TINTA MINDA

SOKONGAN PENGGUNA DAN INDUSTRI, MEMBELA NASIB PETANI

05/12/2022 09:20 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Siti Nurathirah Abu Hassan

Pertanian merupakan sektor tertua dan terpenting di Malaysia yang membantu dalam pertumbuhan ekonomi negara. Meskipun keluasan tanaman pertanian semakin berkurang kerana kerancakkan arus pemodenan dan pembangunan teknologi, hasil pengeluaran tanaman seperti buah-buahan masih menunjukkan nilai positif. Menerusi laporan Jabatan Pertanian, pada tahun 2021, hasil pengeluaran buah-buahan di Malaysia sebanyak 1,568,167 tan matrik berbanding tahun 2017 iaitu 1,492,601 tan matrik. Peningkatan hasil pengeluaran sebanyak 75,566 tan matrik ini menunjukkan buah-buahan juga adalah antara sub pertanian penting yang perlu diberi perhatian dan sokongan.

Daripada aspek pasaran, terdapat peningkatan penggunaan jualan buah-buahan. Gaya hidup dan citarasa pengguna telah berubah dengan menekankan pemilihan makanan sihat. Menurut data Jabatan Pertanian, penggunaan per kapita buah pada 2020 adalah 61.13 kilogram seorang dengan nilai keseluruhan kadar sara diri (SSR) buah Malaysia 77.81 peratus pada tahun yang sama. Perubahan dan penerimaan pengguna selari dengan penawaran buah-buahan dipasaran. Contohnya, buah potong atau proses minimum (MP) yang kini dilihat semakin rancak dijual sama ada di pasar, pusat membeli belah, gerai, kantin mahupun restoran-restoran biasa atau berkelas tinggi. Perubahan ini menjadi langkah awal membantu dan memberi galakan kepada petani, penjual dan industri untuk menanam serta menghasilkan pelbagai jenis produk berkualiti serta menjamin kesihatan pengguna.

Pelbagaikan produk berasaskan buah-buahan tempatan

Terdapat beberapa jenis buah tempatan yang direkodkan mempunyai SSR yang tinggi melebihi 100 peratus. Ia menunjukkan hasil pengeluaran dapat memenuhi keperluan pasaran domestik. Antara buah yang menunjukkan kadar SSR yang tinggi pada 2020 adalah durian, pisang, nanas, tembikai, cempedak, belimbing, betik dan jagung. Kadar SSR yang tinggi dapat menjamin kestabilan bekalan buah di dalam negara selain dapat mengurangkan kebergantungan terhadap import buah. Namun, terdapat buah yang mencatatkan kadar kebergantungan import (IDR) yang tinggi seperti manga iaitu 86.2 peratus, tertinggi berbanding jenis buah yang lain seperti kelapa dan manggis, menurut Jabatan Pertanian.

Jika dilihat dalam konteks pasaran Malaysia, pelbagai produk telah dihasilkan menggunakan buah mangga sama ada produk siap, separa siap atau kegunaan segar. Antara produk siap yang mudah didapati adalah produk konfeksi seperti gula-gula, jeli, coklat berperisa mangga dan produk minuman. Selain itu, mangga juga digunakan sebagai bahan asas dalam pastri, kek dan lain-lain. Kegunaan segar juga juga dipelbagaikan dalam makanan dan minuman seperti jeruk mangga, kerabu mangga, dan dijadikan air seperti mango shake yang sangat popular dalam kalangan pengguna tempatan terutama ketika musim panas.

Penghasilan produk-produk ini telah meningkatkan nilai dan permintaan pasaran buah mangga, namun penawaran daripada petani tempatan sangat terhad dan tidak dapat menampung permintaan. Bagi memenuhi keperluan, ia terpaksa diimport dari negara luar seperti Thailand. Oleh kerana populariti dan saiz pasaran yang besar ia telah menjadikan buah mangga sebagai asas daya tarikan yang tinggi dalam penghasilan di Malaysia, walaupun ia bukan dikeluarkan oleh petani tempatan.

Bagi membantu menyelamatkan pendapatan petani, kepelbagaian produk berasaskan buah-buahan harus diberi perhatian melalui penyelidikan dan pembangunan oleh industri dan pihak-pihak tertentu. Antaranya ialah syarikat swasta dan agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Terdapat beberapa produk yang dihasilkan berasaskan buah-buahan tempatan sama ada buah premium atau buah nadir yang dikeluarkan oleh MARDI menggunakan teknologi tertentu, antaranya produk minuman seperti jus tembikai yang penuh dengan khasiat likopen dan air berkultur berperisa kuini.

Antara produk yang telah dihasilkan oleh MARDI adalah serbuk nanas untuk penghasilan jus, jeli, jem, aiskrim, dan yogurt. Selain itu, bagi mengurangkan masalah pencemaran dan lambakan sisa buangan, terdapat juga produk seperti serbuk kulit dan kernel kuini sebagai bioingredient untuk penambah nutrisi dan penghasilan produk snek seperti halwa jeruk kulit tembikai yang mempunyai potensi untuk dikomersialkan. Ia dapat membantu pihak industri sama ada industri kecil dan sederhana atau syarikat besar dalam mempelbagaikan produk berasaskan buah-buahan tempatan.

