TINTA MINDA

TIMBANG TARA DALAM PEMVAKSINAN KANAK-KANAK

25/02/2022 07:38 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Prof. Madya Dr. Nazlina Ibrahim

Pada 3 Februari 2022, pemberian vaksin kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun telah dilancarkan melalui program PICKids. Penerimaan vaksin kanak-kanak merupakan pilihan, ibu bapa atau penjaga haruslah membantu dalam membuat keputusan. Ramai ibu bapa yang bimbang dan ragu-ragu terhadap saranan pengambilan vaksin. Proses timbang tara berdasarkan maklumat vaksin, keadaan diri kanak-kanak dan keadaan semasa harus dilakukan supaya keputusan yang tepat dapat dibuat bagi kepentingan anak-anak kecil.

Keselamatan dan keberkesanan vaksin

Perkara utama yang perlu diambil kira adalah berkaitan keselamatan dan keberkesanan vaksin terhadap kanak-kanak. Vaksin yang diberikan adalah dari jenis mRNA iaitu 0.2 mL Comirnaty® 10mcg Concentrate for Dispersion daripada PfizerBioNTech. Kepekatan vaksin yang diberikan ini telahpun dikenalpasti dalam ujian klinikal fasa 1 berkesan menghasilkan gerak balas imun pada kanak-kanak berumur antara 5 hingga 11 tahun seperti dilaporkan dalam The New England Journal of Medicine pada 6 Januari 2022. Sebanyak dua suntikan vaksin dengan sela masa 21 hari antara dos pertama dengan kedua memadai dalam menghasilkan gerak balas keimunan yang tinggi.

Vaksin ini seterusnya telah dikenalpasti selamat melalui ujian klinikal fasa 2 dan 3 terhadap sukarelawan kanak-kanak seramai 2,268 dengan 1,517 mendapat vaksin manakala mendapat 751 placebo iaitu bahan kawalan bukan vaksin. Dapatan dalam laporan di atas menyatakan selepas menerima dos kedua, hanya tiga penerima vaksin mendapat COVID-19 berbanding 17 penerima placebo yang menghidap COVID-19. Bermakna pemvaksinan berkesan sebanyak 90.7 peratus untuk menghindar daripada mendapat COVID-19 berbanding mereka yang tidak mendapat vaksin iaitu placebo sahaja. Kesan sampingan yang teruk tidak dikesan dalam penerima vaksin.

Kesan jangkitan virus secara semulajadi berbanding suntikan vaksin

Pertimbangkan pula jika mendapat jangkitan virus SARS-CoV-2 secara semulajadi. Pendedahan secara semula jadi pada dos virus yang tidak diketahui sikit atau banyak. Risiko jangkitan tersebut boleh menyebabkan COVID-19 peringkat 1 atau 2 (tanpa simptom atau dengan simptom ringan seperti batuk, selsema, sakit tubuh badan dan demam) sehinggalah simptom teruk atau membawa maut. Kesan sampingan selepas COVID-19 termasuklah Long COVID iaitu gejala yang berpanjangan pada deria rasa, saraf, pernafasan, jantung dan mental.

Selain itu juga terdapat sindrom keradangan pelbagai sistem atau Multisystem Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) yang mengakibatkan organ seperti jantung, paru-paru atau otak mengalami pembengkakan. Pelbagai jenis gejala COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak seperti penyakit Kawasaki, kehilangan fungsi organ terutama jantung serta tekanan darah rendah juga pernah dilaporkan.

Penerima vaksin akan mengalami kesan sampingan berbeza antara individu. Demam, bengkak dan merah ditempat suntikan atau sakit kepala dalam tempoh 24 jam selepas disuntik merupakan gejala biasa yang dirasai. Jika kesan tersebut dirasai, ianya adalah petanda bahawa sistem imun kanak-kanak memberikan gerak balas terhadap vaksin tersebut. Pemantauan terhadap demam agar tidak keterlaluan perlu dilakukan dalam keadaan ini. Kesan sampingan yang teruk dan perlu mendapat rawatan di hospital adalah kesukaran bernafas atau sesak nafas, naik ruam, mata bengkak, alahan yang agak teruk, aduan sakit dada dan nampak lemah.

