TINTA MINDA

TEKNOLOGI 5G DI MALAYSIA : KONSEP PELAKSANAAN DAN IMPAKNYA

22/08/2022 01:49 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Ts Dr. Mohamed Nasrun Osman

Konsep pelaksanaan 5G di Malaysia

Kerajaan Malaysia telah menetapkan penggunaan kaedah Single Wholesale Network (SWN) untuk pelaksaan 5G di negara ini. Dengan mandat diberikan kepada Digital National Berhad (DNB) dalam menjayakan pelaksanaannya. DNB menggunakan konsep Multi-Operator Core Network (MOCN) untuk melancarkan teknologi 5G di Malaysia.

Teknologi MOCN digunakan buat pertama kali di Semenanjung Malaysia bagi menyelesaikan masalah liputan yang dialami penduduk Ladang UP, Bahagian Bukit Selambau, Kedah. MOCN ialah teknologi pemancar terkini yang membolehkan keempat-empat penyedia perkhidmatan iaitu Celcom, DiGi, Maxis dan U-Mobile menggunakan hanya satu set peralatan dan sumber spektrum yang sama untuk memberikan perkhidmatan 5G di sesebuah kawasan.

Pembentukan DNB akan membuka lebih banyak jalan untuk perkhidmatan tanpa wayar bergerak terus ke hadapan dan ke aras lebih tinggi dan memacu penumpuan liputan dan peningkatan infrastruktur talian tetap tanpa wayar.

Kenapa model SWN dipilih?

Penggunaan model SWN dapat membantu pihak kerajaan dalam menjimatkan kos pelaksanaan 5G dan akan membantu meringankan beban pengguna. Sekiranya setiap syarikat penyedia perkhidmatan membuat infrastruktur sendiri, ianya akan mengakibatkan implikasi terhadap kos pelaksanaan dan menjadi kurang efisien daripada aspek kos (harga tidak mampu milik) kepada pengguna.

Menerusi model SWN yang dikendalikan oleh DNB, perkhidmatan 5G tidak akan menggunakan konsep different operators, different infrastructure. Dengan kaedah ini, pemasangan dan pelancaran teknologi 5G akan lebih cepat dan capaian liputan akan lebih meluas, dengan matlamat utama menggalakkan rakyat untuk menikmati teknologi ini.

Ia sekali gus membolehkan lebih ramai pengguna, terutama golongan B40 untuk menikmati teknologi 5G pada harga yang lebih murah. Model SWN dipilih bagi mempercepatkan kadar penyediaan internet berkelajuan tinggi terutama kepada kawasan-kawasan pedalaman dan seterusnya mengurangkan kadar jurang digital dalam kalangan masyarakat.

Walaupun kaedah SWN mendapat kritikan dan risiko terutama kerisauan kepada monopoli satu entiti dan kerisauan kegagalan DNB dalam pelaksanannya, termasuklah negara pertama yang menggunakan model SWN ini. Bagaimanapun model SWN mempunyai kelebihan tertentu berbanding Dual Wholesale Network (DWN). DWN mempunyai implikasi yang agak besar, terutama kelewatan dalam pelaksanaan kerana consortium akan memerlukan sedikit masa untuk mereka bentuk dan membina infrastruktur dan memerlukan modal capital yang lebih besar untuk pelaksanaannya.

Selain itu, kaedah SWN akan memberikan kecekapan pengurusan spektrum yang lebih baik, dan membolehkan pelaksanaan dan perancangan dibuat berlandaskan kepada asas tuntutan liputan, dan bukan seperti sebelumnya iaitu berasaskan permintaan kawasan. “Demand-based” mengakibatkan kawasan-kawasan yang kurang permintaan dan tidak untung terus ketinggalan untuk akses kepada teknologi terkini.

Dengan kadar kelajuan dan liputan yang masih rendah untuk teknologi 4G berbanding negara Asia Tenggara yang lain, SWN adalah yang terbaik untuk dipilih ketika ini dalam mencapai agenda nasional terhadap perkembangan dan capaian liputan teknologi lebih meluas untuk semua. Difahamkan, DNB mensasarkan untuk liputan 5G adalah pada kadar 80 peratus pada tahun 2024.

Pelaksanaan teknologi 5G yang semestinya memerlukan CapEx (capital expenditure) yang amat besar. Pelaksanaan model SWN membolehkan penyedia perkhidmatan untuk memberi tumpuan kepada menaiktaraf dan memperluas liputan 4G, manakala pelaksanaan 5G akan diuruskan dan dirancang oleh entiti yang lain, iaitu DNB.

