SALAM DARI BEIJING

SHANGHAI, PERJALANAN YANG MENCEMASKAN?

16/11/2022 09:16 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Hasnah Jusid


Sejujurnya, penulis berasa agak gusar dan gerun ketika dimaklumkan akan ke Shanghai pada awal November lepas selama lima hari, bersempena Ekspo Import Antarabangsa China yang merupakan pameran perdagangan import terbesar di dunia yang dianjurkan di situ.


Ini kerana awal tahun ini, Shanghai, bukan sahaja pusat ekonomi China yang paling maju, tetapi juga dengan jumlah penduduk hampir 27 juta, dikaitkan dengan penutupan bersasar, ujian mega dan kuarantin yang panjang.


Berbulan-bulan penduduknya terpaksa menjalani kuarantin yang panjang sehinggalah sekatan kuarantin dilonggarkan pada Jun lepas dan situasi COVID-19 di kawasan yang terletak di muara Sungai Yangtze di timur China itu kembali tenang. Banyak laporan media juga melaporkan tentang situasi penduduk di kawasan itu yang berhadapan dengan masalah bekalan makanan sewaktu dikuarantin.


Walaupun hanya perjalanan domestik, tapi sulit dan rumitnya perjalanan dari Beijing ke satu daripada pusat kewangan terkemuka dunia itu, hampir sama ketika penulis mula-mula masuk menembusi China kerana kami perlu memperoleh tiga kod hijau sebelum dibenarkan, iaitu Shanghai Health Code, Beijing Health Kit dan Big Data System.

Untuk rekod, China, negara yang masih belum membuka sempadan antarabangsanya sepenuhnya dan masih mengamalkan polisi sifar COVID, memerlukan penduduknya untuk mengisi kod kesihatan berbeza untuk ke satu-satu wilayah atau bandar besar. Ia tidak sama seperti di Malaysia yang menggunakan MySejahtera secara seragam di seluruh negara.

Ini bermakna sebelum ke Shanghai, penulis perlu memastikan telah mengisi segala butiran kesihatan diri, maklumat alamat dan tempat tinggal dalam aplikasi Suishenma, ialah program kod QR yang dibangunkan oleh Pusat Data Besar Shanghai dan pada masa sama memastikan kod QR pada sistem Beijing Health Kit penulis berwarna hijau untuk dibenarkan berlepas.


SOP Sangat Ketat Di Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE)


Sebaik tiba di Lapangan Terbang Hongqiao Shanghai, kami terus dibawa ke hotel yang terletak di tengah-tengah ibu kota Shanghai, kira-kira 40 minit perjalanan. Kami juga perlu menjalani semi-kuarantin, tidak dibenar meninggalkan hotel selama dua hari sehinggalah keputusan negatif telah diperoleh.


Keperluan "landing test" dilaksanakan dengan ketat apabila semua pelawat dari wilayah dan bandar lain perlu menjalani ujian COVID-19 dalam tempoh 24 jam selepas tiba di Shanghai, manakala keperluan "dua ujian dalam tiga hari" memerlukan semua kakitangan perlu mengambil sekurang-kurangnya dua ujian COVID-19 (sekurang-kurangnya 24 jam) dalam masa tiga hari sebelum memasuki kawasan pameran buat kali pertama.


Oleh itu, tidak mudah untuk mendapatkan akses bagi ke CIIE yang berlangsung bermula 5 hingga 10 Nov di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (Shanghai) NECC itu, malah penulis boleh katakan pengurusan SOP berkaitan COVID-19 tersebut antara yang terketat selepas Kongres Kebangsaan Parti Komunis China (CPC) yang penulis hadiri dan buat liputan pada pertengahan Oktober lepas.



Untuk mengaktifkan sijil pengesahan atau kebenaran bagi menghadiri CIIE, penulis perlu melengkapkan permohonan dan pendaftaran kod QR Shanghai sekurang-kurangnya 48 jam lebih awal, menyediakan maklumat kesihatan yang tepat dan lengkap dalam Sistem Pengumpulan Maklumat Kesihatan CIIE melalui aplikasi atau program mini WeChat dalam 48 jam sebelum memasuki kawasan pameran buat kali pertama.


Begitu juga sejarah perjalanan, bukti vaksinasi dan bukti keputusan ujian negatif COVID-19 perlu dimuat naik dalam aplikasi berkenaan dan jika salah satunya tidak dipenuhi, penulis tidak boleh memasuki ruang pameran.


Di ruang pameran CIIE, mereka yang ingin memasuki pusat pameran perlulah menunjukkan keputusan ujian 24 jam lepas. Seorang rakan penulis, terkandas, tidak dapat memasuki pusat media kerana keputusan ujiannya dalam aplikasi tidak dikemaskini dan menunjukkan 48 jam. Padahal, kami berdua membuat ujian pada waktu yang sama.

