Tidak disangka, setelah kira-kira lima bulan berada di China, negara yang mengamalkan polisi sifar COVID-19 dan membuat pelbagai liputan berkaitan peraturan terketat di dunia ini, kini penulis merasai sendiri pengalaman 'lockdown' di kediaman penulis, walau cuma sehari.
Pada awal pagi 25 Nov, penulis sudah bersiap sedia untuk ke pejabat China International Press Communication Centre (CIPCC) untuk mengambil sijil program China Asia Pacific Press Centre (CAPPC) yang penulis sertai di sini.
Sepatutnya majlis penutupan program ini diadakan secara fizikal, namun kerana kes COVID-19 yang semakin meningkat di China sejak beberapa minggu lepas, maka ia diadakan secara dalam talian dan sijil pula perlu diambil di pejabat CIPCC.
“I can’t get out of my building (Saya tak dapat keluar dari bangunan (kediaman) saya),” mesej teman penulis dari Kemboja dalam kumpulan WeChat yang disertakan bersama gambar seorang lelaki lengkap berpakaian alat pelindung diri (PPE) sedang duduk di luar unit kediamannya. Turut dihantar satu notis pemakluman mengenai kes positif yang dikesan.
Penulis pada ketika itu berfikir bahawa hanya unit atau bangunan rakan penulis yang dikenakan kawalan berkenaan, namun ketika penulis ingin keluar, rupanya situasi sama turut berlaku di bangunan kediaman penulis. Di lobi bangunan terdapat beberapa orang juga yang ingin keluar, tapi tidak dibenarkan. Petugas yang memakai PPE menunggu di pintu keluar, manakala pintu utama dikunci dan diletakkan pita penghadang dari luar.
Kesemua kami yang berada di lobi bangunan buntu kerana ia berlaku secara mengejut dan tiba-tiba. Ia benar-benar tidak dijangka. Seorang penghuni kelihatan berbalah dengan petugas terbabit sambil menunjukkan sesuatu dalam telefon pintarnya, lebih kurang berkaitan dengan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) kawalan COVID-19.
Suara mereka berdua masing-masing mula semakin kuat namun penulis tidak faham intipati perbualan mereka kerana menggunakan bahasa Cina. Namun tidak lama selepas itu, keduanya senyap. Tidak ada apa boleh dilakukan, mahu tidak mahu kami terpaksa akur dengan peraturan tersebut.
“Ini hanya langkah sementara. Seperti anda sedia maklum, setiap tiub ujian PCR ialah untuk 10 individu. Sekarang satu tiub disahkan positif, jadi ujian semula perlu dibuat untuk 10 individu ini. Sekiranya keputusan untuk individu yang duduk di unit ini negatif, tindakan ini (perintah berkurung) akan ditamatkan. Jadi, sama-sama kita doakan,” demikian mesej Pengarah CIPCC, Yu Lei kepada kami menerusi aplikasi WeChat.
Pada Khamis (24 Nov), sebanyak 32,695 jangkitan baharu direkodkan di China, dengan 1,860 direkodkan di Beijing. Banyak kedai dan pusat beli belah ditutup, penuntut di universiti juga turut dikenakan perintah berkurung, manakala aktiviti makan di restoran tidak dibenarkan ketika ini.
Di bawah prinsip sifar-COVID, sesiapa sahaja yang dijangkiti malah kenalan rapat mereka terpaksa diasingkan dalam usaha untuk menghapuskan sebarang penyebaran virus yang sangat berjangkit itu.
Boleh pesan makanan dalam talian
Masing-masing sudah mula berdoa semoga tiada kes positif dalam kalangan kami, terutamanya peserta program CAPPC. Ini kerana kami dijadualkan pulang ke tanah air masing-masing, dan sudah tentu tidak mahu terkandas di Beijing.
Notis dipaparkan pula bagaimanapun menyatakan kawalan sementara tersebut bermula pada 25 November, namun tidak dinyatakan sampai bila. Penulis sendiri agak cuak, bimbang sekiranya berlarutan sehingga seminggu dua seperti sering dipaparkan laporan media.
Namun, ia tidaklah seteruk seperti disangka. Pihak pengurusan kediaman turut menyediakan sarapan pagi yang boleh diambil di lobi bangunan. Makanan pula boleh dipesan secara dalam talian di mana pengurusan menetapkan tempoh 11.30 pagi hingga 1.30 petang untuk memesan makan tengah hari, dan 5.30 petang hingga 7.30 petang untuk makan malam.
Setelah pesanan makanan sampai di pagar utama, penulis tidak boleh keluar mengambilnya. Pengawal keselamatan akan mengumpulkan kesemua makanan sebelum dihantar ke lobi. Hampir 40 minit juga penulis menunggu makanan sebelum boleh diambil.
Sampah pula boleh diletakkan di luar pintu kediaman pada 5 petang hingga 6 petang dan petugas pembersihan akan mengutipnya sekali sehari. Menjelang petang, pintu kediaman penulis diketuk dan petugas kesihatan meminta penulis menyertai sebuah kumpulan WeChat bagi bangunan kediaman penulis.
Penulis diberikan ujian kit kendiri COVID-19 dan perlu memuat naik keputusan dalam kumpulan WeChat tersebut. Alhamdulillah keputusan semua penghuni dalam bangunan kediaman penulis negatif.
Sokongan rakan pengubat duka
Bukan semua bangunan di sekitar kediaman penulis dikenakan kawalan berkenaan. Disebabkan itu rakan-rakan penulis, seramai empat orang yang tidak dikenakan kawalan berkenaan datang menyerahkan sijil tamat latihan kepada penulis, namun hanya boleh bertemu dari jauh di lobi.
Walaupun baru sehari dikurung, namun keterujaan bertemu mereka tidak dapat digambarkan. Apatah lagi kami semua akan berpisah tidak lama lagi.
“Kami santa claus yang datang memberikan hadiah,” seloroh rakan penulis dari Indonesia, Marshalina Gitafadilla Munir.
Hanya beberapa minit selepas mereka balik daripada menyerahkan sijil berkenaan, seorang petugas yang mengenakan PPE keluar daripada lif dan membuat sanitasi di sekitar lobi. Petugas berkenaan kemudiannya bercakap sesuatu dengan rakannya dan pengawal keselamatan.
“Ya, kita bebas, kita sudah bebas, saya faham mereka cakap apa,” kata rakan penulis berbangsa Cina dari Malaysia, Vincent Cheong. Penulis bagaikan tidak percaya namun benar, tidak lama selepas itu, petugas memakai PPE berkenaan kemudiannya mengemas peralatan dan mejanya, memberitahu kami bahawa kami telah bebas dan kemudiannya berlalu pergi.
Alhamdulillah…akhirnya penulis dan rakan-rakan menerima berita yang di tunggu-tunggu dan kami raikan dengan sorakan gembira.
– BERNAMA
Hasnah Jusid merupakan wartawan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang sedang mengikuti Program China Asia Pacific Press Center 2022, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama lima bulan bermula Julai.