TINTA MINDA

HARGA MINYAK MASAK SEIRING DENGAN HARGA PASARAN MINYAK SAWIT MENTAH

19/08/2022 02:23 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir

Baru-baru ini, Kerajaan memutuskan harga siling runcit minyak masak sawit tulen tidak bersubsidi dalam botol satu hingga lima kilogram (kg) ditetapkan secara bulanan dan ia akan mengambil kira penetapan purata harga bulanan minyak sawit mentah (MSM) yang diumumkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada setiap hari bekerja pertama setiap bulan.

Harga minyak masak dipengaruhi pergerakan harga MSM yang merupakan input utama bagi penghasilan minyak masak.

Harga pasaran MSM sentiasa berubah-rubah kerana ia dipengaruhi oleh sentimen pasaran semasa yang menyebabkan harga minyak masak (minyak sawit olein) turut bergerak seiringan.

Harga MSM telah mula menunjukkan tren peningkatan yang begitu ketara bermula pada pertengahan tahun 2020 dan telah beberapa kali memecahkan rekod harga tertinggi dalam sejarah industri sawit negara pada Januari 2021 hingga Mei 2022, sebelum mencatat tren penurunan bermula Jun 2022.

Pada Julai 2022, harga MSM telah mengalami kejatuhan sebanyak 33.5 peratus kepada RM4,063.00 satu tan berbanding RM6,106.00 satu tan pada Jun 2022. Kejatuhan harga MSM ini dipengaruhi oleh beberapa faktor iaitu penurunan harga minyak kacang soya (SBO), penurunan harga minyak mentah Brent (BCO), eksport minyak sawit Malaysia yang rendah ke Kesatuan Eropah dan China, lambakan minyak sawit di pasaran dunia, dan musim pengeluaran MSM Malaysia yang tinggi.

Harga SBO telah menurun sebanyak 12.6 peratus kepada US$1,548 satu tan pada Julai 2022 berbanding US$1,772 satu tan pada Jun 2022 berikutan bekalan kacang soya yang mencukupi ekoran keadaan cuaca yang baik di Amerika Syarikat.

Sementara itu, harga BCO pula telah menurun sebanyak 8.1 peratus kepada US$117.12 satu tong pada Julai 2022 berbanding US$127.41 satu tong pada Jun 2022 berikutan peningkatan bekalan minyak mentah global ekoran tindakan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum atau OPEC meningkatkan pengeluaran minyak mentah sehingga 100,000 tong sehari.

Penarikan semula larangan eksport oleh Indonesia bermula 23 Mei 2022 telah menyebabkan lambakan minyak sawit di pasaran dunia. Keadaan ini bertambah teruk dengan pemansuhan eksport levi bermula pada 15 Julai hingga 31 Ogos 2022 bertujuan untuk mengurangkan inventori minyak sawitnya yang masih tinggi kesan daripada larangan eksport tersebut. Kedua-dua situasi ini telah menyebabkan kejatuhan mendadak harga minyak sawit di pasaran global serta memberi saingan eksport yang sengit kepada eksport minyak sawit Malaysia.

Pada Julai 2022, pengeluaran MSM Malaysia meningkat 1.8 peratus kepada 1.57 juta tan berbanding 1.55 juta tan pada Jun 2022 berikutan berlakunya peningkatan dalam musim pengeluaran. Keadaan ini biasanya berlaku daripada Mac hingga Oktober setiap tahun.

Harga pasaran MSM mencatat tren penurunan kerana dipengaruhi oleh faktor-faktor yang saya sebutkan tadi.

Pada 1 Ogos 2022, MPOB telah memaklumkan purata harga MSM bagi bulan yang lepas iaitu bulan Julai, ialah pada RM4,063.00 satu tan. Berdasarkan pada harga tersebut, harga siling bagi jualan runcit minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol satu hingga lima kilogram telah diputuskan untuk ditetapkan pada RM7.70 sebotol hingga RM34.70 sebotol berkuat kuasa mulai 8 Ogos lalu.

Penguatkuasaan di kedai-kedai runcit dilaksanakan tujuh hari selepas dimaklumkan oleh MPOB harga minyak sawit purata bagi bulan sebelumnya.

Namun begitu, penurunan harga MSM ini tidak menyebabkan berlakunya penurunan harga minyak masak sawit di pasaran tempatan dalam tempoh masa yang sama. Ini kerana terdapat kesan kelewatan (lagging effect) dalam hubungkait di antara harga MSM dan harga minyak masak sawit.

Kesan kelewatan bermaksud kesan pergerakan harga MSM terhadap pergerakan harga minyak masak sawit yang hanya dapat dilihat selepas sebulan. Ini mengambil kira proses penghasilan minyak masak daripada pembelian MSM sehingga edaran di pasar raya.

Oleh yang demikian, penurunan harga MSM tidak menjadikan harga minyak masak di pasaran turun secara mendadak. Ini berlaku kerana kilang penapis perlu membeli MSM lebih awal pada harga semasa untuk diproses dan dibungkus menjadi minyak masak. Oleh itu, untuk mengelakkan kerugian harga minyak masak tersebut tidak dapat diturunkan selagi stok lama minyak masak tersebut masih ada.

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi (Jawatankuasa Jihad) telah mengadakan perbincangan libat urus dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), MPOB dan penggiat-penggiat industri sawit.

MPOB telah diminta untuk membuat kajian mekanisme penetapan harga minyak masak untuk pasaran negara ini. Kajian melibatkan penilaian kebolehlaksanaan mekanisme harga dua peringkat (two-tier pricing) yang membezakan antara harga minyak masak untuk kegunaan domestik dan kegunaan eksport bagi menggantikan mekanisma satu harga yang diguna pakai pada waktu ini.

Two-Tier Pricing merujuk kepada sistem di mana harga komoditi untuk kegunaan domestik dikawal pada harga yang lebih rendah, manakala untuk pasaran eksport adalah mengikut harga pasaran semasa.

Berdasarkan statistik MPOB, bagi tempoh Januari hingga Julai 2022, eksport minyak sawit berjumlah 8.50 juta tan, di mana 6.50 juta tan adalah minyak sawit diproses. Daripada jumlah eksport minyak sawit diproses, eksport minyak masak pada tempoh tersebut adalah 759,228 tan atau mewakili 11.7 peratus. Jumlah ini (759,228 tan) menunjukkan peningkatan sebanyak 121,235 tan (19.0 peratus) berbanding 637,993 tan untuk tempoh yang sama pada 2021.

Bagi tempoh Januari hingga Julai 2022, Malaysia mengeksport minyak masak ke Pakistan dengan jumlah 104,413 tan, diikuti oleh Afghanistan sebanyak 78,355 tan, Angola sebanyak 61,817 tan, Tanzania sebanyak 59,656 tan dan Djibouti dengan jumlah 58,960 tan.

--BERNAMA

Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj Ghulam Kadir merupakan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)