TINTA MINDA

HARI LAUTAN SEDUNIA 2022: MEMBANGKITKAN SEMULA TINDAKAN SECARA KOLEKTIF BAGI MENYELAMATKAN LAUTAN

08/06/2022 01:37 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Profesor Dr Wan Izatul Asma Wan Talaat

Sejak 2008, masyarakat dunia menyambut Hari Lautan Sedunia (WOD) pada 8 Jun setiap tahun. “Revitalization: Collective Action for the Ocean" merupakan tema WOD 2022, yang dirangka oleh Dekad Sains Lautan PBB dan sambutan Persidangan Lautan PBB, yang tertangguh dua tahun akibat pandemik COVID-19.

Dengan meliputi lebih 70 peratus permukaan bumi, lautan merupakan nadi utama yang mendokong kehidupan manusia dan setiap organisma lain di planet ini. Peranan lautan kepada bumi sangat besar - ia menghasilkan sekurang-kurangnya 50 peratus oksigen, menjadi habitat semulajadi kebanyakan sumber biodiversiti bumi, dan merupakan sumber protein utama kepada penduduk dunia. Pendek kata, lautan adalah kunci kepada kehidupan dan sumber ekonomi dunia dengan anggaran 40 juta bergantung hidup di dalam industri berasaskan lautan menjelang 2030.

Namun, lautan kini memerlukan sokongan kita semua - data saintifik telah menunjukkan pengurangan 90 peratus populasi ikan besar berkurangan dan kemusnahan 50 peratus terumbu karang. Kita telah mengeksploitasi lautan lebih daripada yang boleh diisi semula, manakala kepesatan pembangunan fizikal di muka bumi telah mengakibatkan kesan yang buruk kepada lautan. Pemanasan global juga telah mengakibatkan perubahan iklim melampau yang mendadak. Apabila lautan menjadi panas, lebih banyak air meruap ke atas menjadi kelompok awan dan akhirnya membentuk taufan besar dan ribut kuat yang melanda pantai serta memusnahkan penempatan dan infrastuktur. Atmosfera panas juga mengakibatkan glasier dan pek salji di pergunungan, pelindung ais polar dan perisai ais di Antartika menjadi cair, dan seterusnya menyebabkan peningkatan paras air laut, yang mengancam kawasan pesisiran pantai kita.

Tindakan Kolektif untuk Menyelamatkan Lautan

Kerjasama diperlukan di seluruh dunia bagi mencipta keseimbangan baharu di dalam lautan agar sekitaran dan sumber aslinya terus terpelihara. Tema WOD 2022 memanggil tindakan secara kolektif oleh segenap masyarakat bagi menyelamat lautan yang merupakan nadi utama kehidupan dunia. Dekad Sains Lautan PBB 2021-2030, seiring dengan tahun sasaran Sustainable Development Goals (SDGs) di bawah Agenda Global 2030, menuntut tindakan kolektif di semua peringkat antarabangsa, kebangsaan dan tempatan dengan memperkasakan penyelidikan saintifik dan inovasi teknologi yang menghubungkan sains lautan dengan keperluan masyarakat dunia.

Penglibatan Komuniti Sains

Memandangkan usaha menyelamatkan lautan daripada pelbagai ancaman tidak boleh dipikul sendirian oleh mana-mana kerajaan walaupun dengan sumber kewangan yang kukuh, kepakaran saintifik yang terbina melalui pelaburan besar selama ini wajar digunapakai.

Tema WOD 2022 turut menuntut kerjasama penyelidikan dan inovasi teknologi antara komuniti saintifik dengan pembuat dasar, perniagaan dan juga masyarakat sivil. Dengan pengetahuan saintifik bahawa perubahan iklim, eksploitasi sumber asli yang tidak mampan, pencemaran dari daratan dan kemerosotan habitat sedang mengancam produktiviti dan kesihatan lautan, kepakaran yang merentas pelbagai ilmu sains lautan dapat membantu membentuk dasar dan pelan tindakan yang berkesan bagi mengatasi ancaman-ancaman ini. Dengan menggunakan pengetahuan saintifik bersepadu dan melalui kerangka tadbir urus lautan yang cekap, negara-negara di dunia termasuk Malaysia akan mampu dan berupaya untuk menyelamatkan lautan.

Institut Oseanografi dan Sekitaran, UMT (INOS) merupakan satu-satunya Pusat Kecemerlangan Institusi Pengajian Tinggi kebangsaan (HICoE) di dalam bidang persekitaran lautan melalui penarafan oleh Kementerian Pengajian Tinggi sejak tahun 2012. Melalui pelbagai cabang bidang oseanografi yang terdapat di UMT, INOS bekerjasama dengan komuniti saintifik negara dan antarabangsa, serta pelbagai agensi kerajaan dan masyarakat sivil termasuk komuniti tempatan, di dalam merealisasikan harapan bagi menyelamatkan lautan dari pelbagai ancaman.

Penglibatan Masyarakat

Pemerkasaan masyarakat sivil terutamanya komuniti tempatan secara libat urus boleh memastikan usaha-usaha untuk menyelamatkan lautan dapat dilaksanakan secara berkesan. Contohnya, National Oceanic and Atmospheric Administration Amerika Syarikat telah menyarankan 10 langkah bagi masyarakat untuk menyelamatkan lautan –

  • Menjimatkan penggunaan air
  • Mengurangkan penggunaan bahan pencemar
  • Mengurangkan pembaziran dan sisa
  • Belilah dengan bijak
  • Mengurangkan pencemaran kenderaan
  • Mengurangkan penggunaan tenaga
  • Penangkapan ikan secara bertanggungjawab
  • Memastikan bot berlabuh di kawasan berpasir jauh dari karang dan rumput laut
  • Menghormati habitat semulajadi
  • Menjadi sukarelawan untuk pembersihan di pantai dan kawasan tadahan hujan

Dengan keyakinan bahawa lautan dapat diselamatkan melalui pengetahuan saintifik dan kerjasama strategik secara kolektif antara semua pihak dengan komitmen padu, kita akan dapat memastikan lautan dan sumber lautan terus dapat menjadi nadi kehidupan di dunia. Kebangkitkan semula tindakan secara kolektif, yang menjadi tema WOD 2022, amat penting bagi memastikan kelestarian lautan dan bumi kita terus terpelihara, serta menjamin kelangsungan hidup kita dan generasi akan datang.

-- BERNAMA

Profesor Dr Wan Izatul Asma Wan Talaat merupakan Ketua Pusat Tadbir Urus Lautan, Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)