.

Sokongan industri

Bagi menyokong Program Pemuliharaan Harimau Malaya, industri sawit Malaysia melalui Malaysian Palm Oil Green Conservation Foudation (MPOGCF) menyalurkan dana RM3 juta untuk tempoh lima tahun bermula tahun ini.

Program Pemuliharaan Harimau Malaya ini adalah antara projek atau inisiatif pemuliharaan alam sekitar yang mendapat pembiayaan MPOGCF menggunakan dana yang dikutip daripada hasil eksport minyak sawit Malaysia.

Projek-projek pemuliharaan hijau lain antaranya Program Penanaman 1 juta pokok, pembiayaan Wildlife Rescue Unit di Sabah, Survei Populasi Orangutan Borneo dan Gajah Borneo di Sabah, projek perhutanan semula (Central Forest Spine) di Kelantan, Penanaman Semula Pokok Hutan Terancam di Taman Botani, Putrajaya, Melaka dan Terengganu.

Terbaharu pada 20 Disember 2021, MPOGCF menandatangi Memorandum Kerjasana dengan TDM Plantation untuk menambah baik projek pemuliharaan alam sekitar yang dilaksanakan syarikat itu seperti River of Live dan Living With The Elephant selain meneroka peluang kerjasama lain.

Projek-projek ini hanya sebahagian kecil inisiatif pemuliharaan kepelbagaian ekosistem semulajadi negara oleh industri sawit Malaysia. Kebanyakan syarikat perladangan utama telah lama menjalankan program pemuliharaan alam sekitar di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) namun tidak diuar-uarkan.

MPOGCF dan industri sawit negara

MPOGCF ditubuhkan pada Julai 2020 oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) untuk menangkis dakwaan kononnya industri sawit menyebabkan kemusnahan alam sekitar yang teruk. MPOGCF diletak di bawah Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) mula beroperasi April 2021 tetapi secara terbatas kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sempena Tahun Baharu 2022, MPOGCF telah bersedia beroperasi sepenuhnya di samping menjalin bekerjasama erat dengan pemain-pemain utama industri ini, badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar tempatan dan antarabangsa, serta media untuk menangkis dakwaan oleh gerakan kempen anti sawit.

Malaysia pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia dengan nilai eksport kira-kira RM80 bilion setahun. Minyak sawit Malaysia dieksport ke 16 negara dan pengimport terbesar ialah India, China, Kesatuan Eropah dan Pakistan.

Industri ini menyediakan lebih 2 juta pekerjaan dan tempat bergantung kepada kira-kira 650,000 pekebun kecil.

Industri sawit penyumbang eksport keempat terbesar negara dan dalam masa yang sama kerajaan memastikan indutsri sawit adalah mampan alam sekitar antaranya tidak membenarkan lagi pembukaan ladang baharu, larangan penanaman kelapa sawit di hutan simpan kekal dan penguatkuasaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPSO).

Serangan kempen anti sawit

Tahun 2022 dijangka lebih mencabar dan MPOGCF akan meningkatkan kerjasama dengan pemain-pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar tempatan dan antarabangsa, media tempatan dan antarabangsa untuk menangkis serangan kempen anti sawit.

Pakar-pakar alam sekitar, perhutanan serta ahli akademik di univeristi tempatan juga diminta membantu dengan menyampaikan maklumat kepada orang ramai khususnya golongan muda menggunakan pendekatan lebih mudah dan menarik dan ini sekaligus meningkatkan kesedaran tentang alam sekitar.

Kerjasama seluruh rakyat Malaysia amat diperlukan untuk menyampaikan mesej ke seluruh dunia bahawa industri minyak sawit Malaysia adalah industri yang selamat, bertaggungjawab dan mesra alam sekitar.

-- BERNAMA

Tuan Nazuri Tuan Ismail merupakan Pengurus Komunikasi Korporat MPOGCF

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)