Sekiranya model ini berjaya membuahkan hasil dan mencapai sasaran, ianya akan menjadi rujukan banyak pihak dalam pelaksanaannya pada masa akan datang. Dengan perkembangan yang kita lihat sekarang, saya optimis bahawa pelancaran 5G di Malaysia berada di landasan yang betul dan berjalan seperti yang dirancang. Matlamatnya adalah untuk memastikan Malaysia memiliki sebuah infrastruktur digital yang berkualiti dan berdaya saing di peringkat global, yang merupakan asas ekonomi digital kita. 5G sememangnya satu daripada pemacu utama dalam mencapai status dan ini boleh dilakukan dengan pembangunan penyeragaman 5G dan penyelarasan spektrumnya.

Konsep rekabentuk antena bagi teknologi 5G

Bagi memenuhi piawaian teknologi 5G, rekabentuk antena sudah tidak boleh lagi seperti konvensional. Antena perlu menjadi lebih pintar. Apa yang dimaksudkan dengan pintar ini? Iaitu antena tersebut boleh beradaptasi dengan persekitaran untuk mencapai prestasi atau keupayaan yang lebih baik. Dua ciri utama antenna untuk 5G adalah “adaptive beamforming” dan “Massive MIMO”.

Jika semasa teknologi 3G/4G, bentuk pancaran antena adalah bersektor atau ke semua arah, iaitu meliputi kawasan tertentu pada sudut dan darjah liputan tertentu serta bersifat lebih statik, namun untuk antena bagi teknologi 5G ianya adalah bersifat dinamik. Rasuk atau pancaran untuk antena ini akan ditetapkan atau dikunci kepada pengguna dan akan berubah arah atau sudut mengikut kedudukan peranti atau pengguna selagi peranti atau pengguna masih berada di dalam kawasan liputan.

Rasuk atau pancaran sempit akan diberikan kepada setiap pengguna. Kebiasaanya, antena berbentuk tatasusun (array) menjadi pilihan untuk mereka bentuk antena bercirikan “adaptive beamforming”. Untuk massive MIMO pula, bilangan elemen antena untuk setiap reka bentuk akan diperbanyakkan, sama ada di menara komunikasi (base station) atau di terminal telefon.

Di terminal telefon contohnya, untuk teknologi 5G bilangan antena akan mempunyai bilangan empat elemen dan lebih. Terdapat juga model telefon mudah alih yang mempunyai sehingga lapan elemen dan 12 elemen. Reka bentuk di telefon agak mencabar disebabkan oleh ruang yang terhad dan perlu mengambil kira pengaruh kehadiran tangan pengguna kepada prestasi antena. Untuk antena di menara komunikasi, bilangan elemen antenna adalah lebih tinggi, sehingga 64 elemen atau lebih.

Kedua-dua ciri ini diperlukan dengan bermatlamat untuk menaikkan nisbah isyarat kepada hingar (Signal-to-Noise Ratio) untuk sistem komunikasi tersebut, sekali gus dapat memberikan capaian kapasiti isyarat yang lebih baik dan stabil.

Impak teknologi 5G kepada ekonomi

Menurut kajian dan data daripada Jabatan Statistik Malaysia dan dapatan data kualitatif daripada temuduga dengan industri oleh pihak ketiga Ernst & Young Consulting Services Sdn Bhd, laporan mengunjurkan teknologi 5G berpotensi untuk menaikkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak lima peratus atau RM122 billion menjelang 2030 dan menawarkan peluang kerja sebanyak 740,000. Pengunjuran kenaikan KDNK ini dipacu oleh penambaikan di dalam kecekapan dan produktiviti hasil daripada transformasi digital yang dicetuskan oleh teknologi 5G dan peningkatan permintaan dari sektor rantaian pembekalan.

Dengan 5G, ianya akan dapat memberi akses internet kepada kawasan pedalaman yang sebelum ini tercicir dengan teknologi tanpa wayar ini. Hal ini dapat menaik taraf dan memberi peluang lebih baik, seperti aspek pendidikan, pendedahan kepada kemahiran baru dan mutu perkhidmatan kesihatan. Selain itu, teknologi 5G akan dapat membantu untuk mengembangkan ekonomi luar bandar dan perusahaan kecil untuk meroka peluang pemasaran secara atas talian. Bukan itu sahaja, teknologi 5G akan memacu revolusi industri 4.0 dan membolehkan perkhidmatan digital baharu kepada pengguna dan perusahaan. Secara keseluruhannya, impak terhadap ekonomi negara akan dijanakan sepenuhnya oleh pelaburan pihak swasta dalam pelaksanaan 5G tanpa sebarang peruntukan ataupun jaminan daripada kerajaan.

