TINTA MINDA

MASYARAKAT BERTANGGUNGJAWAB GEMBLENG USAHA SERIUS MENGAWAL KES DIABETES

01/09/2022 09:17 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Prof Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor

“Mamak, kopi tarik 'kaw' satu”. Pesanan sebegini biasa kita dengar di restoran atau warung kopi. ‘Kaw’ itu selalunya merujuk kepada penambahan nilai ‘sedap’ yang secara automatiknya juga penambahan nilai ‘manis’ melalui jumlah gula dan susu pekat manis dalam hirupan air kopi itu. Kalau sekali dua makan jumlah ‘kemanisan’ sebanyak itu, mungkin tak memberi apa-apa kesan. Tetapi kalau sudah menjadi tabiat, ia sesuatu yang mendatangkan bahaya kepada kesihatan tubuh badan seperti diabetes atau kencing manis.

Dalam era yang serba moden ini, kita lebih terdedah dengan pemakanan yang mengandungi gula tambahan seperti makanan dalam tin, makanan ringan, kek, biskut, coklat, gula-gula, aiskrim dan pelbagai lagi. Pengambilan gula yang berlebihan boleh menyebabkan komplikasi dan masalah kesihatan seperti kencing manis, obesiti, gigi rosak, dan pelbagai lagi. Kesibukan kita bekerja siang dan malam kadang kala menyebabkan kita tidak mengendahkan kesihatan diri terutamanya dalam mengambil makanan yang cenderung mengakibatkan pelbagai penyakit termasuk diabetes.

Diabetes: Malaysia di tangga ke-10

Diabetes boleh dibahagikan kepada dua jenis. Jenis pertama merujuk kepada penghasilan insulin yang tidak mencukupi oleh kelenjar pankreas pesakit. Ini biasanya terjadi secara tiba-tiba terutamanya golongan muda yang mempunyai sejarah penyakit diabetes dalam keluarga. Diabetes jenis kedua pula merujuk kepada insulin yang tidak sensitif yang sedia ada dalam badan pesakit. Ini biasanya menjelma secara perlahan pada mereka yang berumur dan yang mempunyai sejarah kencing manis dalam keluarga. Menurut pakar perubatan, kedua-dua jenis diabetes ini boleh dan perlu dikawal sebaiknya demi kesihatan badan yang optimum. Secara umum, pesakit diabetes berisiko mendapat penyakit kaki diabetik.

Penyakit itu menyebabkan kulit kaki menjadi kering dan senang merekah, kurang atau hilang bulu, peningkatan pigmentasi pada kulit dan juga jangkitan kulat pada kaki dan kuku. Diabetes juga menyebabkan seseorang tidak menyedari kerosakan pada kakinya seperti luka, pecah ataupun berkudis (ulser). Masalah oksigen yang tidak sampai pula membuatkan luka kaki terbabit lambat sembuh atau bernanah hingga terpaksa dipotong.

Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHSM) beberapa tahun yang lalu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan satu daripada lima orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes. Hasil kajian ini juga mendedahkan hampir 50 peratus daripada rakyat Malaysia tidak sedar mereka mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi. Statistik itu telah meletakkan Malaysia di tangga ke-10 dunia dengan jumlah penghidap diabetes seramai 3.9 juta orang, jauh lebih tinggi daripada jangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelang 2025 iaitu hanya kira-kira 800,000 orang. Statistik lain mendedahkan purata penggunaan gula bagi isi rumah mahupun di peringkat industri adalah tinggi berbanding negara-negara lain. Keadaan itu menyumbang kepada trend peningkatan pelbagai penyakit serius selain diabetes iaitu obesiti, kegagalan sistem ginjal, penyakit jantung dan kardiovaskular.

KKM pada 2020 menganggarkan 3.9 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas kini menghidap diabetes. Hasil statistik KKM ini seterusnya mengundang kegusaran apabila didapati separuh daripada jumlah itu atau kira-kira 1.8 juta belum didiagnos dan tidak pernah menjalani saringan kesihatan, lalu tidak menyedari kehadiran penyakit diabetes yang dihidapi. Fakta-fakta yang dikongsikan ini merupakan sesuatu yang sangat membimbangkan. Sampai bila statistik seperti ini akan terus menghantui kita? Adakah kita bangga menjadi warganegara yang paling tidak sihat berbanding orang-orang di negara lain?

