TINTA MINDA

GELARAN PROFESOR   : GUNA PADA TEMPAT DAN MASA YANG BETUL

04/08/2023 09:02 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh :Datuk Prof. Dr. Jayum Anak Jawan

Mengikut Kamus Oxford atas talian, profesor ialah seorang yang mengajar di kolej atau universiti. Ia merupakan jawatan tertinggi berbanding guru atau pensyarah. Bagaimanapun, semua boleh dipanggil sebagai profesor, iaitu seorang pengajar kerana kerja semua sama. Mengikut kamus yang sama, ada dua lagi jawatan lebih tinggi dari profesor universiti iaitu profesor ulung (distinguished professor) dan profesor emeritus. Di Malaysia, paling tinggi ialah Profesor Diraja.

Kelazimannya, jawatan profesor menunjukkan kedudukan pengajar di sebuah universiti dan berkaitan dengan gred imbuhan. Di Malaysia, ada jawatan akademik seperti pensyarah (gred 48), pensyarah kanan (gred 52), profesor madya (gred 54) dan profesor pelbagai gred (dari JUSA C ke Turus III). Semua jawatan boleh diperolehi melalui lantikan berdasarkan kelayakan atau ijazah dan pengalaman atau kenaikan pangkat bagi seorang tenaga akademik dari satu tangga ke tangga yang lebih tinggi di sebuah universiti.

Sama tetapi tidak serupa

Lazim juga profesor madya dan profesor penuh sama dipanggil secara lisan dengan gelaran “profesor” walaupun dari segi kedudukan dua jawatan itu berbeza.

Seorang dilantik ke jawatan profesor kerana sudah mencapai aras dan menunjukkan kecemerlangan dan kepakaran dalam suatu bidang. Seorang profesor semestinya ada sumbangan baharu dalam bidang beliau sama ada berbentuk ide, penemuan atau produk baharu yang menambahkan pengetahun mengenai bidang berkenaan dan ide atau benda baharu itu mahu dikongsikan dengan awam untuk kebaikan ilmu dan manusia sejagat.

Inilah yang berkaitan dengan sifat profesor yang semestinya ada benda yang dituntut sifat “professing” dalam kalangan profesor. Lazimnya, umum tahu apa yang ada pada seorang profesor melalui syarahan inaugural yang diberikan oleh seorang profesor, iaitu syarahan pengukuhan menerima jawatan profesor. Dalam syarahan inilah seorang profesor menunjukkan kehebatan dan kehandalannya dalam bidang masing-masing. Dalam bahasa lain, seorang profesor wajar ada magnum opusnya.

Jaga integriti, elak salah guna

Kebelakangan ini ramai awam dan pesara akademik menggunakan sewenang-wenang gelaran ini dan oleh itu menjatuhkan martabat profesor kerana ada yang kurang layak tetapi menggunakannya dengan sewenang-wenangnya. Apa la ada sangat pada gelaran itu sekiranya seorang itu sudah bersara.

Kecuali seorang pesara dari jawatan profesor dianugerahkan gelaran “profesor emeritus”. Maka bila sudah bersara tidak boleh dari segi protokol dan etikanya memakai gelaran itu. Sekiranya orang awam masih mengekalkan panggilan itu bagi seorang profesor yang telah bersara, tidak salah namun tuan badan janganlah membuat kad nama dan meletakkan gelaran Prof (B) Dr. Awang Selamat. Pangkat “Dr” itu boleh dipakai kerana ia diperolehi dan kekal sampai bila-bila. Dalam dunia akademik, orang tak pakai Prof (B) bukan macam tradisi tentera apabila bersara maka boleh tulis seperti General (B) atau General bersara.

Selain itu, ramai juga menerima lantikan sebagai Profesor Adjung, Profesor Kehormat, Profesor Amal, termasuk PhD kehormat. Kelazimannya, jawatan adjung, kehormat itu adalah suatu pangkat yang boleh digunapakai apabila penerimanya berada di kawasan universiti yang menganugerahkannya dan bukan di luar universiti berkenaan. Ini persoalan integriti dan etika dan bukan soal salah dari segi peraturan dan undang-undang. Polis tidak akan tangkap dan laporan polis pun tidak boleh pakai untuk menahan dan menghentikan mereka yang menggunakan anugerah seumpamanya ini. Ia soalan nilai, integriti dan etika dan nilai ini duduk pada tuan badan.

Kategori lantikan profesor

Seorang ahli akademik yang boleh mengguna pakai jawatan dan pangkat profesor ialah seorang yang telah dianugerahkan pangkat profesor emeritus. Bagi mereka ini, boleh tulis juga pangkat ini di atas batu nisan kelak.

Di Malaysia, selain profesor emeritus yang kekal, profesor diraja juga mempunyai kedudukan sama, termasuk profesor ulung. Di Malaysia, profesor ulung adalah pangkat yang diberikan oleh kerajaan persekutuan dan kekal kepada penerimanya berbanding jawatan atau pangkat profesor universiti yang sementara dan boleh pakai selagi para penyandang masih bekerja dengan sebuah universiti.

Di Malaysia ada beberapa kategori profesor seperti profesor diraja, profesor ulung, profesor emeritus, profesor adjung, dan profesor universiti.

Profesor diraja dipegang oleh seorang sahaja iaitu Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, sementara lima orang telah dilantik untuk jawatan profesor ulung iaitu Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia); Dr Looi Lai Ming (Universiti Malaya); Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin (Universikit Kebangsaan Malaysia); Dr Harith Ahmad (UM) dan Dr Rajah Rasiah (UM).

-- BERNAMA

Datuk Prof. Dr. Jayum Anak Jawan FASc ialah Profesor Sains Politik UPM & Felo, Akademi Sains Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)