TINTA MINDA

COPY - MENGURUS JENAZAH DI BUMI ASING

11/04/2023 01:27 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dato' Ikbal Salam

Sebagaimana dirancang, tiba masanya untuk membawa warga kerja firma saya menghilangkan letih bekerja dengan menikmati musim sejuk di Korea. Kami tiba di Seoul dalam keadaan cuaca negatif lima. Bagi anak-anak muda yang pertama kali  merasakan sejuknya salji, tentu kesejukan itu bagai menggigit-gigit hingga ke saraf yang paling dalam.

Aktiviti lawatan hari pertama bermula dengan melawat kilang kimchi, walaupun telah melawatnya berulang kali, tetapi tetap mengujakan. Kali ini saya bersama hampir 50 orang anak didik yang sebahagiannya telah lama bersama. Setelah melawat kilang tersebut dan seusai menjamu selera disebuah restoran Muslim, kami dibawa ke Gyeongbok Palace, sebuah istana lama untuk menyaksikan upacara pertukaran pengawal keselamatan yang dipenuhi budaya tradisi negara tersebut.

 

Permulaan detik-detik cemas

Disinilah segalanya bermula bila takdir Allah menentukan seorang daripada ahli kumpulan kami tiba-tiba pitam dan diserang sakit jantung di sisi tangga istana tersebut. Bagi manfaat pembaca adalah penting untuk kita mengetahui alamat dan nombor telefon kedutaan negara kita dan memiliki takaful perjalanan apabila pergi ke sesebuah negara dalam jumlah peserta rombongan yang ramai.

Awalnya kami beranggapan ianya hanyalah sekadar pitam biasa akibat cuaca sejuk namun setiap minit beredar menyaksikan keadaan beliau menjadi lebih kritikal. Dalam kesejukan tiupan angin kami melihat di depan mata bagaimana pasukan perubatan kecemasan berusaha gigih untuk mengembalikan degupan jantung beliau. Apabila keadaan sedikit stabil, pasukan perubatan terus sahaja mengangkatnya ke atas pengusung untuk memindahkan beliau ke ambulans yang menunggu di luar pagar istana.

Prosedur Resusitasi Kardiopulmonari atau CPR di Hospital Samsung Kangbook dilakukan dan menurut pasukan perubatan yang diketuai Profesor Kim, jantung beliau berdegup kembali. Episod hari pertama berlalu dengan saya menemankan para jururawat menolak katil mangsa berpindah dari bilik kecemasan ke Unit Rawatan Rapi.

Keadaan beliau begitu kritikal dengan tubuh badannya diliputi pelbagai wayar dan tidak kurang lima mesin berada disekeliling katilnya.  Saya menghubungi beberapa warga kerja yang lain dan membahagikan tugasan, kami berurusan dengan pihak Kedutaan Malaysia dan ahli keluarga sahabat kami di tanah air perlu juga dimaklumkan kerana menurut doktor, keluarganya di Malaysia perlu segera dibawa ke Seoul memandangkan keadaan mangsa yang kritikal.

 

Pengurusan peristiwa luar jangka

Hari demi hari berlalu, sahabat kami tidak memberi tindak balas kepada rawatan yang diberikan dan bergantung sepenuhnya kepada mesin sokongan hayat. Setiap hari, kami berkumpul membaca surah yasin, bersolat hajat, bersatu hati di bumi asing, merintih mendoakan kesejahteraan beliau secara berjemaah. Indah sungguh susunan Allah, di Malaysia ada rakan sekerja yang membantu ahli keluarga mangsa membuat passport, dengan bantuan Jabatan Imigresen pasport disiapkan segera. Kami di Seoul ditemukan Allah dengan warga Kedutaan Malaysia yang memberikan nasihat untuk menguruskan peristiwa luar jangkaan ini.

Apabila ahli keluarga mangsa tiba di Korea, kami dimaklumkan keputusan keluarga untuk membenarkan mesin sokongan hayat dibuka seperti nasihat pasukan perubatan setelah segala usaha dibuat. Malam itu adalah malam terakhir untuk warga kerja kami yang lain berada di Seoul sebelum pulang ke tanah air keesokannya. Saya membawa seluruh warga kerja kami ke hospital, sungguh pun mereka tidak dibenarkan masuk namun sekurang-kurangnya mereka dapat berdoa dan mengucapkan selamat tinggal buat selama-lamanya kepada rakan sekerja dihadapan premis hospital tersebut.

Kenapa saya katakan ucapan selamat tinggal itu selama-lamanya kerana pada tahap ini, ahli keluarga telah membuat keputusan untuk membuka mesin sokongan hayat. Ahli keluarga juga memutuskan untuk sahabat kami itu disemadikan di bumi Seoul kerana jika dibawa pulang, jenazah perlu melalui proses pengawetan yang amat menyakitkan.

