Oleh: Liew Chin Tong
Keputusan pilihan raya enam negeri baru-baru ini menyampaikan mesej yang jelas: golongan prekariat merasakan dasar ekonomi yang ada selama ini tidak banyak membantu mereka. Malaysia di bawah Kerajaan Perpaduan memerlukan lonjakan pemikiran ekonomi demi kesejahteraan semua, khususnya golongan prekariat.
Siapa dan sebesar mana golongan yang dikenali sebagai prekariat dalam segmen ekonomi Malaysia? Dari sudut bahasa, prekariat merupakan istilah Inggeris daripada gabungan perkataan “precarity” (ketidaktentuan atau kerentanan) dan “proletariat” (kaum pekerja), iaitu satu kelas baharu pekerja yang tidak tetap pekerjaan mereka serta tanpa jaminan jangka panjang.
Tenaga kerja
Menurut Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Pertama 2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), daripada keseluruhan 16.02 juta tenaga kerja di Malaysia, 15.38 juta mempunyai pekerjaan; dan daripada jumlah itu 12 juta bergaji manakala 2.3 juta bekerja sendiri, dan 487,000 pekerja keluarga tanpa gaji. Jumlah majikan pula adalah 532,900.
Daripada 12 juta pekerja bergaji, 10.5 juta adalah warga Malaysia manakala 1.5 juta lagi adalah rakyat negara asing. Ramai juga warga asing yang tidak berdaftar diambil bekerja. Daripada10.5 juta pekerja warga Malaysia, 61.4 peratus atau 6.45 juta orang bekerja dalam sektor formal.
Yang dimaksudkan sebagai pekerja dalam keadaan tidak menentu atau dalam keadaan seperti kerentanan boleh dijelaskan melalui fakta-fakta berikut.
Laporan DOSM mendedahkan bahawa mereka yang bekerja di Malaysia dibayar gaji rendah.
Pada Mac 2023, 34.8 peratus pekerja sektor formal mendapat gaji kurang daripada RM2,000 sebulan. Walaupun gaji meningkat 27 peratus berbanding Mac 2022, golongan 10 peratus paling bawah dalam sektor formal ini menerima gaji kurang daripada RM1,482 sebulan.
Malah, keadaan gaji rendah ini turut menyelubungi pekerja pada kedudukan atas, pada tahap “80th percentile”, dengan gaji RM5,500 sebulan. Maksudnya, 80 peratus pekerja dalam sektor formal mendapat gaji kurang daripada RM5,500 sebulan.
Ini menyebabkan pengkelasan kumpulan M40 sebagai kelas pertengahan menjadi bahan sindiran kerana golongan ini turut merana seperti mana yang dialami golongan berpendapatan rendah.
Cukai
Untuk mereka yang mahu mengembalikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), fikir baik-baik. Gaji bulanan pada “70th percentile” adalah RM4,000, iaitu 70 peratus rakyat Malaysia dalam sektor formal dibayar gaji kurang daripada RM4,000 sebulan. Jika ditolak potongan wajib bulanan, seseorang pekerja Malaysia biasanya mula membayar cukai pendapatan apabila pendapatannya mencapai RM4,000 sebulan.
Walaupun ada peningkatan gaji selepas pandemik COVID-19 pada 2022, 70 peratus rakyat Malaysia yang bekerja dalam sektor formal masih tidak mempunyai cukup pendapatan untuk melayakkan diri mereka membayar cukai pendapatan.
Mengembalikan GST bererti mengenakan cukai terhadap golongan prekariat yang mungkin membangkitkan kemarahan mereka, dan ini boleh menimbulkan kekacauan. Satu “kontrak sosial” antara yang memerintah dan yang diperintah perlu ada untuk memastikan seseorang pekerja hanya boleh dikenakan cukai apabila dia menjana cukup pendapatan yang lebih daripada sekadar cukup makan.
