TINTA MINDA

INOVASI PDP DI IPT PERLU SEIRING REVOLUSI INDUSTRI 4.0

28/03/2022 11:18 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Nur Hazilah Binti Omar

Tidak dinafikan dalam menghadapi cabaran dunia akibat ancaman wabak COVID-19, ketidaktentuan dalam sistem pendidikan menjadi topik hangat yang sering diperkatakan dan terus mendapat perhatian semua pihak. Namun, pasca COVID-19 telah banyak mencetuskan inovasi pengajaran dan pembelajaran (PdP) sama ada di sekolah mahupun di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Sistem PdP telah berubah daripada sistem konvensional secara bersemuka kepada sistem pembelajaran dalam talian dan kini secara hibrid iaitu secara dalam talian dan bersemuka. Penggunaan sistem digitalisasi banyak diaplikasikan dalam PdP demi melestarikan pendidikan di negara ini agar selari, berdaya saing dan dapat memacu kemajuan negara. Sistem PdP melibatkan penggunaan internet, komputer atau komponen elektronik dan bahan pembelajaran melalui dalam talian (online).

Bagaimanapun, pembelajaran secara bersemuka juga diperlukan bagi mendapat kesan pembelajaran yang lebih berkesan dan dapat meningkatkan maklum balas pelajar di IPT. Ia secara langsung membolehkan proses pembelajaran yang canggih dilaksanakan dalam pembelajaran secara hibrid iaitu dapat mematuhi SOP seterusnya dapat mengurangkan penularan wabak COVID-19. Selain itu, pelajar juga dapat mengamalkan pembelajaran yang berterusan di samping berupaya menyampaikan pengetahuan dengan lebih berkesan kerana ia mengandungi teks, animasi, grafik, audio dan video yang menarik.

Sistem PdP yang lebih kreatif dan inovatif telah banyak dibangunkan dan digunakan dengan lebih meluas oleh para pensyarah di universiti agar mampu melahirkan mahasiswa yang berinovatif, berkebolehan dan berkemahiran tinggi dalam mendepani cabaran Revolusi industri 4.0 (IR4.0).

IR4.0 lahirkan graduan berinovasi, kemahiran tinggi

Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) merupakan revolusi digital yang merujuk kepada proses pembangunan teknologi bagi sesebuah industri khususnya, ia melibatkan sektor pengeluaran dan automasi ke tahap yang lebih pintar dan sistematik. IR4.0 juga merujuk kepada transformasi disruptif dalam industri melalui penggunaan teknologi yang menggabungkan alam fizikal, digital dan biologi, yang memberi kesan kepada semua bidang, industri dan ekonomi.

Dalam mendepani cabaran pendidikan IR4.0, Kementerian Pengajian Tinggi dengan usahasama IPT telah membangunkan satu sistem pendidikan yang dapat memenuhi keperluan ekonomi negara dengan menumpukan aspek kemahiran, teknologi, kreativiti dan inovasi.

Bagi merealisasikan era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), inovasi dalam PdP mampu melahirkan graduan yang berinovasi dan berkemahiran tinggi yang dapat memenuhi keperluan dalam pasaran kerja. IPT harus memastikan bahawa kurikulum yang disediakan serta kursus yang ditawarkan adalah relevan dan mampu mengisi ruang pekerjaan yang diperlukan oleh pihak industri pada masa akan datang.

Perubahan sistem cabaran baharu dunia pendidikan

Perubahan sistem pendidikan ini banyak memberikan cabaran bukan sahaja kepada pelajar malahan kepada pensyarah. Menerusi teknik PdP pensyarah perlu menyediakan pelajar untuk menghadapi IR4.0 dengan melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran mengenai pendidikan abad ke-21. Perlu mempunyai kemahiran menggunakan teknologi, celik digital dan menguasai kaedah PdP moden.

Tenaga pengajar perlu menguasai teknik dan pendekatan terkini dalam PdP agar tidak ketinggalan dengan kehendak industri atau sekurang-kurangnya boleh menyaingi teknologi IR4.0. Sebagai contoh universiti boleh mengadakan kursus, bengkel, bimbingan, kempen kesedaran, kemudahan dan membangunkan kurikulum berkaitan IR 4.0.

