TINTA MINDA

CABARAN MOBILITI PENDUDUK LUAR BANDAR

09/11/2022 09:31 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Munzilah Md Rohani

Pembangunan ekonomi, kesihatan dan kualiti kehidupan masyarakat terutamanya yang tinggal di kawasan luar bandar banyak dibantu oleh akses pengangkutan. Pengangkutan sedia ada menjadi nadi kepada rakyat luar bandar untuk mendapat akses kepada perkhidmatan asas seperti perkhidmatan kesihatan, perkhidmatan pengguna, peluang pekerjaan, pendidikan dan juga perkhidmatan sosial. Tidak terkecuali akses kepada rekreasi dan aktiviti lain sebagai aktiviti harian.

Di Malaysia, sistem pengangkutan yang direka bentuk oleh pihak kerajaan khususnya di kawasan luar bandar adalah bagi memenuhi keperluan khusus rakyat berbilang bangsa merangkumi kanak-kanak, remaja, orang dewasa dan warga emas. Selain itu, ia turut disediakan bagi membantu masyarakat yang berpendapatan terhad, termasuk juga kepada mereka yang mempunyai keupayaan yang terbatas seperti golongan orang kurang upaya (OKU).

Perbezaan corak mobiliti

Walaupun kerajaan telah menetapkan matlamat yang hampir sama dalam penyediaan sistem pengangkutan luar bandar dengan kawasan bandar, kajian yang dijalankan menunjukkan corak mobiliti masyarakat luar bandar ini berbeza dengan mereka yang tinggal dalam kawasan bandar. Tinjauan yang dijalankan menunjukkan terdapat cabaran yang besar oleh penduduk luar bandar kerana mereka terpaksa lebih bergantung kepada penggunaan kenderaan persendirian. Satu daripada faktornya adalah mereka tidak mempunyai pilihan mod pengangkutan yang lain. Ini mungkin disebabkan lokasi kediaman mereka yang agak jauh dari akses pengangkutan awam, malah juga disebabkan oleh perkhidmatan pengangkutan awam yang tidak memenuhi keperluan perjalanan mereka.

Kebergantungan kepada kenderaan persendirian bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat dewasa malah, perkara ini dapat dilihat daripada trend ibu bapa yang membelikan motosikal kepada anak-anak mereka bagi tujuan pengangkutan pergi dan balik sekolah. Mahu naik bas, perkhidmatannya tidak efisyen dan kadangkala tiada akses yang berhampiran, mahu naik van sekolah, kosnya pula tinggi perlu dibayar setiap bulan maka menunggang motosikal lebih mudah dan murah walaupun mereka tahu risikonya. Motosikal ini mungkin ada yang disalah guna untuk kegiatan tidak sihat seperti lumba haram.

Lanjutan daripada cabaran ini, penunggang motosikal dalam kalangan remaja sekolah yang dibelikan oleh keluarga ini sudah tentu belum memiliki malah belum layak memiliki lesen memandu. Tiada lesen bermaksud tidak kompeten dengan cara pemanduan selamat, maka tidak mustahil ini menjadi faktor kemalangan dalam kalangan remaja di luar bandar.

Menggunakan kenderaan sendiri

Cabaran lain yang dihadapi oleh penduduk kawasan luar bandar adalah memiliki atau membeli kenderaan sendiri. Tidak semua masyarakat kampung mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk membolehkan mereka membeli kenderaan yang baharu yang pastinya mempunyai ciri keselamatan yang tinggi. Cara yang paling jimat adalah membeli kenderaan terpakai yang kadangkala usianya melebihi 20 tahun.

Kebanyakan mereka berpendapat yang penting kenderaan tersebut boleh dipandu cukuplah, ciri keselamatan yang lain bukan menjadi keutamaan pertama mereka. Mereka bukan tidak mahu memiliki kenderaan baharu tetapi kemampuan mereka sangat terhad untuk mendapatkannya. Selain itu, sebahagian penduduk luar bandar mempunyai had fizikal atau mobiliti mungkin tidak boleh memandu. Ini menyukarkan pergerakan terutamanya dalam kalangan warga emas.

Kepadatan penduduk

Cabaran mobiliti dalam kawasan luar bandar ini bertambah lagi dengan faktor kepadatan penduduk yang rendah yang menyebabkan jumlah penumpang yang kurang untuk laluan pengangkutan awam. Ini sudah pasti menyebabkan tidak ramai pengendali bas berminat untuk melabur dalam pelaburan pengangkutan dengan menyediakan pengangkutan yang setanding kualiti perkhidmatan dalam kawasan bandar seperti di Lembah Kelang kerana sudah tentu mereka tidak mendapat keuntungan seperti yang mereka harapkan. Kekurangan pelaburan dalam infrastruktur pengangkutan dalam kawasan masyarakat luar bandar ditambah dengan peningkatan penggunaan jalan luar bandar dari semasa ke semasa juga telah menjejaskan keselamatan pengangkutan.

Kesemua cabaran ini perlu ditangani untuk kesejahteraan masyarakat luar bandar. Diharapkan ada sesuatu yang lebih membantu mereka dalam jangka masa pendek dan panjang untuk membantu mobiliti mereka dengan lebih efisyen dan selamat, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi kini yang tidak begitu memberangsangkan.

--BERNAMA

Prof Madya Dr Munzilah Md. Rohani merupakan penyelidik utama Pusat Pemanduan Bijak, FKAAB Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)