Bekerja di luar sektor formal
Dalam Laporan DOSM itu turut dicatatkan bahawa 38.6 peratus rakyat Malaysia bekerja di luar sektor formal. Kebanyakan mereka adalah pekerja ekonomi gig atau dalam bidang-bidang tidak formal, yang kadang kala boleh menghasilkan pendapatan tinggi tetapi tanpa sebarang jaminan langsung. Beberapa pemandu P-hailing dan penghantar makanan yang saya temui memberitahu bahawa mereka perlu bekerja sekurang-kurangnya 14 jam sehari untuk mendapat pendapatan sekitar RM4,000 sebulan. Ada kajian menunjukkan bahawa 35 peratus pekerja ekonomi gig merupakan graduan pengajian tinggi manakala kajian lain pula menyatakan bahawa setelah 10 tahun menamatkan pengajian tinggi, 68 peratus graduan itu masih dibayar gaji kurang daripada RM4,000 sebulan.
Tidak semua daripada kalangan 2.3 juta orang yang bekerja sendiri berjaya dalam usaha mereka. Ada satu lagi ketidaktentuan yang tidak dimasukkan dalam Laporan DOSM. Setiap hari pada jam 5 pagi, lebih 50,000 rakyat Malaysia menunggang motosikal dari Johor Bahru memasuki Singapura untuk bekerja sebagai buruh murah, kebanyakannya mendapat gaji tidak lebih S$2,000 sebulan.
Walaupun S$2,000 nampaknya besar apabila ditukar kepada Ringgit, pekerjaan warga Malaysia di Singapura itu sama sahaja seperti buruh-buruh asing di Malaysia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, pekerja kilang, pemungut sampah, pemandu lori, dan sebagainya. Kebanyakan pekerja itu yang pernah berbual dengan saya menyatakan bahawa jika mereka dibayar sekurang-kurangnya dua pertiga daripada gaji yang diterima di Singapura, mereka sanggup kembali bekerja di Malaysia. Namun, hakikatnya gaji yang ditawarkan di Malaysia sekarang hanyalah sekitar satu pertiga daripada gaji mereka di Singapura. Ada ramai juga warga Malaysia yang bekerja di Korea Selatan, Australia dan New Zealand dengan membuat pelbagai kerja, khususnya mengutip buah, menyapu sampah dan menjadi buruh kasar. Kehidupan mereka memang tidak menentu.
Dasar ekonomi
Ketidaktentuan ini adalah kesan daripada dasar ekonomi kerajaan-kerajaan sebelum ini yang bukan sahaja gagal meningkatkan gaji pekerja Malaysia tetapi juga mengikat struktur ekonomi negara dalam satu kitaran kejam di mana negara hanya mampu menawarkan gaji rendah, produktiviti rendah dan teknologi rendah. Ketidaktentuan ini menjejaskan kehidupan berjuta pekerja Malaysia, sama ada ketika mereka bekerja mencari nafkah sekarang atau apabila mereka bersara nanti.
Keadaan ini tidak boleh berubah secara mendadak. Namun, Kerajaan Perpaduan, jika mahu dilihat sebagai peneraju ekonomi negara, perlu menangani sentimen “anti-establishment” daripada golongan prekariat, terutama anak muda seperti mana yang mereka suarakan pada pilihan raya enam negeri baru-baru ini.
Yang penting, bagi memulakan usaha mengubah keadaan, kita perlu menerima hakikat bahawa ketidaktentuan ini memang benar-benar wujud, dan pekerjaan berkualiti serta gaji setimpal adalah hasrat, malah keperluan kepada majoriti pengundi Malaysia. Untuk mengekalkan kestabilan dan keharmonian masyarakat Malaysia, dan juga untuk Kerajaan Perpaduan memenangi pilihan raya umum ke-16 nanti, dasar-dasar ekonomi perlu digubal untuk mengutamakan rakyat berpendapatan rendah.
Kerajaan-kerajaan Malaysia sebelum ini menganggap bahawa fungsi kerajaan adalah sebagai Jabatan Sumber Manusia untuk pelabur, khususnya pelabur antarabangsa. Malah, beberapa dekad lalu, Kementerian Buruh telah ditukar namanya menjadi Kementerian Sumber Manusia.
