SALAM DARI BEIJING

FESTIVAL KUIH BULAN ERAT PERPADUAN PELBAGAI NEGARA

13/09/2022 03:26 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Hasnah Jusid

"May we all be blessed with a long life. Though far apart, we can still share the beauty of the moon together," antara petikan puisi karya sasterawan dan penulis terkenal China, Su Shi bertajuk Shuǐdiào Gētóu sewaktu zaman Dinasti Song lebih kurang 1,000 tahun lepas.

Puisi berkenaan, antara lain berkisarkan mengenai pertengahan musim luruh dan keindahan bulan mengambang, cukup terkenal sehingga kini.

Perayaan Pertengahan Musim Luruh atau dikenali sebagai perayaan festival kuih bulan yang jatuh pada hari ke-15 bulan ke lapan pada kalendar Cina, atau 10 Sept tahun ini menyaksikan bulan penuh akan muncul di langit.


Ia melambangkan keluarga yang lengkap dengan satu tradisinya adalah mengagumi bulan, dengan kebiasaanya pada malam perayaan, ahli-ahli keluarga akan berkumpul bersama-sama di bawah bulan mengambang, sambil menikmati kuih bulan dan diterangi tanglung.

Namun kali ini, penulis merasa agak bertuah kerana dapat menyambut perayaan ini buat pertama kalinya bersama lebih 70 rakan wartawan dari pelbagai negara, yang sama-sama mengikuti program China International Press Communication Center 2022 (CIPCC).

Rumah Agam Putera Chun atau Prince Chun Mansion berhampiran kejiranan Shichahai di tengah Beijing menjadi lokasi keluarga besar penulis terdiri daripada wartawan pelbagai benua seperti Asia Pasifik, Timur Tengah, Eurasia dan Afrika meraikan sambutan berkenaan.

Menerusi pelbagai reruai di perkarangan rumah agam tersebut, penulis dapat mengenali dengan lebih dekat budaya, tradisi, kraf tangan China seperti seni teh Cina, ubat-ubatan tradisi, sambil diserikan dengan persembahan tarian dan kebudayaan negara Tembok Besar ini.

Menjelang malam pula, kami mengamati dan menikmati keindahan pemandangan bulan.

Jurucakap Kementerian Luar China Hua Chunying, yang membuat kejutan dengan muncul pada majlis sambutan berkenaan pula, menzahirkan penghargaan dan rasa gembiranya kerana dapat berkongsi perayaan penting itu bersama rakan wartawan pelbagai negara.

“Kita mungkin datang dari tempat yang jauh dari segi geografi, tetapi hati kita dekat. Walaupun berbeza warna kulit, bahasa, budaya dan sejarah, kita berkongsi satu identiti, negara membangun.

“Melihat anda semua tersenyum, berbual, jelas menikmati perhimpunan dan berasa selesa antara satu sama lain membuatkan kami berasa sangat sayang dan rapat antara satu sama lain seperti pertemuan semula keluarga yang sebenar,” kata Hua.


Terdapat banyak versi sejarah berhubung perayaan ini, namun dikatakan ia telah bermula sejak lebih 3,000 tahun yang lalu pada zaman Dinasti Zhou di mana dikatakan kebanyakan maharaja akan memuja bulan ketika musim menuai kerana percaya ia mampu memberi tuaian yang banyak.

Kuih Bulan, Hidangan Utama

Kuih bulan, yang secara tradisinya diperbuat daripada adunan manis yang berintikan kacang merah, biji teratai atau kuning telur masin, menjadi hidangan yang sangat popular ketika meraikan perayaan ini.

Di Malaysia misalnya meskipun perayaan ini disambut masyarakat Cina, namun kuih bulan, yang merupakan hidangan istimewa perayaan ini sejak Dinasti Ming, turut diminati pelbagai bangsa lain.

Ketika ini, semakin banyak syarikat makanan mula membuat kuih bulan halal bagi membolehkan pelanggan beragama Islam untuk menikmatinya.

Ia turut dijadikan buah tangan kepada sanak saudara, ahli keluarga dan sahabat handai .

Rakyat Malaysia, khususnya berbangsa Cina merayakan festival ini dengan kebanyakan rumah akan dihiasi dengan tanglung, mengadakan makan besar sambil berkumpul beramai-ramai bersama ahli keluarga.


Di Kuala Lumpur misalnya, kuil Thean Hou yang dihiasi lampu menjadi lokasi tumpuan utama selain sambutan meriah di Pulau Pinang seperti ratusan tanglung yang dihias diadakan di Georgetown.

Sesungguhnya, walaupun perayaan ini sinonim dengan masyarakat Cina, namun ia telah terbukti mampu mengeratkan silaturahim serta mengekalkan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai bangsa dan agama dan negara.

-- BERNAMA


(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)