Pada pagi Jumaat yang mulia, sahabat kami pergi meninggalkan kami tidak lama selepas mesin sokongan hayat dibuka. Sempat saya, isteri dan ahli keluarga beliau membisikkan kalimah Allah ditelinganya dan berdoa agar Allah mengambilnya dengan belas ihsan. Sungguh pun amat berat melepaskan beliau, kami semua redha dengan ketentuan Allah dan kini tanggungjawab untuk menyempurnakan pengebumian jenazah di bumi asing.

Selesai urusan pembayaran dan urusan sijil kematian, jenazah dipindahkan ke sebuah rumah mayat lain kerana lazim sebagaimana hospital swasta di negara kita, tiada rumah mayat disediakan di hospital tersebut. Mencabar juga untuk memahami kesemua proses ini kerana semua papan tanda dan majoriti warga hospital berkomuniksi menggunakan bahasa Korea.

Kami mengambil peluang selepas solat Jumaat di Masjid Itaewoon merayu kepada imam agar jenazah dapat dikebumikan dalam waktu terdekat kerana menurut maklumat awal proses tersebut hanya boleh dibuat tidak kurang lima hari bekerja. Imam Masjid itu berjanji mempercepatkan proses tersebut, tetapi proses pembayaran untuk mendapatkan tanah perkuburan diluar Seoul dan proses lain kepada pihak masjid hanya boleh dibuat melalui pindahan wang atau bayaran tunai sahaja, tiada kad kredit diterima untuk tujuan itu. Mungkin ini menjadi pengajaran kepada saya bahawa dalam membawa warga kerja yang ramai ke luar negara kita perlu memastikan pihak bank di tanah air benar-benar faham jika berlakunya keadaan mendesak yang memerlukan tunai dalam jumlah yang agak signifikan.

Saya menghubungi sahabat pegawai bank di Malaysia, bertanyakan cara mereka boleh membantu membuat pindahan bayaran tersebut. Sungguhpun semuanya mahu membantu tetapi kekangan masa pada petang Jumaat itu tidak membolehkan proses  dibuat pada hari yang sama. Jika saya terlepas petang Jumaat itu, maka saya perlu menunggu hari Isnin minggu berikutnya untuk menguruskan kelulusan pengebumian arwah. Sungguh benar janji Allah, setiap kesukaran yang dihadapi pasti ada kemudahan yang datang bersamanya. Dalam kesedihan yang teramat itu Konsul Malaysia di Kedutaan Malaysia dan isterinya banyak membantu memberikan solusi memandangkan peranan masjid yang terhad.

Lebih daripada itu, Allah membuka hati pemandu pelancong saya seorang berbangsa Korea untuk mendahulukan bayaran tunai yang perlu segera dibayar kepada pihak Masjid pada petang Jumaat itu sementara menunggu pihak bank di Malaysia membenarkan saya membuat pengeluaran wang yang agak banyak di Seoul. Arwah adalah seorang insan baik yang sentiasa menjaga ibunya, maka dengan asbab itu ramailah orang yang terbuka hati membantu pengurusan jenazahnya. Akhirnya menghampiri waktu Maghrib Jumaat itu, segala urusan menempah kubur arwah dan susunan pihak-pihak yang akan membantu menguruskan jenazah dapat dimuktamadkan oleh Masjid Itaewoon.  Pengebumian jenazah dibenarkan untuk disempurnakan pada pagi Ahad di Jindalle, dua jam perjalanan dari Seoul.

Pagi Ahad itu, Duta Malaysia di Korea hadir di Masjid Itaewoon menyampaikan ucapan takziah disertai oleh para pegawai Kedutaan. Proses mengebumikan jenazah dilaksanakan dengan bantuan kudrat warga Kedutaan Malaysia yang tidak terbalas budi baik baik mereka. Sesungguhnya tanah arwah disemadikan amat nyaman udaranya dilatari pemandangan pergunungan yang indah ditemani pula oleh jenazah umat Islam yang meninggal dunia di Korea. Proses tersebut juga disiarkan untuk disaksikan oleh ramai ahli keluarga arwah di tanah air. Bacaan doa Konsul Malaysia begitu mendayu mengiringi arwah ke alam baharunya menandakan tiba masanya untuk kami beredar dan kembali ke tanah air dengan doa agar rohnya sentiasa dimuliakan.

--BERNAMA

 

Dato' Ikbal Salam ialah Peguambela & Peguamcara di Ikbal Salam & Associates

 

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)