Untuk menangani ketidaktentuan ini, yang merupakan masalah ekonomi serta bakal merosakkan perpaduan sosial dalam jangka panjang, kerajaan perlu memastikan fungsi asasnya adalah untuk mencipta kegiatan-kegiatan ekonomi yang dapat menghasilkan pekerjaan formal dengan gaji setimpal untuk pekerja Malaysia.
Walaupun kerajaan perlu terus mesra pelabur, ia mesti mengutamakan pekerja Malaysia. Memang ada perbezaan antara matlamat pelaburan yang mahu menghasilkan pekerjaan berkualiti untuk rakyat sendiri, dan pelaburan semata-mata untuk mendapatkan pelaburan sahaja tanpa mempedulikan nasib pekerja.
Ini bukan perkara baharu. Apabila Malaysia memulakan langkah menggalakkan perindustrian berasaskan eksport pada awal 1970-an, setiap pekerjaan yang dicipta pada masa itu jauh lebih tinggi gajinya berbanding dengan sektor formal apabila dibandingkan dengan kelayakan akademik dan kecekapan yang sama. Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lama lagi akan menyentuh tentang perkara ini.
Pekerja asing
Apabila ada orang berkata kemasukan besar-besaran pekerja asing tidak menjejaskan pendapatan pekerja Malaysia, mereka patut sedar bahawa itu merupakan hujah yang lemah. Pekerja tempatan dan asing sama-sama merana dan terjerumus apabila warga asing yang tidak mahir serta dibayar gaji yang sangat kecil dibawa masuk beramai-ramai sejak beberapa dekad lalu.
Perlu ada iltizam politik untuk melaksanakan Sistem Levi Pelbagai Peringkat bagi pekerja asing yang tidak mahir. Maksudnya, apabila sesebuah syarikat menggajikan pekerja asing dengan jumlah yang besar, levi yang dikenakan ke atas mereka juga perlu tinggi. Sebagai contoh, perlu ada kenaikan levi yang tinggi kepada pekerja asing untuk setiap lima atau 10 tahun bagi korporat besar yang menggajikan lebih daripada 3,000 pekerja. Pada masa yang sama, syarikat kecil yang mempunyai kurang daripada 100 pekerja asing akan dikenakan levi yang kecil bagi memudahkan transisi untuk mereka berbanding korporat besar yang lebih berkemampuan.
Bagi menggalakkan korporat besar mengurangkan pergantungan kepada tenaga buruh tidak mahir ini, kerajaan perlu membantu dan menyokong dengan menyediakan insentif kewangan bagi membolehkan mereka melaksanakan “TechUp”, iaitu mengguna pakai automasi, digitalisasi dan teknologi sebanyak mungkin.
Tenaga kerja
Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Indonesia pada Januari lalu, beliau ditanya sewaktu sesi dialog tentang mengapa perlu datang ke Indonesia untuk memberi taklimat tentang usaha membawa pekerja Indonesia ke Malaysia, sedangkan lebih baik bagi Malaysia untuk melabur di Indonesia yang mempunyai tenaga buruh yang lebih murah.
Malaysia memerlukan cara berfikir yang baharu. Untuk sektor-sektor yang memerlukan tenaga buruh murah, kerajaan perlu membantu industri yang berada di bandar-bandar besar untuk berpindah ke destinasi yang lebih murah di dalam negara, serta ke destinasi lain di Asia Tenggara. Malaysia tidak perlu bersaing dengan Vietnam, Indonesia atau Thailand, yang kesemuanya mempunyai dividen demografi atau jumlah tenaga kerja yang besar.
Malaysia sepatutnya menjalin hubungan integrasi menegak dengan semua negara-negara ini yang akan membolehkan syarikat-syarikat Malaysia melabur di sana dengan tenaga buruh mereka yang lebih murah, dan mengikat serta menyambung semua hasil pengeluaran ke dalam satu rangkaian bekalan Asia Tenggara. Dengan ini, Malaysia tidak perlu lagi terlibat dalam pengeluaran kos rendah kerana ia membolehkan kita menyertai kegiatan-kegiatan ekonomi tambah nilai yang lebih tinggi yang dapat menjana pendapatan tinggi, dan pada masa yang sama, membantu negara-negara jiran kita untuk makmur bersama.