Berdasarkan laporan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, terdapat lapan laporan kesan sampingan teruk akibat vaksin dalam kalangan 246,868 kanak-kanak yang menyertai Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) bermula 3 Februari lalu. Ini adalah 0.006 peratus berbanding jumlah keseluruhan penerima vaksin. Laporan antara Jun 2020 hingga Disember 2021 menunjukkan 174 kes kanak-kanak bawah 18 tahun mengalami MIS-C. Seramai tujuh kanak-kanak meninggal dunia oleh MIS-C akibat jangkitan virus SARS-CoV2.

Penularan pelbagai varian

Kanak-kanak boleh dijangkiti pelbagai varian SARS-CoV-2 seperti Delta atau Omicron. Varian-varian ini mempunyai kevirulenan dan kebolehan tersebar berbeza. Jangkitan dengan varian Delta boleh membawa kepada kesan penyakit yang lebih teruk berbanding Omicron. Omicron pula lebih mudah tersebar dan kesan jangkitan muncul seawal tiga hari selepas terjangkit. Namun begitu, jika terjangkit kedua-duanya boleh mengakibatkan keadaan Long COVID iaitu kesan sampingan selepas jangkitan yang berpanjangan.

Jangkitan yang teruk atau kematian sering direkodkan sebelum ini terutama dalam kalangan mereka yang mengalami sejarah darah tinggi, diabetes dan masalah buah pinggang. Kebolehan tersebar dengan mudah ini membimbangkan kerana dilaporkan bahawa jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun meningkat ketara dengan 50,826 orang disahkan positif virus sepanjang awal Januari sehingga pertengahan Februari 2022.

Kehadiran varian baru sukar untuk dielakkan walaupun usaha mengekang kemasukannya dibuat. Kemasukan varian Delta dan Omicron seharusnya diambil pengajaran bahawa ianya tidak mampu dielak semudah itu. Kemungkinan penghasilan varian baru dalam kalangan mereka yang tidak divaksin juga boleh sahaja berlaku dan telahpun diberi amaran oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Persoalannya, bagaimanakah ibu bapa boleh memastikan anak-anak mereka berjaya mengatasi jangkitan varian-varian ini?

Keadaan kesihatan kanak-kanak

Keputusan untuk memberi vaksin kepada kanak-kanak juga bergantung kepada keadaan kesihatan anak tersebut. Doktor perlu menilai mereka yang berikut jika sesuai menerima vaksin: mereka yang mempunyai sejarah alahan yang teruk, penyakit autoimun, alahan teruk kepada vaksin-vaksin lain, masalah pendarahan contohnya menghidap Haemophilia atau penyakit kekurangan platelet akibat Idiopathic Thrombocytopenic Purpura (ITP), mengambil rawatan ubatan pencair darah, mengambil ubatan steroid yang menindas sistem imun, kanser atau mempunyai sejarah penyakit jantung iaitu miokarditis dan perikarditis. Senarai lengkap dikemukakan dalam soalan lazim PICKids.

Namun perlu diingat bahawa jika kanak-kanak yang mengalami lebih berat badan (obes), asma, sakit jantung, diabetes jenis tergolong sebagai mereka yang mempunyai penyakit lain atau ko-morbiditi. Risiko mereka jika terjangkit dengan SARS-CoV-2 adalah jangkitan teruk atau kematian.

Ibu bapa mengetahui sejarah kesihatan anak masing-masing dan perlu membuat pertimbangan bijak sama ada boleh diberikan peluang vaksin ataupun tidak. Adakah risiko COVID-19 lebih teruk atau kemungkinan pengurangan risiko selepas divaksin? Persoalan ini perlu dipertimbangkan dengan teliti.

