TINTA MINDA

KUCING ANDA KACAU GANGGU? JOM SEMAK!

22/07/2022 09:25 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Nor Zaini Zainal Abidin, Nurul Mazrah Manshor & Nur Irinah Mohamad Sirat

Memelihara haiwan peliharaan terutamanya kucing dan anjing menjadi satu hobi yang menghiburkan buat pencinta haiwan. Mereka sanggup membelanjakan ratusan malahan ribuan ringgit untuk kos makanan, kesihatan dan penempatan haiwan tersebut. Namun begitu, tidak semua pemilik yang menyayangi haiwan berkenaan mampu, rajin atau mempunyai masa untuk memastikan kebajikan haiwan peliharaan mereka dijaga dengan baik dan sempurna.

BERNAMA melaporkan peningkatan tiga kali ganda kes pembuangan haiwan peliharaan iaitu kucing dan anjing pada 2020 di Kuala Lumpur semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) berikutan pandemik COVID-19 yang melanda.

Presiden Kelab Kucing Malaysia (KKM), Khalid Rashid pula menyatakan bahawa 2,000 ekor kucing jalanan diselamatkan sepanjang tempoh PKP. Apa yang ingin dikemukakan di sini ialah aspek penjagaan kebersihan haiwan-haiwan ini, sama ada yang dipelihara atau yang dibuang di merata tempat.

Sesetengah pemilik haiwan ini didapati membiarkan sahaja haiwan peliharaan mereka berkeliaran dan membuang najis merata-rata. Hal ini membawa kepada ketidakselesaan penduduk sekitar. Penduduk yang berjiran sama ada di taman perumahan, rumah pangsa, pangsapuri atau kondominium terkesan akibat kurangnya penjagaan kebersihan haiwan-haiwan ini. Keadaan ini dirujuk sebagai kacau ganggu.

Kacau ganggu dan undang-undang

Seksyen 2 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) mentafsirkan ‘kacau ganggu’ sebagai “sesuatu perbuatan, ketinggalan atau benda yang menyebabkan atau mungkin menyebabkan bencana, kegusaran, kesalahan, kerosakan, bahaya atau kecacatan kepada deria penglihatan, bau atau pendengaran atau membencanakan atau berbahaya atau yang mungkin membencanakan atau berbahaya kepada kesihatan atau harta atau yang menjejaskan keselamatan atau hak-hak penduduk-penduduk umum”.

Secara umumnya, dalam konteks undang-undang sivil, kacau ganggu ini boleh dibahagikan kepada dua jenis: (1) kacau ganggu awam dan (2) kacau ganggu persendirian. Kacau ganggu awam bermaksud timbulnya gangguan ke atas hak-hak awam. Ia juga merupakan kesalahan jenayah dan juga tort. Kacau ganggu awam telah dibuktikan dalam kes Majlis Perbandaran Pulau Pinang v Boey Siew Tan & Ors [1978] 2 MJL 156.

Dalam kes tersebut, mahkamah telah memutuskan bahawa sesuatu kacau ganggu itu merupakan kacau ganggu awam sekiranya ia secara material mengganggu keselesaan atau kemudahan sesuatu kelas masyarakat dalam kawasan tersebut. Selain itu, kacau ganggu persendirian pula bermaksud ketidakwajaran terhadap penggunaan tanah.

Kacau ganggu persendirian bukan hanya melibatkan kerosakan yang bersifat bukan fizikal seperti bunyi bising yang mengganggu keselesaan atau kemudahan plaintif tetapi turut melibatkan kerosakan yang bersifat fizikal kepada tanah seperti mengeluarkan atau menggunakan saluran air daripada tanah milik plaintif.

Terdapat beberapa remedi di bawah undang-undang bagi kes melibatkan kacau ganggu. Secara ringkasnya, ia boleh dibahagikan kepada dua kategori: (i) remedi statutori (undang-undang bertulis) dan (ii) remedi di bawah common law.

Akta yang relevan bagi membincangkan kes kacau ganggu haiwan peliharaan di kawasan kejiranan ialah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Terdapat beberapa seksyen dalam Akta 171 ini yang menjelaskan kacau ganggu.

Seksyen 80 Akta Kerajaan Tempatan 1976 menyatakan bahawa sekiranya pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapati terdapat gangguan di kawasan awam atau kawasan persendirian, PBT boleh menghapuskan dan menghentikan kacau ganggu ini dengan menghantar notis, mengambil tindakan undang-undang dan mendapatkan ganti rugi.

Seksyen 81 (b) Akta Kerajaan Tempatan 1976 menjelaskan bahawa “apa-apa binatang yang disimpan di sesuatu tempat atau dengan sesuatu cara atau dengan sebegitu besar bilangannya sehingga menjadi satu kacau ganggu” boleh diambil tindakan secara terus di bawah akta ini.

Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976, menyatakan bahawa “jika sesuatu notis telah disampaikan kepada seseorang dan orang itu tidak mematuhi mana-mana daripada kehendak notis itu dalam tempoh yang ditentukan, orang itu melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya dan selain daripada itu Mahkamah Majistret itu boleh mengeluarkan suatu perintah kacau ganggu”. Oleh itu, pemilik bukan sahaja boleh didenda malah boleh dikenakan hukuman penjara atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.

Seksyen 84 pula menekankan kuasa untuk mengambil tindakan jika sebab kacau ganggu terbit di luar kawasan PBT. “Jika sesuatu kacau ganggu dalam, atau yang menyentuh mana-mana bahagian, sesuatu kawasan pihak berkuasa tempatan didapati disebabkan kesemuanya atau sebahagiannya oleh sesuatu perbuatan atau kemungkiran yang dilakukan atau sedang dilakukan di luar kawasan pihak berkuasa tempatan itu, pihak berkuasa tempatan itu boleh mengambil, atau menyebabkan diambil, terhadap sesiapa jua mengenai perbuatan atau kemungkiran itu, apa-apa tindakan berhubungan dengan kacau ganggu, yang dibenarkan oleh Akta ini dalam kes yang serupa dan dengan beban dan akibat yang sama seolah-olah perbuatan atau kemungkiran itu dilakukan atau berlaku kesemuanya dalam kawasan pihak berkuasa tempatan itu”.

Perspektif Islam

Kucing merupakan haiwan comel yang termasuk dalam kategori haiwan istimewa dalam Islam. Hal ini kerana kucing merupakan haiwan peliharaan Nabi Muhammad SAW yang sangat disayangi. Seseorang yang menyayangi haiwan seperti kucing dan haiwan lainnya akan mendapat rahmat Allah SWT di akhirat nanti.

“Barang siapa menyayangi meskipun terhadap haiwan sembelihan, nescaya Allah akan merahmatinya pada Hari Kiamat.” (HR. Bukhari).

Haiwan ini memiliki keistimewaan tersendiri dan mereka yang memelihara haiwan ini akan memperoleh pahala. Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa terdapat juga sisi negatif haiwan ini seperti mencuri ikan di atas meja atau membuang najis di merata tempat. Perlu diingatkan bahawa memelihara kucing sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada jiran tetangga adalah sangat dilarang dalam Islam.

Rasulullah SAW bersumpah sebanyak tiga kali: “Demi Allah, tidak beriman! Demi Allah, tidak beriman! Demi Allah, tidak beriman!” Apabila ditanya, siapa yang Baginda SAW maksudkan, Baginda menjawab: “Seseorang yang jirannya tidak berasa aman dan tenang disebabkan perangai jahatnya.” (Riwayat al-Bukhari No. 6016 dan Muslim No. 46).

Ibn Battal menegaskan bahawa hadis ini memberi penekanan terhadap penjagaan hak-hak jiran kerana Rasulullah SAW telah mengulang sumpah Baginda sebanyak tiga kali.

Kucing tidak mukalaf yakni tidak berakal seperti manusia. Justeru, kucing tidak akan dipertanggungjawabkan untuk memikul sebarang dosa di akhirat nanti. Sebaliknya, tuan kepada kucing tersebut yang dikurniakan akal yang cukup oleh Allah SWT tetapi tidak menggunakan akalnya untuk lebih berhati-hati dan berwaspada terhadap amaran Rasulullah SAW supaya tidak melakukan dosa dan menyusahkan jiran akan menanggung segalanya.

Secara umumnya, setiap orang mengidamkan ketenangan dan kebersihan di persekitaran kediaman mereka tanpa sebarang kacau ganggu. Dalam kejiranan moden masa kini dengan setiap unit kediaman terletak berhampiran antara satu sama lain, tidak dinafikan sesetengah pemilik haiwan membiarkan haiwan peliharaan mereka berkeliaran dan membuang najis di merata-rata tempat. Hal ini menyebabkan ketidakselesaan dalam kalangan jiran tetangga.

Namun, demi menjaga kesejahteraan kejiranan, ramai yang memilih untuk bertolak ansur. Persoalannya, bagaimanakah pula sekiranya keadaan ini berterusan dan memberikan kesan kepada kehidupan anda? Justeru, seseorang itu berhak untuk melaporkan kepada PBT jika merasakan haiwan peliharaan jirannya mengganggu ketenteraman. Pihak PBT akan mengeluarkan surat atau notis mengarahkan pemilik haiwan tersebut supaya memastikan haiwan peliharaannya tidak lagi mengganggu ketenteraman jirannya. Sekiranya kacau ganggu masih berterusan, pemilik haiwan tersebut boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000, atau penjara atau kedua-duanya sekali.

-- BERNAMA

Dr Nor Zaini Zainal Abidin merupakan Koordinator Research Management Unit (RMU) dan juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah.

Nurul Mazrah Manshor merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah.

Nur Irinah Mohamad Sirat merupakan Koordinator Kursus Undang-Undang dan juga Pensyarah Kanan, Jabatan Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)