SALAM DARI BEIJING

BERTUAHNYA MIRI JALIN KERJASAMA, PERSAHABATAN DENGAN BANDAR PALING SEJAHTERA DI CHINA

09/09/2022 03:00 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Hasnah Jusid

Hanya beberapa hari selepas tiba di Beijing pada hujung Julai lepas, penulis dimaklumkan untuk bersiap sedia bagi lawatan ke Shandong, sebuah wilayah di pantai timur China yang terkenal sebagai tempat kelahiran ahli falsafah termasyhur dunia dari China, Confucius.

Perjalanan dari Beijing selama hampir lima jam ke wilayah pesisir pantai itu bagaikan tidak terasa apabila menaiki keretapi berkelajuan tinggi, kira-kira 300km sejam.

Jadual padat juga menanti penulis menerusi lawatan ke pelbagai tempat seperti syarikat tekstil dan peralatan kesihatan, pelabuhan dan muzium pelancongan, yang diatur di tiga bandar utama wilayah berkenaan, meliputi Yantai, Weihai dan Qingdao.

Sebaik selesai lawatan ke Yantai, di Timur Shandong, bandar yang terkenal kaya dengan sumber perikanan, mineral dan epal manisnya, penulis dibawa pula ke Weihai, kawasan yang lebih menyegarkan mata kerana keindahan pantainya, terletak di tepi Laut Bohai di utara dan Laut Kuning di selatan.


Weihai, yang terletak di hujung paling Timur Semenanjung Shandong dengan populasi penduduk 2.9 juta, benar-benar membuatkan penulis jatuh cinta dengan pemandangan sepanjang jalan yang dibarisi pepohonan, pemandangan laut biru yang memukau selain pantai yang luas dan pelbagai taman tema dan resort.

Laluan yang digelar "1001 Coastal Drive” terdiri daripada Jalan Huanhai di timur dan Jalan Huanshan di barat itu, menampilkan landskap semula jadi yang unik dengan 1,001 kilometer garis pantai dan pemandangan gunung, antaranya merentasi pergunungan seperti Gunung Kunyu dan Gunung Daru.

Kerjasama Dengan Weihai

Terdapat 14 ladang marin peringkat kebangsaan, 49 tarikan pelancong kelas A, 80 kawasan model pemulihan desa, 48 homestay butik, 66 kemudahan perkhidmatan kebudayaan awam, lapan pangkalan pengalaman pelancongan warisan budaya tidak ketara dan 30 stesen tema budaya di sepanjang laluan berkenaan.

Namun tidak disangka, rupanya bandar yang telah dianugerahkan UN-Habitat Scroll of Honor dan China Human Habitat Environment Prize dan dipilih sebagai bandar paling sejahtera di China itu mempunyai ‘hubungan’ dengan Malaysia.


Menurut seorang jurubahasa sebaik mengetahui penulis berasal dari Malaysia, Weihai telah menjalankan hubungan kerjasama dan hubungan persahabatan dengan Miri, Sarawak sejak 2021.

Penulis dimaklumkan, kerjasama berkenaan telah ditandatangani pada 12 Nov 2021 secara dalam talian antara kedua-dua pihak, iaitu Majlis Bandaraya Miri dan Majlis Perbandaran Weihai, disebabkan pandemik COVID-19.

Kerjasama berkenaan membolehkan penganjuran aktiviti dan program yang memanfaatkan kedua pihak dalam bidang ekonomi, perdagangan, sains, teknologi, pendidikan, pelancongan, kebudayaan, sukan dan kesihatan awam.


Miri adalah bandar kedua terbesar di Sarawak yang terkenal dengan kekayaan sumber asli terutamanya petroleum, selain aktiviti pertanian, pembinaan kapal dan pelancongan. Miri juga dipilih sebagai bandar pintar pertama di Sarawak.

Belum ‘Bersua’, Namun Terasa Dekat

Walaupun setakat ini masih belum ada kunjungan rasmi ke antara kedua-dua pihak disebabkan kekangan pandemik COVID-19, namun baik di pihak Majlis Perbandaran Miri, mahupun Weihai, masing-masing berasa ‘dekat’ dan optimis terhadap kerjasama dalam pelbagai aspek semasa dan pada masa akan datang.

“Miri sangat bertuah kerana mempunyai peluang untuk kerjasama rasmi ini, kita berharap lebih banyak lagi bidang yang boleh diterokai dan dipelajari misalnya dalam aspek perikanan mereka bersama bagi manfaat kedua-dua pihak.

“Selain itu, dalam aspek pelancongan kerana kita tahu Weihai sangat terkenal dengan keindahan alam semula jadi meliputi gunung dan pantainya dan jika ada peluang perniagaan antara syarikat China dan syarikat di Miri juga kita amat alu-alukan,” kata Datuk Bandar Miri Adam Yii ketika dihubungi.

Ketika ini juga, Institut Teknologi Riam (RIT) dan Sekolah Menengah Jalan Riam (RRSS) di Miri akan memeterai memorandum persefahaman dengan institut dan sekolah di Weihai dalam aspek akademik seperti pertukaran pelajar dan lanjutan pengajian.


“Kami mahu melawat Malaysia khususnya Miri suatu hari nanti bagi mengeratkan hubungan kedua hala, bukan sahaja dari aspek budaya, malah juga pelancongan dan pendidikan,” kata Setiausaha Parti Pejabat Hal Ehwal Luar Negeri Weihai, Jiao Hua.

Weihai yang ketika ini industri utama seperti peralatan perubatan, pemprosesan makanan, kelengkapan pengangkutan, pakaian dan tekstil, juga adalah kawasan demonstrasi kerjasama ekonomi tempatan di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas China-Korea.

– BERNAMA

Hasnah Jusid merupakan wartawan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang sedang mengikuti Program China Asia Pacific Press Center 2022, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama lima bulan bermula Julai.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)