Sejak tiba di Beijing pada penghujung Julai lepas, penulis sering melihat bangunan dengan bumbung tiga tingkat berbentuk seperti kon yang menghiasi pelbagai tempat dan dinding-dinding iklan sekitar ibu kota.
Rasa ingin tahu membawa penulis untuk bertanya dengan rakan-rakan berasal dari negara ini, selain mencari pelbagai maklumat berkaitan, sehinggalah penulis menjejakkan kaki sendiri ke lokasi yang diiktiraf Tapak Warisan Dunia UNESCO ini - Temple of Heaven.
Hanya kira-kira 20 minit perjalanan menggunakan kenderaan dari tengah-tengah kota Beijing, dan 100 meter jaraknya dari stesen kereta api bawah tanah Tianqiao, Temple of Heaven, iaitu kuil Taoisme, dibina daripada 1406 hingga 1420 semasa pemerintahan Maharaja Yongle Dinasti Ming.
Maharaja Yongle jugalah bertanggungjawab untuk pembinaan Kota Larangan (Forbidden City) di Beijing, yang jaraknya kira-kira lima kilometer dari Temple of Heaven.
Terdapat beberapa kuil yang terletak dalam kompleks ini, namun untuk menuju ke bangunan utama iaitu Hall of Prayer for Good Harvest, penulis perlu berjalan kaki kira-kira 800 meter melalui taman rekreasi yang dibarisi dengan pokok-pokok ratusan tahun yang terdapat dalam kompleks tersebut.
Walaupun dalam suhu mencecah 5 darjah celcius dan ketika prosedur operasi standard ketat berkaitan COVID-19 dikenakan ketika itu, kelihatan orang ramai termasuk warga emas melakukan tai-chi selain bersiar-siar bersama keluarga.
Sejarah temple of heaven
Temple of Heaven pernah menjadi tempat maharaja dinasti Ming dan Qing menyembah Tuhan Syurga dan mempersembahkan pengorbanan serta berdoa untuk mendapatkan tuaian yang banyak dan hujan.
Mengikut sejarah, Maharaja China yang dianggap sebagai Anak Syurga oleh rakyatnya akan memimpin upacara korban dua kali setahun bagi memohon hasil tuaian yang baik.
Susun atur keseluruhan dan bangunan yang terdapat dalam kompleks kuil ini melambangkan hubungan antara bumi dan syurga - dunia manusia dan dunia Tuhan - yang berdiri di tengah-tengah kosmogoni China, selain peranan istimewa yang dimainkan oleh maharaja dalam hubungan itu.
Keluasan empat kali ganda lebih besar dari kota larangan
Sangkaan penulis, kompleks kuil ini kecil. Namun rupanya tidak kerana ia empat kali ganda lebih besar daripada kota larangan. Keluasan sebenar kompleks Temple of Heaven (termasuk semua kuil, dewan dan taman) adalah 2,700,00 kaki persegi.
Musim luruh dengan cuaca sejuk mengurangkan rasa penat berjalan-jalan di sekitar komplek tersebut yang meliputi tiga bahagian utama iaitu The Hall of Prayer for Good Harvests, The Imperial Vault of Heaven dan The Circular Mound Altar.
Antara yang paling menarik perhatian ialah struktur berbentuk bulatan tiga tingkat dibina sepenuhnya daripada kayu dengan bumbung berwarna biru yang sering mencuri tumpuan penulis selama ini. Ia dinamakan Hall of Prayer for Good Harvest.
Struktur bangunan ini bagaikan terapung kerana ia terletak di atas struktur marmar setinggi enam meter, sehingga menimbulkan ilusi ia bagaikan begitu hampir dengan langit biru.
Orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar di sini, ada yang menggunakan telefon pintar, membawa jurugambar, berswafoto dan merakam video - semuanya demi mengabadikan kenangan di kuil yang tercantik di China ini.
“Temple of Heaven merupakan kuil tercantik yang pernah saya lihat,” kata Varvara, rakan penulis dari Armenia yang pernah berkunjung ke kuil berkenaan.
China serius pulihara tempat bersejarah
Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian penulis sepanjang berada di China, penulis mendapati kerajaan sangat mengambil berat dan menjaga bangunan-bangunan bersejarah yang terdapat di negara ini.
Sepanjang 10 tahun yang lalu, China telah mencapai objektifnya untuk mengekalkan warisan budayanya, menduduki tempat kedua di dunia dari segi bilangan tapak warisan global yang diiktiraf oleh UNESCO.
Menurut portal China.org, sehingga kini China mempunyai 50 tapak warisan dunia yang diiktiraf oleh UNESCO yang terdiri daripada 35 adalah budaya, tapak warisan semula jadi (11) tapak budaya dan semula jadi (empat).
China menyertai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perlindungan Warisan Budaya dan Semula Jadi Dunia pada tahun 1985 untuk meningkatkan usaha dalam memelihara warisannya mengikut piawaian global selain menjalankan projek penyelidikan kebangsaan bagi mengesan asal usul tamadun China.
Usaha negara tembok besar ini wajar dicontohi Malaysia yang turut memiliki banyak tempat bersejarah seperti Tapak Arkeologi Sungai Batu di Merbok atau dikenali sebagai tamadun Kedah Tua di Sungai Petani, Kedah yang diiktiraf tapak tamadun manusia tertua di Asia Tenggara.
Penulis berpendapat usaha wajar dilakukan bagi membolehkan tapak arkeologi yang menyimpan sejarah ribuan tahun lepas itu agar dapat diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
– BERNAMA
Hasnah Jusid merupakan wartawan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang sedang mengikuti Program China Asia Pacific Press Center 2022, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama lima bulan bermula Julai.