TINTA MINDA

WANG KOMEMORATIF LAMBANG KEMERDEKAAN NEGARA

28/08/2023 09:37 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Mohd Yahya Mohamed Ariffin

Setiap tahun pelbagai cara dilakukan oleh jabatan dan agensi kerajaan, organisasi swasta mahupun masyarakat untuk menyambut dan mengingati Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Ada sahaja idea menarik yang direalisasikan oleh pelbagai pihak yang mampu mewujudkan suasana meriah menyambut kedua-dua perayaan yang sangat bermakna kepada kita semua sebagai rakyat negara ini.

Bangunan kerajaan, bangunan persendirian, jalan raya serta kawasan awam dihiasi indah bagi meraikan kedua-dua hari kebesaran tersebut yang menjadi mercu kejayaan memperolehi kemerdekaan daripada penjajah. Jalur gemilang berkibar megah di merata tempat menggambarkan betapa rakyat gembira menyambut perayaan tersebut yang diadakan pada 31 Ogos untuk Hari Kebangsaan sementara Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun.

Kemuncak kepada sambutan ke-66 pada tahun ini adalah pada hari Khamis, 31 Ogos di Putrajaya dengan jangkaan keberangkatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Turut dijangka hadir Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, jemaah menteri, duta dan pesuruhjaya negara-negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Sambutan Hari Malaysia ke-60 pula, akan diadakan di Kuching, Sarawak pada 16 September ini. Rakyat jelata tentunya teruja untuk membanjiri dan bersama-sama menyambut kedua-dua perayaan tersebut.

Tema ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ dipilih bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia kali ini, mampu meningkatkan penghayatan segenap lapisan rakyat tentang kepentingan dan makna sebuah kemerdekaan, di samping meningkatkan rasa cinta kepada negara. Juga, sebagai pemangkin kepada kerajaan dan rakyat untuk memacu negara ini ke tahap lebih sejahtera.

Bank Negara Malaysia

Dalam kaitan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia ini, penulis tertarik dengan inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) secara berterusan sejak beberapa dekad yang lepas. BNM menghasilkan sesuatu yang unik iaitu penghasilan wang kertas dan syiling komemoratif atau peringatan sebagai lambang kejayaan mencapai kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.

Berdasarkan rujukan penulis, buat pertama kali BNM telah menghasilkan mata wang sempena memperingati kemerdekaan negara adalah pada tahun 1977 sempena Ulang Tahun Kemerdekaan ke-20 Malaysia. Pada tahun tersebut BNM telah menghasilkan syiling seringgit (RM1). Pada bahagian hadapan tertera wajah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pertama, Tuanku Abdul Rahman manakala pada bahagian lain kelihatan Jata Negara dengan tulisan ‘20 TAHUN MERDEKA’. Sebanyak 503,100 keping dikeluarkan dan dijual kepada umum.


Lima tahun kemudian, BNM menghasilkan pula syiling-syiling RM1, RM25 dan RM500 sempena ulang tahun kemerdekaan ke-25. Kelihatan wajah Perdana Menteri pertama, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj berlatar belakang bulan sabit dan bintang menghiasai pada satu bahagian syiling dan Jata Negara serta tulisan ‘25 TAHUN MERDEKA 1957-1982’ pada bahagian belakang. Menariknya, syiling RM500 tersebut diperbuat daripada emas.

Pada tahun 1987, sempena Ulang Tahun Kemerdekaan ke-30 syiling-syiling RM1, RM10 dan RM250 pula dihasilkan dan dijual oleh BNM kepada umum. Syiling-syiling tersebut dihiasi dengan ukiran burung-burung berterbangan selain beberapa mercu tanda binaan dan bangunan termasuk bangunan Parlimen. Kelihatan juga tulisan ’30 TAHUN MERDEKA 1957-1987’.

BNM meneruskan tradisi memperingati sambutan melalui penghasilan syiling komemoratif RM1, RM10 dan RM100 bersempena Kemerdekaan ke-45 pada tahun 2002. Usaha tersebut diteruskan apabila negara menyambut 50 tahun kemerdekaan pada 2007. Terdapat tiga jenis syiling yang dihasilkan iaitu RM1, RM10 dan RM100. Lebih menarik, pada tahun tersebut BNM turut menghasilkan wang kertas RM50 edisi khas dengan cetakan logo 50 tahun kemerdekaan pada bahagian belakang.

Hari Malaysia

Pada tahun 2013, BNM pertama kalinya menghasilkan syiling sempena Jubli Emas sambutan Hari Malaysia ke-50 (1963-2013), iaitu RM1, RM10 dan RM100 dijual kepada orang ramai. Lebih menarik buat julung kali syiling komemoratif RM10 yang diperbuat daripada logam perak dihasilkan dalam bentuk warna khususnya pada Jalur Gemilang, manakala syiling RM100 diperbuat daripada emas tulen.

Usaha memartabatkan kemerdekaan negara diteruskan oleh BNM melalui penghasilan wang kertas pada tahun 2017. Bersempena Ulang Tahun ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, wang kertas komemoratif tersebut adalah RM60, RM60 bercantum tiga dan RM600 dihasilkan.

Lebih unik, semua jenis wang kertas tersebut bersaiz besar berbanding wang kertas dalam edaran yang digunakan. Sebagai contoh, wang kertas RM600 bersaiz luar biasa dengan ukuran 370 milimeter x 220 milimeter. Sebagai perbandingan, wang kertas RM100 dalam edaran hanya bersaiz 145 milimeter x 65 milimeter.

Pada bahagian hadapan wang kertas tersebut kelihatan Singgahsana Diraja dengan dikelilingi potret 15 Yang di-Pertuan Agong yang bertakhta dari tahun 1957 sehingga tahun 2017, melambangkan Malaysia sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan. Selain itu, reka bentuk bahagian belakangnya pula memaparkan potret sembilan raja-raja Melayu yang sedang menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.

Penulis cuba mencari wang kertas dan syiling komemoratif berkaitan kemerdekaan di pasaran dan pelantar-pelantar media sosial kerana berminat membeli dan memilikinya untuk dijadikan koleksi peribadi. Mungkin suatu hari kelak koleksi seperti itu akan menjadi bahan sejarah berkaitan kemerdekaan yang boleh dijadikan rujukan oleh masyarakat dan generasi akan datang agar mereka dapat menghayati dan menghargai erti sebuah kemerdekaan yang telah dicapai oleh negara berdaulat ini yang diabadikan dalam mata wang komemoratif BNM.

--BERNAMA

Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin ialah Dekan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai Negeri Sembilan.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)