Apabila bercakap tentang halal, masyarakat pada hari ini amat peka dan berhati-hati tentang produk makanan yang mereka beli. Ini perkembangan yang sangat positif kepada seluruh umat Islam. Kesedaran ini dilihat semakin bertambah terutama dalam kalangan masyarakat bandar dan golongan terpelajar yang mendapat input secara langsung dan tidak langsung.
Usaha berterusan yang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Negeri dan institut halal di institusi pengajian tinggi turut menyumbang kepada kesedaran pengguna terhadap pemilihan produk halal. Langkah ini turut dibantu oleh pihak industri melalui aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan di lapangan untuk memberi penerangan dan kesedaran produk-produk halal yang dijual oleh mereka.
Pengesahan halal untuk produk selain makanan
Secara sedarnya kita melihat isu halal hanya berlegar kepada produk makanan dan minuman. Isu produk itu halal atau tidak boleh diatasi dengan membuat pemeriksaan logo halal terhadap sesuatu produk. Masyarakat kini sudah celik tentang penggunaan logo halal yang terbukti satu kaedah pantas dalam memberi keyakinan kepada pengguna. Namun, kita mungkin terlepas pandang terhadap produk selain makanan yang tidak kurang pentingnya kepada kelestarian hidup kita pada masa kini.
Produk industri kimia adalah contoh produk yang berada di sekitar kita tetapi kurang disedari. Antara contoh sektor terbesar dalam industri kimia adalah datang dari sektor agrokimia, farmaseutikal, kosmetik dan oleokimia. Persoalannya, adakah keluaran produk dari sektor ini perlu pengesahan halal? Ya. Sudah tentu pengesahan halal diperlukan sekiranya melibatkan penggunaan bahan-bahan terlarang dan haram di sisi syarak.
Bagi mereka yang bekerja dalam industri makanan halal, nama Eksekutif Halal tidak asing lagi sebagai orang yang bertanggungjawab dalam urusan dan hal ehwal persijilan halal bagi produk-produk yang dikeluarkan oleh kilang mereka. Namun tahukah kita, satu lagi peranan penting yang dimainkan oleh juruanalisis kimia atau penganalisis kimia yang bertanggungjawab dalam kerja-kerja di belakang tabir adalah membuat pengesahan keselamatan produk melalui analisis kimia di makmal.
Tanggungjawab dan cabaran penganalisis kimia
Penganalisis kimia tidak terlalu dikenali kerana bekerja dalam ruang lingkup makmal tertutup yang hanya boleh di akses oleh mereka yang dibenarkan saja. Peranan mereka sangat kritikal dan memerlukan pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam pengendalian alat berteknologi tinggi. Selain itu mereka juga terlibat dalam memberi keterangan di mahkamah sekiranya laporan makmal yang dikeluarkan melibatkan kepentingan umum.
Antara contoh produk yang selalu menimbulkan isu adalah produk kosmetik yang diragui kandungannya. Produk ini kebanyakannya datang dari luar negara dan sudah tentu harganya juga mahal. Walaupun kita boleh memeriksa label dan syarikat yang mengeluarkannya memenuhi syarat ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan seperti Bahagian Regulatori Farmasi Negara di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, namun ada juga produk ini yang terlepas di pasaran dan penjualannya tidak ditapis serta mengandungi bahan terlarang termasuk racun berjadual dan sumber haram daripada babi.
Di sinilah peranan penganalisis kimia, membantu membuat pemeriksaan susulan terhadap produk yang dijual di pasaran yang diragui akan keselamatannya. Di negara kita, terdapat beberapa institusi halal yang menawarkan perkhidmatan analisis halal termasuklah Institut Fatwa dan Halal (IFFAH) yang terletak di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Penganalisis kimia sering berdepan dengan cabaran kerana kaedah dan proses pemisahan bahan-bahan asal dari produk siap berasaskan kimia ini sangat sukar dan adakalanya mengambil masa yang lama di dalam makmal. Berlawanan dengan sifat seorang saintis yang sentiasa mencipta bahan baru untuk sesuatu produk, penganalisis kimia perlu menghuraikan semula ciptaan mereka kepada bentuk yang asal agar penentuan produk itu halal dan selamat atau sebaliknya.
Di sinilah kemahiran dan keupayaan seseorang penganalisis kimia diuji dan laporan makmal yang dikeluarkan perlulah tepat agar tidak ada pihak yang teraniaya. Kerjaya dalam bidang ini sememangnya menyeronokkan kerana boleh membantu memastikan masyarakat di luar sana mendapat keyakinan kedua selepas meyakini logo halal yang diperkenalkan oleh kerajaan.
-- BERNAMA
ChM Dzulfadli Rosli ialah Pegawai Penyelidik Kanan Institut Fatwa dan Halal (IFFAH), Universiti Sains Islam Malaysia