Pematuhan kepada pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial

Lambat laun ibu bapa harus menerima hakikat bahawa anak-anak mereka perlu ke sekolah semula. Apabila sekolah dibuka untuk proses pembelajaran, ibu bapa tidak dapat memantau sepenuhnya kepatuhan kanak-kanak kepada pemakaian pelitup muka dan pertemuan dengan rakan-rakan mereka, para guru serta orang awam. Apakah langkah terbaik untuk ibu bapa laksanakan bagi menghadapi kenyataan ini?

Ibu bapa mempunyai pilihan untuk memvaksinkan anak-anak mereka supaya tubuh mereka bersedia mengenali sebahagian daripada virus. Ibu bapa meletakkan ikhtiar tersebut sebagai usaha memberikan pendedahan awal kepada tubuh terhadap virus sebenar semasa di sekolah atau tempat awam agar mampu melawannya kelak. Jika jangkitan masih berlaku, kanak-kanak mampu menanganinya dengan COVID-19 yang ringan.

Kanak-kanak tidak divaksin pula boleh terdedah kepada virus di mana-mana sahaja dan mereka juga dapat melawannya, namun risiko keterukan penyakit akibat jangkitan virus sebenar adalah lebih besar. Pilihan lain adalah mengekalkan anak-anak di rumah agar tidak terdedah kepada virus dari luar rumah. Setakat mana pilihan ini boleh diterima pakai terpulang kepada kesanggupan ibu bapa tersebut.

Vaksin percuma

Kanak-kanak di Malaysia berhak menerima vaksin COVID-19 mengikut dos yang dibenarkan secara percuma. Tidak perlu membeli sijil vaksin seperti yang berlaku pada masa lepas oleh sesetengah pihak tidak bertanggung jawab. Kenapa tidak rebut peluang mendapat bahan percuma ini. Berdasarkan data yang boleh dilihat di laman sesawang COVIDNow, kes kematian telah dapat dikurangkan pada mereka yang mendapat COVID-19 tetapi telah divaksin berbanding mereka yang tidak divaksin. Manfaat pemvaksinan adalah dapat mengurangkan risiko kematian jika terjangkit SARS-CoV-2.

Status Pemvaksinan Ahli Keluarga

Keluarga yang telah divaksin masih mempunyai risiko untuk dijangkiti virus, namun begitu risiko mereka mendapat jangkitan teruk dan kandungan virus yang mungkin disebar berkurangan. Virus yang disebar oleh ahli keluarga dewasa dalam keaadann ini adalah rendah dengan kesan jangkitan kepada kanak-kanak mungkin berkurangan. Maka, jika kanak-kanak telah divaksin maka mereka juga berupaya menghasilkan gerak balas keimunan yang lebih khusus terhadap virus dan berupaya melawannya sendiri. Keluarga yang telah divaksin walaupun mendapat COVID-19, akan mendapat jangkitan ringan dan masih berupaya menjaga kanak-kanak yang sakit.

Jika sekiranya keluarga tidak divaksin, mereka berkemungkinan mendapat COVID-19 yang ringan ataupun teruk bergantung kepada banyaknya pendedahan virus serta jenis varian virus. Jika jangkitan teruk, mereka perlu dimasukkan ke hospital dan tidak akan mampu menjaga kanak-kanak. Besar kemungkinan kanak-kanak akan dijangkiti juga. Jika kanak-kanak telah mendapat vaksin, jangkitan mereka kurang teruk dan risiko dimasukkan ke hospital berkurangan.

Tidak dinafikan setiap tindakan yang bakal diambil mempunyai risiko tersendiri. Proses timbang tara dilakukan dengan memikirkan risiko paling minima yang mungkin terjadi. Dalam keadaan sekarang, virus berada di mana-mana dan kemungkitan dijangkiti adalah tinggi. Pengambilan vaksin adalah langkah lebih bijak daripada mendedahkan kanak-kanak terus kepada virus tanpa sebarang perlindungan daripada vaksin. Risiko mendapat jangkitan teruk selepas divaksin adalah perkara yang perlu ditimbangkan berbanding risiko mendapat kesan sampingan selepas divaksin.

--BERNAMA

Prof. Madya Dr. Nazlina Ibrahim merupakan Pensyarah Mikrobiologi, Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi Selangor.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)