SUARA BELIA

HARAPAN BELIA DI DALAM BAJET 2023

04/10/2022 09:33 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr. Diana Abdul Wahab

Belia merupakan agen utama untuk pembangunan negara mampan, perubahan sosial, pertumbuhan ekonomi, dan inovasi teknologi. Komposisi penduduk di Malaysia menunjukkan belia (umur 15 – 40 tahun) mewakili lebih kurang separuh daripada jumlah penduduk. Belia merupakan sumber tenaga penting bagi masyarakat negara ini kerana mereka mempunyai semangat juang dan daya cipta yang tinggi, dengan sahsiah yang mantap mereka ini mampu menjamin pembangunan negara yang lebih kukuh.

Bajet 2022 secara umumnya memfokuskan kesejahteraan rakyat, membina daya tahan perniagaan akibat daripada impak pandemik, dan mewujudkan ekonomi yang makmur dan mampan. Bajet 2022 merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah negara, iaitu sebanyak RM23 billion diperuntukkan bagi menangani COVID-19.

Manfaat dari Bajet 2022 kepada belia termasuklah inisiatif Perantisiswa iaitu pemberian tablet oleh kerajaan kepada pelajar B40, inisiatif e-pemula yang menjadi pemangkin perniagaan atas talian, inisiatif JaminKerja iaitu insentif penggajian dan usaha mengambil pekerja rentan, inisiatif padanan caruman PERKESO kepada pekerja sektor informal, dan pemberian geran pendigitalan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi membantu meningkatkan perniagaan secara dalam talian.

Di bawah Pakej Rangsangan, Program Tunas Usahaawan Belia Bumiputera (TUBE) telah berjaya menghasilkan lebih 5,000 usahawan belia khususnya dari kalangan graduan. Secara rumusan, teras utama Bajet 2022 menyentuh aspek terpenting belia seperti pewujudan pekerjaan, peningkatan kemahiran, latihan dan program pembiayaan usahawan. Namun begitu, adakah peruntukan yang diberikan kepada belia telahpun mencapai matlamatnya? Apakah yang kita boleh cadangkan untuk diperuntukkan kepada belia pada Bajet 2023?

Cadangan pada Bajet 2023

Pertama, boleh dikatakan masalah terbesar di kalangan belia adalah kekurangan peluang pekerjaan. Bukan sekadar masalah pengangguran yang perlu diberi perhatian tetapi juga over-education sebagai contoh, graduan kejuruteran tetapi bekerja di dalam ekonomi gig yang tidak memerlukan kelayakan yang dimiliki oleh graduan tersebut. Pelaburan masa, tenaga, dan kewangan graduan tersebut selama tiga hingga empat tahun di universiti untuk mendapatkan kemahiran itu tidak dapat dimanfaatkan. Ia adalah masalah mismatch (tidak sepadan) yang semakin berleluasa dalam kalangan belia ketika ini.

Di manakah lompong dalam pasaran kerja yang menyebabkan banyak berlaku over-education iaitu graduan mengambil peluang pekerjaan yang disediakan untuk non-graduan, dan peluang non-graduan untuk mendapatkan pekerjaan menjadi semakin tipis. Keadaan ini mencapai ke paras membimbangkan apabila golongan remaja sekolah tidak lagi ingin menyambung pelajaran ke universiti untuk mengelakkan hutang pendidikan dan tiada jaminan pekerjaan yang sesuai. Perkara ini sepatutnya menjadi agenda utama kerajaan untuk mengenalpasti punca mismatch dan usaha berkesan bagi memastikan graduan berkemahiran tinggi ini dapat memainkan peranan mereka untuk pembangunan negara.

Kedua, over-education, isu gaji minimum masih perlu diberi perhatian. Adakah belia kita malas sedangkan ramai belia tempatan yang sanggup bekerja di sector 3D (dirty -kotor, dangerous-bahaya, demeaning-Sukar) di negara luar seperti mengutip sampah di Singapura, memetik buah di Australia, mahupun mencuci tandas di United Kingdom. Kalau kita cuba fahami mengapa mereka sanggup berhijrah ke negara luar untuk bekerja di dalam sektor ini, jawapannya satu iaitu isu gaji.

Jika kita mampu untuk memberikan gaji yang berpatutan kepada belia tempatan, pasti ramai yang sanggup bekerja di sektor pertanian, pembinaan, dan perkhidmatan mencuci. Dalam memutuskan gaji minimum yang wajar, kita juga faham kekangan majikan terutama industri kecil dan sederhana (IKS) itu kos upah merupakan antara kos tertinggi bagi sesebuah perniagaan. Insentif khusus kepada perniagaan kecil dan sederhana dan berfokuskan kepada pengambilan pekerja tempatan haruslah diberi penekanan dalam Bajet 2023.

Kita tidak mahu lambakan pekerja asing atas alasan sukar untuk mencari warga tempatan bagi mengisi kekosongan pekerjaan. Ini merupakan alasan sesetengah majikan yang memanipulasi pekerja asing dengan memberikan gaji yang terlalu rendah. Warga asing mempunyai daya tahan yang tinggi kerana mereka ditindas lebih teruk di negara sendiri, namun begitu perkara ini tidak boleh diteruskan sehingga anak tempatan hilang pekerjaan disebabkan sikap tamak sebahagian majikan. Pekerja asing yang kita patut panggil adalah mereka yang berkemahiran tinggi supaya kemahiran itu mengalir ke dalam negara dan membantu meningkatkan pembangunan, pekerja tempatan juga boleh belajar kemahiran yang dibawa dari negara luar.

Ketiga, melibatkan pemerkasaan TVET (Technical and Vocational Education and Training) dalam pendidikan. Jika kita ingin meningkatkan kemasukan pelaburan asing ke dalam negara, pelabur asing melihat kepada kemahiran dan kecekapan teknikal tenaga kerja tempatan. Kita perlu ada sekumpulan pekerja mahir dan salah satu caranya adalah pemerkasaan TVET.

Untuk mencapai matlamat ini banyak lagi yang harus dilakukan. Antaranya, kita perlu ubah persepsi masyarakat bahawa TVET ini hanya untuk pelajar kelas belakang, jadi persepsi ini perlu diubah sehingga masyarakat faham ada sebahagian yang mempunyai kecenderungan untuk kemahiran teknikal, sebahagian yang lain akademik. Negara kita memerlukan kedua-dua kemahiran ini. Oleh itu adalah diharapkan di dalam Bajet 2023 kerajaan memperkasakan dan mempromosikan TEVT sebagai pilihan pengajian yang diterima umum.

--BERNAMA

Dr. Diana Abdul Wahab merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)