NOTA KAMPUS

PENGLIBATAN MAHASISWA DALAM SUKAN MAMPU LAHIRKAN GRADUAN DINAMIK DAN HOLISTIK

02/02/2023 10:02 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Farhawahidah Ahmad Puad

Dasar Sukan Negara (DSN) menggariskan dua peranan utama Institusi Pengajian Tinggi (IPT) iaitu untuk menggalakkan pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti sukan secara aktif dan menyediakan peluang belajar kepada atlet sukan di IPT. Kedua-dua peranan ini akan memacu ke arah penyelarasan dan keseimbangan dalam prestasi akademik dan pencapaian dalam bidang sukan. Pewujudan peranan ini mampu menangkis andaian yang mengatakan pencapaian sukan atlet akan “berkubur” sebaik sahaja melanjutkan pengajian ke IPT.

Bagi merealisasikan Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (DPSIPT) yang menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus atlet negara lahir daripada atlet IPT, pelbagai langkah dan strategi telah dijalankan di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. Peranan secara khusus juga telah dijalankan dalam memastikan pelajar IPT yang bergiat aktif dalam bidang sukan mendapat kebajikan dan manfaat daripada penyertaan ini tanpa mengabaikan pembangunan akademik.

Lahirkan generasi profesional

Penglibatan sukan di IPT adalah penting kerana dapat melahirkan generasi profesional yang dapat memberi sumbangan besar kepada pembangunan sahsiah negara. Selain itu, ia juga dapat melahirkan generasi yang berfikiran matang, mempunyai asas pendidikan cemerlang serta daya tahan fizikal dan mental yang kuat. IPT sebagai institusi pendidikan tertinggi semestinya menjadi tempat yang paling sesuai untuk menggilap kemahiran insaniah pelajar. Pelajar IPT perlu mempunyai keinginan dan keupayaan untuk melibatkan diri ke arah pembentukan modal insan dengan minda kelas pertama.

Melalui pemerhatian dan perkongsian yang dijalankan sempena Program Mobiliti Sukan Antarabangsa UTHM 2019 ke Universitas Negeri Jakarta (UNJ), konsep pendidikan kokurikulum dapat diperjelaskan sebagai suatu program pendidikan yang melibatkan aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang mempunyai elemen-elemen pengetahuan, kemahiran norma, nilai, unsur, kebudayaan dan kepercayaan yang membantu dalam peningkatan kepada perkembangan individu secara keseluruhan daripada aspek jasmani, rohani, mental dan emosi.

UNJ merupakan Institusi Pendidikan Tinggi di Jakarta yang menghasilkan guru-guru terbaik di Indonesia. UNJ mempunyai enam fakulti di Kampus A iaitu Fakultas Ilmu Pendidikan, Fakultas Bahasa dan Seni, Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam, Fakultas Ilmu Sosial, Fakultas Teknik dan Fakultas Ekonomi. Kampus B pula hanya menempatkan satu fakulti sahaja iaitu Fakultas Ilmu Olahraga. Fakultas tersebut menawarkan lima bidang pengajian iaitu Pendidikan Jasmani, Pendidikan Kepelatihan Olahraga, Ilmu Olahraga, Olahraga Rekreasi dan Kepelatihan Kecabangan Olahraga. Fakultas tersebut menjadi penyumbang kepada peningkatan prestasi akademik mahupun sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Di UNJ, pelajar perlu menghadiri kuliah pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 7 pagi hingga 3 petang. Seterusnya, mereka perlu menjalani latihan sukan asas atau aktiviti persatuan bermula dari jam 4 petang hingga 7 malam. Bagi atlet universiti pula, sesi latihan atau perlawanan persahabatan bermula pada jam 7 hingga 9 malam mengikut sukan masing-masing di bawah bimbingan jurulatih. Sebarang kelewatan hadir ke kuliah atau latihan akan dikenakan denda sebagaimana ia melatih pelajar untuk menguruskan masa dengan baik. Bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Pengurusan masa yang baik ini juga menunjukkan mereka lebih menghargai setiap peluang yang ada untuk melatih diri dan merancang jadual latihan termasuk pergerakan. Ini kerana kelewatan menghadiri perlawanan boleh menyebabkan pasukan tersingkir daripada perlawanan.

