Oleh: Ikhmal Irwansyah
KETIKA para pemimpin ASEAN duduk semeja dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di Washington D.C. minggu lepas, kebanyakan isu yang disuarakan oleh mereka mempunyai banyak persamaan.
Mereka membangkitkan isu seperti konflik Ukraine-Rusia dan Myanmar, Laut China Selatan, ekonomi dan hubungan dengan AS yang sewajarnya mendapat perhatian Biden sendiri yang mahu pengaruhnya kekal di rantau Asia Tenggara atas nama keamanan dan kestabilan.
Benar isu-isu yang dibangkitkan itu mempunyai merit atau kewajarannya, namun Malaysia juga mengambil peluang itu untuk menyuarakan isu yang lebih dekat dihati Keluarga Malaysia tetapi tidak disentuh pemimpin ASEAN yang lain.
Pertemuan dengan Biden sebenarnya membuka peluang kepada Malaysia untuk melontarkan pandangannya tentang perjuangan umat Islam di Palestin. Jika keamanan benar-benar diinginkan kuasa besar dunia itu, ia tidak seharusnya melibatkan rantau ini tetapi juga di seluruh dunia.
Isu dekat di hati Keluarga Malaysia
Sememangnya isu Palestin sentiasa dekat di hari pemimpin dan keluarga Malaysia. Bahkan di mana pentas dunia sekali pun, usaha mewujudkan negara Palestin yang merdeka dan penindasan rakyatnya oleh regim Zionis Israel terus diperjuangkan tanpa meminta sebarang imbalan.
Malaysia percaya kunci perdamaian di Palestin terletak pada AS, satu-satunya kuasa besar dunia yang boleh mempengaruhi sekutu dan rakan akrabnya Israel, untuk menamatkan kekejaman itu, sekali gus akur kepada resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya diwujudkan negara Palestin yang berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967 dan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Palestin.
Negara kuasa besar dunia itu sebenarnya mampu untuk membantu menangani menangani ketidakadilan di dunia, lantas Sidang Kemuncak Khas ASEAN juga dilihat sebagai platform yang yang sesuai dan tepat dalam menyuarakan isu Palestin-Israel yang masih belum selesai sejak lebih 74 tahun lalu.
Menyedari hakikat itu Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dengan berani membangkitkan isu berkenaan, sekali gus membuktikan tentang keseriusan beliau dalam meneruskan perjuangan yang belum selesai.
Guna pengaruh AS
Ismail Sabri mengakui bahawa beliau puas hati kerana dapat menyuarakan pandangan berkaitan Palestin itu. Ini kerana ia disuarakan di bumi sebuah kuasa besar dunia yang juga merupakan sekutu kuat Israel dan ia dinyatakan di hadapan Biden sendiri iaitu pemimpin sejagat yang berpengaruh.
Ketika bertemu pada majlis sekembali beliau daripada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS itu, Ismail Sabri ditanya tentang respon Biden terhadap isu Palestin yang dibangkitkan itu, Perdana Menteri berkata, Biden mengambil perhatian terhadap isu itu.
Malaysia yakin AS dapat memberikan sumbangan besar kepada penyelesaian konflik Palestin-Israel berdasarkan kuasa dan pengaruhnya.
Seperti juga negara-negara lain, Malaysia mengharapkan kuasa-kuasa besar bersikap lebih adil dan jujur dalam menyelesaikan konflik semasa termasuk isu pertikaian antara Rusia-Ukraine dan Myanmar khususnya pelarian Rohingya.
Sehubungan itu, Ismail Sabri mempunyai pendapat yang selari dengan pemimpin ASEAN yang lain bahawa semua pihak perlu menghormati kedaulatan, kemerdekaan politik dan integriti wilayah.
Begitu juga halnya dalam persoalan yang berkaitan perlu ada penyelesaian damai di Myanmar dan isu berkaitan pelarian di Rohingya dilakukan secara tuntas.
Kedamaian, ekonomi sejagat jadi fokus perbincangan
Dunia ini sebenarnya boleh diibaratkan sebagai sebuah perkampungan yang mana anggota masyarakatnya saling perlu memerlukan untuk tinggal dengan aman dan meneruskan kelangsungan hidup.
Menyedari hakikat itu, Malaysia dan negara-negara anggota ASEAN lain mahukan setiap konflik yang berlaku diselesaikan, apatah lagi konflik Ukraine-Rusia yang kini menyebabkan pertumbuhan ekonomi dunia terjejas sekali gus menyaksikan kadar inflasi dan harga makanan mula melambung.
Keadaan dunia kini sudah cukup melelahkan, lebih-lebih lagi kebanyakan negara dunia sedang berusaha untuk bangkit kembali setelah lebih dua tahun dilanda pandemik COVID-19 yang bukan hanya memakan korban nyawa tetapi juga meranapkan ekonomi mereka.
