TINTA MINDA

PERANAN PENDIDIKAN EMOSI MELALUI INSTITUSI KELUARGA DALAM MEMPERKUKUHKAN STRUKTUR SOSIAL MASYARAKAT

03/07/2023 09:15 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Norizan Yusof

Dewasa ini, peningkatan salah laku sosial amat membimbangkan ramai pihak. Malah adakalanya salah laku sosial yang dilakukan tidak memikirkan kesan buruk kepada komuniti mahupun masa hadapan kehidupan sendiri. Salah laku sosial didefinisikan sebagai sesuatu perbuatan atau kelakuan yang menyalahi norma-norma murni yang dibenarkan dalam masyarakat, undang-undang dan agama. Keberanian untuk melakukan sesuatu yang bahaya semakin meningkat, terutamanya dalam kalangan golongan muda malah ada masanya akal menjadi semakin kreatif untuk melakukan salah laku dan menyembunyikan jenayah yang dilakukan. Sebagai contoh beberapa kes sebelum ini seperti kes pembunuhan teman wanita di Sungai Besar, Selangor. Ada juga kes-kes yang berlaku tetapi tidak dilaporkan atau dikesan seperti berzina, minum arak, hamil anak luar nikah, menggugurkan kandungan dan sebagainya. Kebanyakan kes ini berlaku dalam kalangan remaja lingkungan awal usia dan tidak terlepas juga berlaku terhadap golongan dewasa.

Pengaruh Tingkah Laku Kanak-kanak

Kebimbangan masyarakat semakin berleluasa terutamanya bagi yang bergelar ibu dan bapa. Fikiran apa yang akan berlaku pada masa hadapan lebih merisaukan kerana faktor luaran memberi pengaruh yang amat kuat terhadap tingkah laku anak-anak. Ditambah pula dengan zaman teknologi di hujung jari yang membenarkan akses kepada informasi yang dikehendaki tanpa sempadan dan adakalanya akses dilakukan tanpa pengawasan ibu bapa. Kesannya pencarian informasi tanpa bimbingan menyumbang kepada pemahaman yang salah tentang apa yang sepatutnya berlaku dalam kehidupan.

Institusi kekeluargaan memainkan peranan penting dalam pembentukan pemikiran yang seterusnya menyumbang kepada pembentukan struktur sosial anak-anak dalam masyarakat. Pendidikan yang dilakukan oleh institusi keluarga ini dipanggil pendidikan daripada dalam ke luar yang membentuk jati diri, nilai, moral serta keyakinan anak-anak dalam menempuh alam sebenar yang penuh berliku. Malah Pendidikan anak-anak ini juga holistic dengan mengambil kira aspek emosi dan psikologi yang dirasai oleh anak-anak.

Kebanyakan kes berkaitan sosial berlaku kerana aspek emosi dan psikologi anak-anak ini dipandang enteng dan tidak diambil kira oleh orang dewasa. Akibatnya ramai yang melakukan tindakan luar kawal yang menyebabkan runtuhnya institusi sosial. Kebanyakan anak-anak yang tidak dilayan dari sudut aspek emosi dan mental menyimpan urusan yang tidak selesai dalam emosi meraka dan mereka akan menyebarkan dengan tindakan lain yang menyakitkan diri serta persekitaran mereka. Sebagai contoh terlibat dengan masalah sosial yang memalukan keluarga atas alasan membalas dendam terhadap keperluan emosi dan mental yang tidak dipedulikan sejak kanak-kanak.

Pembentukan Emosi Kanak-Kanak

Beberapa kaedah dan aspek dalam pembentukan emosi kanak-kanak perlu diambil kira bagi mendidik anak-anak mempunyai jati diri yang utuh.

Antara penekanan emosi yang perlu dilakukan oleh institusi keluarga adalah menitikberatkan nilai kasih sayang, empati dan saling menghargai. Keluarga merupakan tunjang utama dalam Latihan emosi dan perkembangan anak-anak. Oleh itu sangat penting untuk sesebuah institusi keluarga yang dipandu oleh bapa mewujudkan elemen kasih sayang, empati dan saling menghargai. Kaedah ini boleh dipraktikkan bersama ahli keluarga terutamanya suami menghargai isteri di hadapan anak-anak. Anak-anak akan belajar dari penerhatian, pengalaman dan bermain untuk memahami sesuatu yang berlaku dalam kehidupan mereka. Aplikasi pendidikan melalui teknik ini bukanlah satu bentuk arahan yang dikemukakan oleh ibu bapa kepada anak, malah ia adalah salah satu bentuk contoh tauladan yang perlu ditunjukkan kepada anak-anak bagi mereka memahami serta merasai emosi yang terbentuk daripada tingkah laku ini. Pemahaman mereka akan berlaku melalui proses tranformasi emosi dan pemerhatian.

Penekanan emosi kedua yang perlu disuntik adalah tentang kehidupan bertuhan serta ada balasan pada setiap perbuatan ynag dilakukan sama ada baik atau buruk. Kaedah ini merupakan kaedah yang diajar melalui surah luqman. Kaedah ini menggunakan proses bimbingan iaitu penerangan secara jelas serta berulang-ulang kepada anak berkaitan dengan apa yang dilakukan akan dipertanggungjawabkan. Pengulangan terhadap hukuman akan mewujudkan rasa takut untuk melakukan kesalahan, malah pengulangan terhadap ganjaran akan meningkatkan motivasi seseorang anak untuk melakukan kebaikan. Proses mewujudkan rasa takut akan hukuman dan bermotivasi melakukan kebaikan perlulah dipandukan kepada rukun iman dan rukun Islam yang jelas. Oleh itu Pendidikan secara komprehensif boleh dilaksanakan bagi memastikan anak-anak ini terbentuk dengan akhlak yang baik. Malah perasaan takut dan gembira ini mampu membentuk jati diri yang positif dan sentiasa mencuba melakukan kebaikan.

Teknik Pendidikan menghukum ketika bersalah dan memberikan ganjaran ketika dia melakukan perkara yang betul ini juga perlu melalui teknik komunikasi bersama anak selepas hukuman atau ganjaran dilakukan. Komunikasi ini penting supaya kesalahan yang dilakukan tidak berulang pada masa yang akan datang malah prinsip kepimpinan keluarga iaitu ketegasan dalam menyatakan salah adalah salah adalah amat penting bagi memupuk nilai displin yang tinggi dalam kalangan anak-anak.

Anak-anak umpama kain putih, ibu dan bapalah yang mencorakkan pemikiran, tingkah laku serta akhlak anak-anak. Anak-anak yang dicorak dengan baik dan diterapkan dengan elemen yang baik akan membentuk struktur sosial dan masyarakat yang baik, sebaliknya anak-anak yang dinafikan hak dan perasaan mereka akan membentuk jati diri memberontak yang akan menyumbang kepada masalah so sial dalam masyarakat. Oleh itu, pembinaan sesebuah keluarga yang mempunyai matlamat serta nilai yang positif amat penting dititikberatkan bagi memastikan kualiti struktur sosial pada masa yang akan datang kerana di mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi juga.

--BERNAMA

Dr Norizan Yusof ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang, beliau juga seorang kaunselor berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)