Tingkat keupayaan mengurus dan kepimpinan

Rohanida Ab. Manaf dan Mohd Sofian Omar Fauzee (2002) menyatakan bahawa aktiviti kokurikulum dapat memberikan latihan awal daripada segi kepimpinan, sahsiah dan kemasyarakatan dalam kalangan pelajar. Kepimpinan juga dapat dilatih melalui aktiviti pakaian seragam, persatuan, kelab dan sukan. Mohd. Hamidi Abdul Hamid (2002) pula menyatakan ilmu memimpin dan mengurus bukannya seperti orientasi ilmu yang kebanyakannya berkisar di dalam kelas dan kertas-kertas ujian, sebaliknya perlu melalui satu pendidikan yang mesti didalami dan dirasai sendiri oleh pelajar tersebut. Ini kerana, memimpin dan mengurus memerlukan mereka berhadapan dengan manusia. Justeru, apabila pelajar diberikan ruang untuk melibatkan diri dalam pengurusan dan penyertaan aktiviti sukan, kelab, atau persatuan, maka secara serentak mereka perlu memimpin dan menguruskan diri dan ahli-ahlinya (manusia) yang memerlukan kebijaksanaan, komunikasi, interaksi, teknik dan strategi yang tertentu.

Mengimbas kembali sesi perkongsian bersama para pelajar di UNJ, mereka mengadakan sesi latihan bersama masyarakat sekitar atau lebih sinonim dengan program pemindahan ilmu pada setiap hari Sabtu. Ia merupakan usaha dan inisiatif bagi memupuk hubungan yang baik antara universiti dan masyarakat. Platform ini juga mampu membuka mata dan minda anak-anak muda yang mana sukan dan pendidikan boleh dikuasai ketika melanjutkan pengajian di menara gading. Seterusnya, ia mampu mengubah nasib dan kehidupan mereka pada masa hadapan. Hal ini kerana majoriti pelajar yang menuntut di UNJ terutamanya di Fakultas Ilmu Olahraga adalah daripada keluarga yang berpendapatan rendah. Kepadatan rakyat di Indonesia juga menuntut mereka untuk lebih berusaha dengan menggunakan kelebihan dan peluang yang ada pada diri mereka. Jadi, melalui bakat dalam sukan, ekonomi diri dan keluarga dapat dipertingkatkan dengan mempamerkan pencapaian yang terbaik dalam sukan.

Banyak elemen positif yang dapat kita lihat berdasarkan kepada ulasan yang telah diberikan dan adalah menjadi keutamaan bagi setiap pelajar mengambil peluang melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh universiti. Hujahan juga membuktikan bahawa penglibatan dalam sukan sama sekali tidak mengganggu akademik pelajar kerana elemen pengurusan masa yang betul diterapkan sepanjang terlibat dalam aktiviti. Tidak dapat dinafikan, IPT merupakan platform dalam membentuk dan menggilap kemahiran insaniah pelajar.

Justeru, kepelbagaian program mestilah dilaksanakan secara menyeluruh dengan penglibatan semua pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan pelajar. Pelajar perlu mempunyai keinginan dan keupayaan untuk melibatkan diri dengan aktiviti sebagai proses pembentukan modal insan dengan minda kelas pertama. Selain itu, IPT merupakan penjana sumber manusia yang bukan sahaja berpengetahuan malah memiliki ciri-ciri positif yang tinggi. Sememangnya akademik dan kokurikulum ialah dua perkara yang berbeza namun keseimbangannya mampu memberikan impak yang signifikan. Tidak cukup hanya dengan berbekal segulung ijazah mampu meyakinkan majikan atau industri. Sudah pasti, individu yang mempunyai tahap penguasaan yang tinggi dalam kemahiran tertentu mempunyai kelebihan yang tinggi untuk dipilih. Oleh yang demikian, kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum perlulah seimbang ke arah melahirkan graduan yang dinamik dan holistik.

--BERNAMA

Farhawahidah Ahmad Puad ialah Pegawai Belia dan Sukan Kanan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)