Bersederhana itu lebih baik

Terdapat banyak cara untuk mencegah dan mengawal penyakit Diabetes ini. ‘Google’ sahaja di internet, beribu-ribu tips dan nasihat boleh ditemukan dengan mudah. Seperti mana kata pujangga yang selalu menyebut, ‘kurangkan manis dalam makanan, lebihkan manis dalam senyuman’. Kalau hendak sihat dan umur panjang sememangnya banyak perkara yang perlu diikuti pantang larang dan anjuran disiplinnya. Antaranya seperti yang dianjurkan Islam iaitu dengan mengamalkan ibadah berpuasa, makan sebelum lapar dan berhenti makan sebelum kenyang, dan sebagainya. Allah SWT memberikan peringatannya mengenai peri penting menjaga dan mengawal kesihatan melalui pemakanan, kerana tabiat makan secara berlebihan boleh memudaratkan badan, seperti mana dalam firman-Nya yang bermaksud: “Makanlah dan minumlah serta jangan berlebih-lebihan” (Surah al-Araf, ayat 31).

Sehubungan itu, pakar pemakanan menganjurkan pengambilan makanan seharian secara terkawal. Pakar pemakanan misalnya menggalakkan kita mengambil sarapan, makan tengahari dan makan malam serta mengurangkan pengambilan makanan di antara ketiga-tiga waktu makan utama tersebut. Tabiat minum air kosong mengikut jumlah yang disarankan dalam sehari juga sangat digalakkan bagi mengawal dan mencegah penyakit diabetes.

Pakar-pakar pemakanan juga mengesyorkan sistem ‘check and balance’ di mana pengambilan gula tetap dibenarkan dalam pemakanan, akan tetapi jumlah pengambilannya dikawal pada kadar yang diperlukan oleh tubuh badan sahaja. Makanan ringan yang tidak berkhasiat bahkan kaya dengan lemak tidak tepu, kandungan gula yang berlebihan, perasa tiruan dan emulsifier yang memudaratkan kesihatan perlulah diganti dengan makanan yang berkhasiat dan kaya dengan zat-zat yang diperlukan tubuh badan.

Bersenam juga merupakan satu kaedah berkesan dalam mengawal diabetes. Jangan jadikan alasan komitmen kerja menghalang kita untuk bersenam dan mengeluarkan peluh. Kalau tidak mampu untuk bersukan atau berjoging, sekurang-kurangnya amalkanlah untuk berjalan pada sela masa tertentu semasa bekerja. Ataupun boleh sahaja untuk kita mengamalkan senaman-senaman ringkas yang cukup mudah dilakukan walau pun berada di hadapan komputer semasa bekerja. Begitu juga di hujung minggu, jangan biasakan diri duduk menghadap televisyen sepanjang masa. Keluarkanlah peluh dengan bersenam, berkebun, beriadah, bersukan, mengemas rumah, atau apa sahaja aktiviti yang boleh menghambat penyakit-penyakit seperti diabetes jauh-jauh daripada kita. Hadamlah dengan kata peribahasa, ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’.

Islam sendiri meletakkan kesihatan dan kesejahteraan di tempat yang pertama selepas keyakinan (keimanan). Kalau kita mempunyai masalah kesihatan bermakna segala urusan ibadat juga turut terganggu. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan (iman)” (Hadis Riwayat Ibnu Majah). Kita juga diingatkan betapa bernilainya harga kesihatan. Tiada gunanya harta dan kekayaan yang melimpah ruah sedangkan ianya tidak dapat dinikmati kerana keadaan diri yang tidak sihat akibat pelbagai penyakit berhimpun termasuklah diabetes. Selepas ini, dengan kesedaran dan tanggungjawab untuk menjaga kesihatan, mungkin boleh kita mulakan dengan memesan minuman di restoran seperti ini, “Mamak, bagi saya kopi O ‘kosong’ (tanpa gula) satu!”.

-- BERNAMA

Profesor Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor merupakan Ketua Program Pengurusan dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)