Satu laporan telah dikeluarkan oleh Hootsuite, menunjukkan terdapat 40.69 juta hubungan telefon mudah alih, iaitu 127 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia. Ini menunjukkan jumlah perkakasan mudah alih melebihi penduduk. Meskipun Malaysia menunjukkan rangkaian dan jalur internet yang semakin baik dan meningkat, namun terdapat jurang perbezaan yang ketara di kawasan bandar dan luar bandar. Hal ini telah diperkukuhkan lagi dengan statistik suku ketiga 2019 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang mencatatkan kadar penembusan jalur lebar bagi 100 penduduk adalah 129.4 peratus, manakala pada 2018 ialah 128.9 peratus.

Inovasi pendidikan IPT

Inovasi dalam pendidikan di IPT diterjemahkan dalam penggunaan sistem teknologi iaitu pelajar mahupun pensyarah menggunakan pelbagai aplikasi seperti PdP secara online mahupun offline. Terdapat banyak kaedah yang digunakan oleh para pensyarah bagi memastikan PdP selari dengan kelestarian sistem pendidikan seperti menggunakan Webex, Zoom, Google Meet, Microsoft Team, Telegram, Whatsapp, Facebook, Skype dan sebagainya. Sementara itu, bagi kawasan yang tidak mendapat liputan luas jaringan internet, pensyarah akan menggunakan sistem pesanan ringkas (SMS), manual bercetak, serta khidmat penghantaran bahan-bahan PdP kepada para pelajar yang tinggal di luar bandar.

Selain itu, penggunaan dalam Learning Management System (LMS), telah diperluaskan dan dibangunkan oleh IPT seperti Ufuture UiTM bagi meningkatkan keberkesanan dalam PdP. Penggunaan seperti Google Classroom, Moodle, Edlink, Flubaroo dan pelbagai lagi sistem LMS lain turut digunakan oleh pensyarah dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelajar. Bagi memantau prestasi dan respon pelajar serta meningkatkan interaksi pensyarah dan pelajar, kaedah seperti Massive Open Online Learning, Open Educational Resources, Kahoot, Quizzizz, Peardeack, Edpuzzle, Quill, Youtube, Flipgrid dapat mewujudkan suasana interaktif dalam PdP.

Selain itu, Open Distance Learning (ODL) telah digunakan secara meluas di IPT dan mendapat pandangan yang berbeza daripada pelbagai pihak sama ada golongan pensyarah, pelajar mahupun ibu bapa. Hakikatnya ODL ini mampu menggurangkan pergerakan dan seterusnya dapat membendung penyebaran wabak virus COVID-19. Kini, sistem pembelajaran hibrid diperluas di IPT bagi memberikan ruang dan peluang kepada pelajar agar dapat menikmati pembelajaran secara efektif dan efisyen selain dapat memberikan motivasi, fokus dan komitmen dalam meneruskan pembelajaran di IPT.

Tingkatkan inovasi PdP, selarai cabaran IR4.0

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam teks perutusannya sempena ‘Majlis Amanat Yang Berhormat Menteri Pengajian Tinggi Tahun 2021 menyatakan bahawa, cabaran dalam pelaksanaan PdP) secara dalam talian adalah kekangan infrastruktur, liputan rangkaian dan peranti, terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar. Pelaksanaan PdP secara dalam talian adalah terbatas serta kurang menyeluruh. Pada masa yang sama, keperluan mengadaptasi kepada teknologi disruptif. Strategi perlu diatur agar IR4.0 yang mampu merubah masa hadapan dunia pekerjaan serta dapat disantuni sebaiknya.

We may be preparing our students for jobs that might not be there in the future anymore!. Ini menunjukkan kita harus meningkatkan sistem inovasi PdP selari dengan cabaran IR4.0 agar dapat menentukan hala tuju negara kita dan dapat membangunkan modal insan yang berketerampilan dan berkemahiran tinggi.

Krisis COVID-19 sebenarnya telah memaksa kita untuk mempercepatkan kewujudan persekitaran pendidikan yang berinovasi dan berteknologi tinggi. Tempoh krisis dan pemulihan yang berpanjangan memerlukan kita untuk mencari solusi yang lebih kreatif dan inovatif bagi memastikan kelestarian institusi pendidikan tinggi terpelihara.

Pelbagai usaha dari semua pihak perlu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan melakukan persiapan dengan mengenal pasti kelemahan bagi melakukan penambahbaikan dalam beberapa aspek seperti inovasi dan automasi seiring perkembangan teknologi. Sistem rangka kerja, pengoperasian dan tindakan perlu dilaksanakan dalam memenuhi keperluan semasa dan bersedia untuk melahirkan generasi masa depan.

-- BERNAMA

Nur Hazilah Omar merupakan Pensyarah di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)