Struktur pekerjaan perlu disusun semula. Sebagai contoh, jawatan pengawal keselamatan yang kini kebanyakannya disandang oleh warga asing kerap menghadapi masalah komunikasi, terutamanya apabila berlaku kes jenayah. Mereka sukar berkomunikasi dengan polis kerana tidak menguasai Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa tempatan yang lain. Jawatan pengawal keselamatan ini boleh ditransformasi melalui penggunaan gajet dan teknologi untuk mengurangkan jumlah pekerja asing. Dengan ini, jawatan yang ada selepas pelaksanaan penggunaan teknologi boleh dikhususkan kepada warga Malaysia sahaja dengan gaji bulanan RM3,500 atau lebih, khususnya kepada mereka yang berkelayakan.
Gaji
Program pembangunan kemahiran seperti TVET perlu dijadikan keutamaan di Malaysia. Sepatutnya tiada siapa perlu membuat pinjaman kewangan untuk mempelajari kemahiran. Buat masa ini, bukan sahaja mahasiswa di universiti dibebankan oleh hutang, malah pelajar teknikal dan vokasional juga terpaksa membuat pinjaman untuk belajar, sedangkan tiada jaminan pekerjaan dengan gaji setimpal untuk mereka.
Bagi sesetengah pekerjaan, kerajaan perlu terus campur tangan untuk melonjakkan gaji. Sebagai contoh, sewaktu berusia 14 tahun pada 1991, saya pernah bekerja sebagai pelayan di sebuah café di Selangor dengan gaji RM2.50 sejam. Setahun kemudian, berikutan pasaran buruh yang ketat, iaitu peluang pekerjaan lebih banyak berbanding jumlah pencari kerja, dan saya pula yang telah mengutip pengalaman dinaikkan gaji RM4.50 sejam.
Namun, 30 tahun selepas itu, hampir semua restoran makanan segera hanya membayar pekerja mereka hari ini tidak lebih daripada RM10 sejam. Kalaulah majikan sanggup membayar RM20 sejam, mungkin pelajar universiti sanggup bekerja di sana beberapa jam seminggu untuk menampung pengajian mereka. Tidak akan timbul lagi isu pelajar kelaparan atau terpaksa makan mi segera setiap hari.
Kita memerlukan solidariti antara pihak yang menggajikan dan pihak yang dibayar gaji. Kerajaan perlu menyelaraskannya bagi menghubungkan keharmonian industri melalui rasa bertanggungjawab, empati dan solidariti di antara yang berada dan tidak berada.
Pada masa yang sama, dasar-dasar perlu digubal bagi memastikan wujudnya pengangkutan awam yang mampu dinaiki, penjagaan kesihatan yang wajar kos, dan penyewaan rumah yang dalam kemampuan ramai di bandar-bandar besar. Kita perlu ingat bahawa 80 peratus warga Malaysia dalam sektor formal menerima gaji tidak lebih daripada RM5,500 sebulan. Jika kita mengharapkan dengan gaji sebanyak itu untuk mampu memiliki kereta atau rumah walaupun yang diiklankan sebagai “mampu milik”, ia akan menambah tekanan terhadap keadaan ketidaktentuan yang ada sekarang.
Untuk mengurangkan tekanan terhadap ketidaktentuan ekonomi ini, antara usaha yang boleh dilakukan adalah melalui dasar-dasar awam yang munasabah serta penyediaan perkhidmatan bermutu tinggi untuk keperluan awam.
Keputusan pilihan raya enam negeri sepatutnya menjadi pencetus untuk kerajaan mengubah cara fikir bagi mengatasi masalah ketidaktentuan yang berpunca daripada kegagalan dasar-dasar ekonomi lama. Jika kerajaan berperanan sebagai reformis yang benar-benar mahu mencipta kemakmuran bermula dari bawah menuju ke atas, maka Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar kini mempunyai peluang keemasan untuk membuka lembaran baharu politik dan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.
-- BERNAMA
Liew Chin Tong ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)