“Maaf, hanya keputusan 24 jam yang dibenarkan masuk,” tegas seorang lelaki, yang dikira penulis sebagai penyelia kepada sukarelawan di situ, walaupun penulis menerangkan kepadanya bahawa aplikasi tersebut bermasalah dan keputusan ujian belum dikemaskini.


Terdapat laporan media juga mengatakan sekumpulan wartawan dan peserta ekspo itu menghadapi isu teknikal yang dikenali dalam kalangan penduduk China sebagai "the pop-up”, gangguan yang berlaku apabila kod hijau tidak dapat dijana, mengakibatkan mereka dihalang daripada melakukan perjalanan.


Di dalam ekspo berkenaan juga terdapat beratus-ratus sukarelawan memakai blazer berwarna merah, kebanyakannya penuntut daripada institusi pengajian tinggi di Shanghai yang bertugas memantau pematuhan SOP setiap pengunjung.


“Hai Cik, awak sangat cantik, tapi boleh tak awak pakai pelitup separuh muka, ini peraturan,” kata seorang sukarelawan wanita kepada rakan wartawan penulis dari Syria yang ketika itu sedang berbual-bual dengan penulis dan baru sahaja memuka pelitup mukanya beberapa saat.


Dalam ruang pameran ini juga, hanya pelitup separuh muka jenis N95 atau KN95 yang dibenarkan. Ada satu ketika ketika penulis tidak memakai pelitup muka jenis tersebut kerana tidak selesa, namun seorang pengawal keselamatan datang menghampiri dan memberikan sekeping pelitup muka N95 dan meminta penulis segera menukarnya.



Berjalan-Jalan Di Shanghai


Setelah dua hari di Shanghai, penulis dimaklumkan bahawa kami boleh berjalan-jalan di sekitar kota itu. Namun setiap kali berjalan terutamanya di kawasan tertutup atau pusat beli belah, penulis membayangkan bagaimana jika sekiranya pihak berkuasa mendapati terdapat kes dalam satu-satu bangunan. Mungkinkah penulis akan terkurung bersama yang lain?


Ini kerana terdapat banyak laporan media yang melaporkan perkara sebegitu di China, misalnya media melaporkan Shanghai Disney Resort secara tiba-tiba menutup pintunya pada hari Isnin (31 Okt) ketika pihak berkuasa China mengenakan penutupan segera, memerangkap tetamu yang tidak dibenarkan keluar sehingga mereka diuji negatif untuk COVID-19.


Namun syukur, perkara itu tidak terjadi di Shanghai.


China melaporkan 7,691 jangkitan COVID-19 baharu pada 7 November iaitu 890 daripadanya bergejala dan 6,801 tidak bergejala, menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan pada Selasa. Itu dibandingkan dengan 5,643 kes baharu sehari sebelumnya - 569 kes bergejala dan 5,074 kes tanpa gejala, yang dikira secara berasingan oleh China.


Tidak Dapat Balik Beijing?


“Kamu sudah lihat Beijing Health Kit kamu, kita mungkin tidak boleh balik ke Beijing,” kata Vincent, rakan penulis dari Malaysia pada pagi 6 Nov. Penulis kemudiannya memeriksa dan mendapati terdapat notifikasi seperti berikut:


​​Based on Epidemiological investigations, you may have travelled to risky localities or crossed paths with people associated with COVID-19 infection risks, either in or outside may be exposed to the virus. Beijing's COVID-containment policy requires you to be screened for potential infection.

“If you are not in Beijing, please postpone your trip to Beijing after you meet the requirements for entering or returning to Beijing, such as being free of travel record

to risky counties (including county level cities, districts and banners within the latest 7 days and other COVID-related risks, you can re-obtain your green code on Health Kit”.


Penulis difahamkan, perkara ini mungkin disebabkan terdapat kes COVID-19 di eskpo berkenaan yang menyebabkan tertera notifikasi berkenaan. Namun dengan bantuan penganjur dan pihak pengurusan, kesemua Health Kit kami menjadi normal semula dan boleh melakukan perjalanan pulang ke Beijing pada 7 Nov.

Namun penulis difahamkan terdapat seorang peserta yang mengkuti program sama dengan penulis, terkandas di Shanghai kerana masalah sistem Health Kit, menyebabkan tidak boleh pulang ke Beijing sehingga segala syarat dipenuhi.

Setibanya di lapang terbang di Beijing, penulis terus menjalani ujian COVID-19 dan dikehendaki menjalani kuarantin selama tiga hari dengan petugas kesihatan akan datang ke setiap kediaman kami untuk membuat ujian COVID-19 pada hari terakhir kuarantin.


Kesimpulannya, kod QR hijau yang menentukan tahap status COVID-19 dan rekod perjalanan seseorang, bagaikan 'nyawa' pada kesemua mereka yang berada di China ketika ini.

– BERNAMA

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)