TINTA MINDA

LIBATSAMA INDUSTRI DI IPT

25/04/2022 08:43 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Prof. Madya Dr. Shahrir Rizal bin Kasjoo

Libatsama industri di institusi pengajian tinggi (IPT) merujuk kepada aktiviti kerjasama yang dilaksanakan di antara pihak IPT dan industri. Tidak dinafikan, fokus kepada libatsama industri di dalam sektor pendidikan tinggi amat penting agar kerjasama yang terjalin bukan sahaja memberi manfaat kepada pelbagai pihak, malah sejajar dengan perancangan dan agenda pembangunan negara. Perkara ini ada dinyatakan dengan jelas di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) yang merupakan usaha kerajaan dalam mentransformasi sistem pendidikan tinggi negara.

Transformasi ini tidak hanya dapat dilaksanakan pihak kerajaan semata-mata, tetapi memerlukan sokongan yang kuat daripada semua pemegang taruh termasuklah peranan libatsama industri di IPT. Pihak industri boleh turut serta memberikan sumbangan dalam keseluruhan rantaian pendidikan di IPT, daripada penyediaan dan penyampaian kurikulum, penempatan graduan, sehinggalah kepada pendanaan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengkomersilan.

Kurikulum perlu relevan dengan kehendak pasaran kerja semasa

Dalam ruang lingkup akademik, pihak industri berperanan besar dalam memberikan maklum balas berkaitan struktur kurikulum yang dibangunkan universiti supaya ilmu dan kemahiran yang dimiliki graduan adalah relevan dengan kehendak pasaran kerja semasa. Malah, lantikan sekurang-kurangnya seorang panel penasihat industri untuk setiap program pengajian berasaskan teknologi dan kejuruteraan yang ditawarkan universiti kini telah menjadi syarat utama dalam penganugerahan akreditasi penuh oleh badan-badan akreditasi seperti Malaysian Qualifications Agency (MQA), Board of Engineers Malaysia (BEM) dan Malaysia Board of Technologists (MBOT).

Selain itu, kepakaran dalam bidang-bidang tertentu yang dimiliki warga universiti boleh dimanfaatkan sebaiknya pihak industri khususnya industri kecil dan sederhana (IKS) untuk membangunkan produk inovasi atau meningkatkan produktiviti. Ini dapat dilaksanakan melalui kerjasama R&D, pendanaan serta khidmat perundingan antara kedua-dua belah pihak.

Kerjasama perlu bersifat strategik, sinergi dan lestari

Kerjasama universiti-industri yang direncana perlu bersifat strategik, sinergi dan lestari serta boleh dilaksanakan dalam pelbagai skop yang bersesuaian seperti akademik, R&D, pengkomersilan, pembangunan insan, dan tanggungjawab sosial korporat (CSR). Komitmen kerjasama universiti-industri dapat diperkukuh melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) atau memorandum perjanjian (MoA) agar aktiviti kerjasama dapat dilaksanakan dengan tersusun, dipantau dengan baik dan dinilai keberkesanannya.

Libatsama industri yang menjadi satu daripada agenda transformasi sistem pendidikan tinggi dilihat mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada pihak IPT dan industri. Malahan, beberapa “makmal industri” dalam kebanyakan IPT seperti UniMAP’s Huawei ICT Academy, Makmal Inovasi UTHM-Fraunhofer dan Makmal Termaju Keysight di Universiti Malaysia Pahang, telah berjaya dilancarkan.

Ada di antara makmal-makmal industri ini menyediakan kursus-kursus serta mengeluarkan sijil-sijil profesional tertentu sebagai nilai tambah kepada siswazah apabila selesai menamatkan pengajian. Selain memiliki segulung ijazah, para graduan yang berjaya memperoleh sijil profesional semasa pengajian mereka pastinya mempunyai kelebihan untuk mengisi jawatan-jawatan kosong dalam industri yang kini semakin kompetitif.

Adalah menjadi harapan yang besar, kerjasama universiti-industri dapat membawa manfaat kepada pelbagai pihak khususnya para siswazah untuk persediaan mereka menuju ke alam pekerjaan. Melalui kerjasama ini, para siswazah seharusnya merebut peluang meningkatkan ilmu pengetahuan bukan sahaja dalam kemahiran berasaskan teknologi terkini yang digunakan dalam industri, malah dalam kemahiran insaniah yang membina imej dan ketrampilan diri yang diperlukan di mana-mana sahaja termasuk industri.

Diharapkan agenda transformasi sistem pendidikan tinggi negara melalui libatsama industri akan terus membuahkan hasil yang positif dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Shahrir Rizal Kasjoo merupakan Ketua Bahagian Kerjasama Industri & Agensi Kerajaan, Pusat Keusahawanan, Jaringan Industri & Masyarakat Universiti Malaysia, Perlis

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)