Pemimpin-pemimpin ASEAN tahu bahawa Sidang Kemuncak Khas sebenarnya dijadikan platform oleh Biden untuk mencari pengaruh dan juga menunjukkan kuasanya kepada pesaingnya seperti China dan Rusia.
Bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila pada sidang tersebut Biden turut mengumumkan pemberian AS$150 juta sebagai peruntukan tambahan kepada AS$100 juta janji yang dibuatnya pada 1 Oktober tahun lepas atas nama untuk mengukuhkan kerjasama AS-ASEAN.
Peruntukan dijanjikan AS untuk tujuan kerjasama maritim, infrastruktur, keselamatan, persediaan menghadapi pandemik dilihat oleh sesetengah pihak sebagai gula-gula untuk mengekang pengaruh China.
Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS ini merupakan yang kedua diadakan selepas kali pertama diadakan di California pada tahun 2016 ketika negara berkenaan diterajui oleh Presiden Barack Obama yang pernah dibesarkan di Indonesia, sekali menjadikan lebih dekat dengan rantau ini.
Negara-negara rantau sebelah sini juga akur bahawa AS adalah penting kepada ASEAN kerana bukan sahaja kerana ia sebuah kuasa besar dunia tetapi kedudukannya sebagai rakan dagang yang penting. Perdagangan dua hala antara AS dan ASEAN bernilai AS$308.3 bilion pada tahun 2020.
Malah, negara kuasa besar dunia juga merupakan sumber terbesar Pelaburan Langsung Asing (FDI) kepada ASEAN dengan jumlah pelaburan sebanyak AS$34.7 bilion.
Selain pergantungan kepada ekonomi, AS juga dijadikan sandaran oleh negara-negara ASEAN untuk menjamin kestabilan daripada sebarang pertikaian terutamanya dalam melibatkan Laut China Selatan sebagai kawasan perairan yang aman, stabil dan makmur.
Sebagai sebuah negara yang kecil, Malaysia turut bergantung kepada pelaburan daripada negara-negara asing terutamanya AS.
Biarpun AS dilihat katakan mempunyai agendanya sendiri, namun tidak dinafikan bahawa sidang kemuncak ini juga menyaksikan pencapaiannya apabila negara kuasa besar dan ASEAN komited untuk terus bekerjasama dalam menggalakkan perdagangan dan pelaburan serta memastikan rantaian bekalan global yang berdaya tahan dan ketersambungan serantau yang lancar.
Ini termasuk barangan keperluan seperti bekalan perubatan, ubat-ubatan, vaksin, makanan dan produk pertanian, komoditi, produk berteknologi tinggi, dan bekalan dan perkhidmatan penting lain, yang menyumbang kepada pemulihan dan daya tahan ekonomi yang mampan di rantau ini.
PM pastikan suara Malaysia terus signifikan di pentas antarabangsa
Sidang Kemuncak Khas ini turut menyaksikan Malaysia berjaya menarik peluang pelaburan apabila Ismail Sabri dalam lawatan kerjanya bertemu dengan pemimpin-pemimpin syarikat AS yang terkemuka Microsoft, Google, Tesla, Boeing, IBM, Texas Instruments, GE Aviation, Conoco Phillips, Ford, National Instruments, Infineon, Micron dan Insulet.
Malah, beberapa perjanjian persefahaman juga dimeterai dan pertukaran surat hasrat bertukar tangan.
Ini sekali gus memberi harapan tentang kehadiran pelabur asing menanam modal semakin cerah apabila misi pelaburan Malaysia ke AS pada pada 9 hingga 18 Mei iaitu sepanjang tempoh keberadaan Perdana Menteri itu telah berjaya menarik RM16.52 bilion pelaburan baharu.
Secara keseluruhannya, sidang kemuncak khas yang baru berakhir itu merupakan satu kejayaan besar buat Malaysia kerana suaranya terus kedengaran di peringkat antarabangsa.
Pada masa sama ia juga membuktikan solidariti negara-negara anggota dalam menyuarakan secara tegas komitmen mereka bagi menjamin kepentingan rantau Asia Tenggara walaupun konflik Myanmar telah mencemar prinsip gagasan serantau itu yang wujud sejak pembentukan ASEAN pada tahun 1967.
Lebih membanggakan Keluarga Malaysia ialah apabila Ismail Sabri menggunakan bahasa Malaysia dalam ucapan beliau dalam menyuarakan idea dan pendirian Malaysia dan ASEAN.
Ini membuktikan betapa seriusnya Ismail Sabri dalam memerkasa dan memartabatkan bahasa Melayu sehingga ke peringkat antarabangsa.
--BERNAMA
Ikhmal Irwansyah merupakan Pegawai Penyelidik Di Pejabat Perdana Menteri