Impak kepada kesihatan: Teknologi 5G memudaratkan?

Seperti mana teknologi sebelum ini 2G, 3G dan 4G, teknologi 5G menggunakan gelombang radio untuk berhubung dan berkomunikasi. Frekuensi radio (RF) adalah antara spektrum yang menghasilkan radiasi elektromagnetik. Setiap hari, peranti-peranti elektronik menghantar isyarat dalam bentuk gelombang ke udara di sekeliling kita menggunakan tenaga frekuensi radio. Wifi, komunikasi selular, Bluetooth, komputer riba dan tablet antara peranti yang mengeluarkan RF yang selalu berada di persekitaran kita.

Untuk 5G, terdapat tiga jalur frekuensi yang dipilih untuk teknologi 5G beroperasi, iaitu jalur rendah (700 MHz), Jalur Tengah (3500 MHz) dan Jalur Tinggi (28 GHz). Penggunaan frekuensi tinggi melebihi 6 GHz masih baru dan telah menimbulkan kebimbangan orang ramai tentang sebarang kemungkinan kesan buruk kepada kesihatan manusia. Satu kajian telah dibuat oleh Ken Karipis dan pasukan penyelidiknya yang menjalankan kajian tentang “5G mobile networks and health – a state-of-the-science review of the research into low-level RF fields above 6 GHz”, iaitu melakukan kajian semula terhadap kajian yang telah diterbitkan berkaitan medan RF di atas 6 GHz. Kajian ini telah diterbitkan di Nature: Journal of Exposure Science & Environment Epidemiology pada tahun 2021. Kertas kajian ini telah membuat kesimpulan berikut:

The review of experimental studies provided no confirmed evidence that low-level MMWs are associated with biological effects relevant to human health. Many of the studies reporting effects came from the same research groups and the results have not been independently reproduced. The majority of the studies employed low quality methods of exposure assessment and control so the possibility of experimental artefact cannot be excluded. Further, many of the effects reported may have been related to heating from high RF energy deposition so the assertion of a ‘low-level’ effect is questionable in many of the studies.

Sehingga kini, kajian masih terus dijalankan oleh penyelidik dalam mengenalpasti kesan penggunaan atau pendedahan radio frekuensi kepada kesihatan manusia. Menurut WHO, masih terdapat kajian yang terhad berkenaan ini dan memerlukan lebih banyak lagi kajian mendalam berkaitan kesan medan elektromagnetik kepada kesihatan untuk semua spektrum terlibat. Perlu untuk kita fahamkan bahawa tenaga RF adalah dalam kategori radiasi tidak mengion ataupun “non-ionizing radiation”. Kategori ini tidak cukup kuat untuk mengganggu struktur atom ataupun DNA, namun boleh menyebabkan atom untuk bergetar dan menghasilkan haba. Pendedahan kepada tenaga RF yang tinggi amat merbahaya kepada kesihatan seperti pancaran sinar X dan gamma yang mempunyai radiasi mengion, namun peranti elektronik tanpa wayar yang terdapat sekarang beroperasi pada paras tenaga yang rendah, dan tidak akan menyebabkan kepanasan. Malaysia menggunakan piawaian tahap pendedahan oleh Suruhanjaya Perlindungan Sinaran Tidak Mengion Antarabangsa (ICNIRP) yang turut disyorkan oleh Perubuhan Kesihatan Dunia dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dapatan semasa masih tidak konkrit dan tidak konsisten untuk menyatakan kesan buruk kepada kesihatan disebabkan pendedahan langsung kepada gelombang radio ini. Walaupun masih belum ada dapatan kajian dan bukti saintifik yang jelas menunjukkan hasil seperti ini, namun tindakan berikut boleh diambil dalam mengurangkan risiko pendedahan kepada tenaga radio frekuensi:

• Menghadkan penggunaan penggunaan peranti telekomunikasi

• Berhubung menggunakan teks berbanding panggilan

• Memastikan penerimaan signal yang baik. Isyarat yang lemah menyebabkan peranti untuk meningkatkan kuasa/isyarat dalam memastikan talian perhubungan yang baik.

• Jarakkan peranti tanpa wayar dengan tubuh badan

Oleh yang demikian, boleh disimpulkan penggunaan teknologi 5G ini adalah selamat dan tidak akan memberikan kemudaratan kepada kesihatan.

--BERNAMA

Ts. Dr. Mohamed Nasrun Osman merupakan pensyarah kanan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)



(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)