Oleh: Dr. Abd. Razak Zakaria
Matlamat dan hala tuju pendidikan jelas menunjukkan ke mana arah tujuan pendidikan di negara ini. Kemiskinan dilihat sebagai satu faktor yang sedikit merencatkan pencapaian keseluruhan pelajar-pelajar di negara kita dan sekaligus memberi kesan kepada pendidikan negara dalam kedudukan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (Pisa) di dunia.
Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mewar-warkan tentang sekolah khas yang akan memberi tumpuan kepada golongan miskin di negara ini supaya mereka tidak terus tertinggal dalam arus perdana pendidikan.
Respon yang sama telah diberikan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek terhadap isu ini dengan mengulas lanjut tentang hala tuju serta mekanisme yang jelas dalam menubuhkan sekolah khas untuk miskin tegar di negara ini.
Membahas kewajaran cadangan
Namun, apa yang menjadi persoalan apakah sekolah-sekolah yang sedia ada sekarang tidak mesra golongan miskin dan atas dasar apa untuk ditubuhkan lagi sekolah khas untuk golongan miskin?
Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, seharusnya kita memikirkan untuk menaik taraf sekolah atas keperluan pendidikan yang lebih baik berbanding menubuhkan sekolah baharu yang memerlukan kos yang lebih besar.
Saya amat menyokong dasar Kerajaan yang cakna kepada golongan miskin tegar bagi mendapatkan pendidikan yang baik namun matlamat untuk menyediakan sekolah khas untuk golongan ini dilihat tidak wajar. Kementerian Pendidikan seharusnya memberi fokus kepada bagaimana untuk membantu pelajar daripada golongan miskin untuk tidak tercicir daripada arus perdana dan bukannya untuk melabur lebih banyak wang untuk menubuhkan sekolah khas untuk golongan ini.
Matlamat sebenar
Polemik yang timbul adalah “pendidikan atau sekolah” yang perlu diutamakan bagi membantu mereka. Mekanisme apa yang menjadi hala tuju untuk membantu mereka jika matlamat yang dicanang lebih kepada menggunakan sejumlah kos yang lebih besar untuk pembinaan sekolah khas tersebut sedangkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) jelas menunjukkan aspirasi sistem pendidikan kepada akses pendidikan, kualiti standard antarabangsa yang tinggi, ekuiti untuk semua murid, memupuk perpaduan dalam kalangan murid dan pelaksanaan berkecekapan tinggi.
Sekolah yang sedia ada sudah cukup untuk melahirkan generasi cemerlang dan ianya perlu dinaik taraf dan dimurnikan sedikit sahaja lagi bagi memenuhi aspirasi negara. Justeru, keperluan membina sekolah khas bukan matlamat yang perlu diutamakan tetapi bagaimana sistem pendidikan dan sekolah sekarang dibaik pulih dan dinaik taraf menjadi lebih baik dan dalam masa yang sama tumpuan diberikan bagi membantu golongan miskin dalam mendapatkan pendidikan dengan sistem sokongan yang padu daripada KPM.
Jika dilihat kepada miskin tegar pada masa sekarang, kebanyakkan mereka adalah dalam kalangan yang tinggal di bandar. Jika dahulu miskin tegar merujuk kepada orang yang tinggal di luar bandar dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2000 tetapi senario telah berubah kerana dengan pendapatan isi rumah RM4,000-6,000, dan jumlah tanggungan anak seramai lima orang ianya masih diklasifikasikan sebagai miskin tegar. Statistik yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia 2022, seramai 3.16 juta isi rumah di Malaysia mempunyai pendapatan di bawah RM5,250.00.
Selesai isu secara holistik
Mekanisme apa yang akan digunakan oleh Kerajaan dalam menangani masalah miskin tegar ini? Apakah membina sekolah khas dapat membantu golongan miskin ini atau menggunakan bajet yang sedia ada dengan membantu mereka daripada segi ekonomi (tawaran biasiswa atau biaya bulanan) bagi mereka tidak terus tercicir daripada arus pendidikan?
Justeru, KPM harus mempunyai pendirian yang lebih berfokus dalam melaksanakan program untuk meningkatkan kualiti pendidikan, bukannya secara drastik memutuskan sesuatu yang tidak perlu malah keperluan membina sekolah khas yang baru bukanlah satu keputusan yang bernas.
Jika benar KPM ingin membantu golongan miskin untuk mendapatkan pendidikan yang lebih berkualiti, golongan ini perlu disantuni daripada akar umbi. Kajian berkaitan golongan ini juga perlu dilaksanakan dan hasilnya nanti dapat membantu mereka atas keperluan yang lebih berfokus.
Kadangkala mereka memerlukan sokongan moral yang berpanjangan agar mereka dapat keluar daripada kepompong kemiskinan, dan KPM secara tidak langsung dapat membantu dengan menyediakan keperluan asas bagi golongan ini.
Apa pun keputusan Kerajaan mahupun KPM, matlamat membantu golongan miskin untuk terus mendapatkan pendidikan tetap disanjung tinggi. Cuma bentuk tindakan yang bagaimana seharusnya diambil dalam menangani masalah ini perlu diberi penelitian yang mendalam. Terutamanya dalam memastikan KPM terus berjaya melahirkan modal insan yang cemerlang dalam kepelbagaian latar belakang melalui pendidikan, dan selanjutnya memenuhi keperluan modal insan negara.
-- BERNAMA
Penulis merupakan Pengarah, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga Universiti Malaya (UMFRDC)