Usaha ini juga dapat menarik minat rakyat Malaysia untuk membuat pilihan belian dalam pasaran. Pada masa sama, perluasan pasaran buah tempatan dapat dilakukan. Penghasilan produk ini juga harus mengikut kehendak dan cita rasa pengguna dan dipasarkan melalui mekanisma pemasaran yang terancang dengan penggunaan teknologi terkini. Sekiranya, langkah ini dapat dilakukan, tidak hairan jika selepas ini kita dapat lihat ada produk-produk seperti tembikai shake, sirap rambutan, aiskrim berperisa betik dan sebagainya dijual dan disenaraikan dalam kebanyakkan menu di restoran tempatan, seterusnya menjadi pilihan kegemaran rakyat Malaysia. Oleh itu, inovasi dalam pembangunan dan pemasaran produk berasaskan buah-buahan tempatan sangat penting. Selain dapat meningkatkan nilai permintaan industri, ia juga dapat membantu petani meningkatkan pendapatan.

Sokongan pengguna

Selain daripada langkah penghasilan kepelbagaian produk berasaskan buah dilakukan oleh industri, sokongan daripada pengguna juga diperlukan bagi merealisasikan hasrat meningkatkan penggunaan buah–buahan tempatan dan membela petani. Mengikut data yang direkodkan penggunaan buah bagi 2020 adalah 46 peratus meningkat berbanding tahun 2016 iaitu 42 peratus sahaja. Data ini memberi maklumat bahawa terdapat perubahan cita rasa pengguna iaitu pengguna mula sedar akan kehadiran dan keperluan buah-buahan tempatan dalam menu makanan seharian.

Perubahan ini juga boleh dianggap sebagai sokongan oleh pengguna. Peningkatan ini turut menyumbang kepada sektor pertanian negara dalam membantu golongan petani. Dengan adanya produk berasaskan buah-buahan tempatan di dalam pasaran, pengguna di Malaysia dapat memberi sokongan dengan cara membeli dan memberi maklum balas membina untuk menambah baik produk serta menguar-uarkannya kepada rakan, keluarga dan saudara-mara sebagai usaha membantu golongan sasar. Ia dapat memberikan keyakinan kepada industri untuk menghasilkan lebih banyak produk berasaskan buah tempatan. Pada masa sama, nasib petani dapat dibantu dan sektor tanaman negara akan melangkah ke satu fasa yang baharu seterusnya dapat menyumbang kepada ekonomi negara.

Pembukaan pasaran baharu

Pembukaan pasaran baharu bagi buah-buahan tempatan bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan, apa lagi untuk menembusi pasaran antarabangsa yang banyak persaingan dan perlu mematuhi undang-undang serta peraturan ditetapkan. Dengan arus globalisasi dan teknologi yang pantas kini, kebanyakan urusan dan komunikasi dilakukan di hujung jari iaitu dapat memudahkan pencarian pasaran baharu. Usaha, masa dan wang perlu dilaburkan bagi membolehkan peluang dibuka untuk pasaran buah-buahan tempatan atau tropika ke peringkat global.

Usaha ini telah dilakukan oleh pihak kerajaan di bawah agensi-agensi tertentu bersama syarikat swasta untuk membawa dan memperkenalkan buah tempatan ke peringkat antarabangsa. Antara buah-buahan tempatan yang dapat dipasarkan di luar negara ialah durian, nanas, tembikai dan belimbing, ia mempunyai kadar SSR yang tinggi. Ia telah menembusi pasaran di China, Singapore, Hong Kong, Jepun, Arab Saudi, UAE dan sebagainya. Ini memberi galakan kepada petani dan pengeksport untuk terus berusaha dan membekalkan buah yang berkualiti mengikut syarat keperluan dan kehendak pengguna di negara tersebut.

Bagi meneruskan pembukaan pasaran baharu, pelbagai langkah perlu dilakukan antaranya keperluan fitosanitasi atau kebenaran untuk mengeksport ke negara-negara tertentu. Keperluan ini perlu dilakukan dan dipatuhi jika mahu memasuki pasaran mereka. Selain itu, penyelidikan dan pembangunan buah juga perlu dilakukan antaranya untuk mengekalkan kesegaran buah, suhu buah bagi mengelak buah daripada terkena penyakit dan serangan serangga perosak, serta peratusan penggunaan bahan kimia bagi baja dan racun. Seiring dengan perubahan ekonomi negara-negara jiran yang telah berkembang maju dalam sektor pertanian dan pengeksportan buah ini, Malaysia tidak boleh ketinggalan terlalu jauh daripada mereka.

Oleh itu, sebagai negara yang mempunyai hasil pertanian yang banyak, Malaysia perlu lebih kreatif, inovatif dan bersedia untuk menerima perubahan penggunaan teknologi terutama dalam bidang pertanian dan urusan jual beli antarabangsa. Selain daripada keinginan untuk meluaskan pasaran buah untuk meningkatkan ekonomi negara, perkhidmatan dan hasil buah yang berkualiti juga perlu dijaga, penggunaan sistem terkini dan mesra pelanggan juga penting dalam menjaga imej dan nama baik negara untuk memberi keyakinan kepada negara pengimport.

Selain itu, kerajaan juga memainkan peranan penting dalam menjaga hubungan antara negara. Hubungan yang baik antara kedua buah negara akan menjalinkan hubungan diplomatik seterusnya memberi kebaikan kepada sektor ekonomi negara terutamanya dalam bidang pertanian. Di samping itu, kerajaan juga perlu mencari peluang untuk menembusi pasaran baharu seperti mengadakan hubungan kerjasama antara negara sama ada secara bilateral atau multilateral. Kerjasama ini dapat memberi kebaikkan kepada pengeksport tempatan seperti mengecualian cukai, pengurangan cukai, pertukaran teknologi dan sebagainya.

Jelaslah bahawa sokongan daripada pengguna mencipta penawaran kepada industri untuk menghasilkan dan mengeluarkan pelbagai produk berasaskan buah-buahan tempatan dan disokong oleh kerajaan dengan membuka ruang dan peluang demi membela nasib petani negara.

--BERNAMA

Siti Nurathirah Abu Hassan Merupakan Pegawai Penyelidik Di Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)