TINTA MINDA

PEMANDU MALAYSIA PERLU SIMPAN KIT PERJALANAN DALAM KERETA

28/02/2022 09:22 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Dr.Noor Dzuhaidah Osman

Kes-kes kemalangan di lorong kecemasan terutamanya di lebuh raya akhir-akhir ini begitu menyayat hati apatah lagi jika melibatkan kematian. Kes-kes kemalangan sama ada cedera parah atau yang mengakibatkan kematian boleh dielakkan dengan beberapa tindakan proaktif dan reaktif oleh syarikat pengendali lebuh raya serta pengguna lebuh raya .

Antara yang dicadangkan ialah penggunaan telefon kecemasan yang terdapat di setiap beberapa kilometer di lebuh raya, atau menghubungi peronda lebuh raya, penggunaan ‘hazard light’ dan sebagainya. Oleh itu setiap pengguna lebuh raya perlu mempunyai nombor telefon peronda lebuh raya dan syarikat perkhidmatan lori tunda yang boleh dihubungi bagi menyalurkan bantuan diperlukan.

Perubahan sikap pemandu selepas pemansuhan sekatan perjalanan

Ketika sekatan perjalanan antara negeri dikenakan susulan penularan pandemic COVID-19, kes kemalangan jalan raya dilihat berkurangan dari biasa. Bagaimanapun, setelah ia dibuka semula pengguna jalan raya terus bermaharajalela dengan sikap pemanduan yang asal. Menurut Bukit Aman, sepanjang Ops COVID-19 yang bermula pada 18 Mac 2020 sehingga 13 Oktober 2021, terdapat sebanyak 566,760 kemalangan dilaporkan. Daripada jumlah itu terdapat 5,412 kemalangan maut yang mengakibatkan 5,739 kematian.

Selain sikap pemandu, faktor lain yang boleh mengakibatkan berlakunya kemalangan ialah keadaan jalan serta cuaca. Mutakhir ini, banyak kes kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh pemandu mabuk, memandu pada arah yang bertentangan, kes buli jalan raya dan kemalangan di Lorong kecemasan.

Perkara ini perlu perhatian serius dan tindakan daripada pihak penguatkuasa undang-undang termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis. Berkemungkinan hukuman, denda lebih berat lebih berkesan untuk mengawal kes-kes sedemikian daripada merebak menjadi satu kelaziman yang buruk dan menjadi barah satu masa akan datang.

Keperluan kit keselamatan

Selain itu, penulis mencadangkan agar setiap kereta di Malaysia dilengkapi dengan kit keselamatan seperti yang dilakukan oleh setiap pengguna lebuh raya di Eropah. Antara peralatan yang perlu ada di dalam kit itu ialah tanda segitiga amaran, jaket kuning, kit pertolongan cemas dan peralatan lain yang difikirkan perlu serta sesuai dengan keadaan jalan dan cuaca di Malaysia seperti banjir kilat dan sebagainya.

Tanda segitiga amaran perlu diletakkan pada jarak yang sesuai bagi menghalang pemandu lain memasuki lorong kecemasan. Langkah itu juga boleh mengelak daripada berlakunya kemalangan di lorong kecemasan.

Penggunaan kit perjalanan kereta ini secara umumnya untuk menyampaikan maklumat kepada pengguna jalan raya bahawa ada pemandu yang berada dalam kecemasan. Ini memberi ruang kepada pemandu lain untuk lebih berhati-hati.

Mungkin ada segelintir pihak yang menyarankan agar segera menghubungi pihak peronda lebuh raya untuk segera menghantar bantuan, membawa kon kecemasan dan sebagainya. Bagaimanapun, ada ketikanya terdapat hal-hal yang tidak dapat dielakkan seperti tidak dapat menghubungi pihak peronda lebuh raya, telefon rosak atau kerosakan berlaku di jalan biasa yang tiada peronda lebuh raya. Oleh itu, kit perjalanan yang memang telah tersedia di dalam kereta ini mungkin menjadi penyelamat nyawa.

Sementara itu, penguatkuasaan serta rondaan yang lebih kerap oleh Jabatan Pengangkutan Jalan, polis dan peronda lebuh raya juga antara langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku. Pemantauan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan-kawasan berisiko dan yang kerap berlaku kemalangan juga antara inisiatif yang perlu difikirkan. Selain itu, mempergiatkan kembali kempen-kempen pemanduan secara berhemah agar pemandu tidak sewenang-wenangnya memasuki lorong-lorong kecemasan apabila tidak perlu, membuli di jalan raya, memandu ketika mabuk dan sebagainya perlu dilaksanakan secara berkala.

--BERNAMA

Dr.Noor Dzuhaidah Osman merupakan Pensyarah, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)