TINTA MINDA

PMKS KUNCI ‘GAIN CONTROL’ UNTUK STABILKAN RINGGIT

18/09/2023 09:20 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Chakrin Utit

Dalam usaha menstabilkan Ringgit, dasar ekonomi semasa perlu beralih kepada langkah untuk ‘gain control’ atau tingkatkan kawalan dalaman terhadap pergerakan nilai mata wang negara. Tanpa langkah sebegini, Ringgit akan kekal menerima pengaruh yang kuat daripada perkembangan global yang berada di luar jangkauan seperti dasar monetari di Amerika Syarikat dan krisis geopolitik.

Salah satu kunci kepada langkah ini terletak pada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang merupakan segmen ekonomi terbesar negara.

Namun, peralihan kepada PMKS bukanlah tugas mudah dan tidak boleh dilaksana dalam jangka masa pendek kerana ia terdedah kepada beberapa permasalahan struktur yang menyebabkan wujud jurang ketara antara saiz dan sumbangan ekonominya.

Permasalahan struktur yang terbabit meliputi kewujudan sebahagian PMKS sebagai industri kotej dan tidak formal dan sifatnya yang kurang berdaya saing.

Kewujudan PMKS sebagai industri kotej dan tidak formal

Kecenderungan PMKS untuk beroperasi sebagai industri kotej berpunca daripada skop aktiviti perniagaan yang berasaskan produk makanan. Ini kerana sumber bahan mentah bagi aktiviti berasaskan produk makanan lebih mudah untuk didapati di kawasan setempat dan lebih murah. Ditambah dengan aspek ruang operasi dan kemampuan penggajian pekerja, industri kotej lebih menjadi pilihan pengusaha PMKS.

Situasi ini menyebabkan rata-rata pengusaha industri kotej tidak mempunyai kapasiti pengeluaran yang tinggi. Seterusnya, ia mempengaruhi tingkat keuntungan dan menjadikan industri kotej cuma sekadar aktiviti penjanaan pendapatan sampingan. Oleh itu, tidak hairanlah jika sebahagian besar pengusaha PMKS tidak mendaftarkan perniagaan mereka dengan pihak berkuasa.

Daripada perspektif ekonomi makro, situasi ini sedikit sebanyak menjelaskan punca kelemahan sumbangan ekonomi PMKS. Sebagai contoh, walaupun mempunyai peratusan PMKS dalam ekonomi yang setara melebihi 90 peratus, sumbangan PMKS tempatan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2018 cuma dianggarkan sekitar 38 peratus, berbanding Indonesia yang mencecah 61 peratus dan Thailand 43 peratus.

PMKS kurang berdaya saing

Daya saing yang rendah dalam kalangan PMKS sebahagiannya berpunca daripada faktor industri kotej dan penggunaan teknologi. Rentetan daripada isu ini, pengusaha PMKS dilihat lebih selesa untuk menjalankan aktiviti pemasaran dalam pasaran setempat berbanding pasaran rentas negeri dan antarabangsa. Selain daripada aspek pasaran, daya saing juga boleh dlihat dari segi perhubungan antara PMKS dan firma besar.

Bagi sesetengah pengusaha PMKS, mereka lebih yakin untuk memasarkan produk di pasaran setempat disebabkan kapasiti pengeluaran yang rendah. Selain itu, tumpuan PMKS kepada produk berasaskan makanan menyukarkan sesetengah produk menembusi pasaran rentas negeri kerana perbezaan cita rasa masyarakat dan pasaran global disebabkan larangan import produk makanan tertentu.

Daripada segi perhubungan rentas firma, wujud kecenderungan firma besar untuk membeli bahan mentah daripada sumber selain PMKS. Kajian menunjukkan faktor kuantiti dan kualiti bahan mentah mempengaruhi keputusan tersebut. Ini kerana PMKS seringkali tidak dapat menghasilkan output dalam kuantiti yang besar dan kualiti yang tidak sekata. Dianggarkan cuma 16 peratus bahan mentah dibeli daripada PMKS.

Terdapat beberapa bidang utama yang boleh ditumpukan dalam jangka panjang bagi memperbaiki permasalahan struktur PMKS ke arah meningkatkan kawalan dalaman kepada nilai Ringgit.

Promosi pembangunan PMKS berteknologi tinggi

PMKS perlu dikembangkan kepada industri berteknologi tinggi daripada sekadar industri kotej berasaskan makanan. Mengambil contoh daripada PMKS di negara maju seperti Jerman, PMKS di negara ini kebanyakan berperanan sebagai industri sokongan kepada firma besar seperti BMW. Di Jepun pula, pembangunan PMKS sebagai sokongan kepada industri automotif telah lama diterapkan untuk memastikan faedah daripada pembangunan ekonomi boleh disalurkan terus kepada usahawan kecil.

Baru-baru ini wujud perkhabaran baik kepada industri automotif dan logistik negara apabila beberapa syarikat antarabangsa seperti Chery, Tesla dan Maersk menyatakan kesediaan untuk meluaskan operasi mereka di Malaysia. Peluang ini seharusnya dihubungkan juga kepada PMKS melalui aspek jaringan industri bagi mempromosi pembangunan PMKS berteknologi tinggi.

Tingkatkan inisiatif formalisasi perniagaan

Tidak kurang pentingnya juga, pengusaha PMKS perlu mengambil inisiatif segera untuk mendaftarkan perniagaan masing-masing. Ini bukan bertujuan untuk membolehkan pihak berkuasa mengutip hasil cukai ke atas operasi perniagaan mereka, tetapi lebih kepada usaha untuk membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti perniagaan yang boleh dibantu dari segi kewangan dan khidmat nasihat.

Pelancaran Pelan Pemformalan Usahawan Informal baru-baru ini merupakan langkah tepat diambil oleh pihak kerajaan pusat. Diharapkan pelan ini akan dapat membantu mempercepatkan proses formalisasi, terutamanya bagi perniagaan yang diusahakan di kawasan luar bandar dan oleh kumpulan isi rumah berpendapatan rendah, belia, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU).

Teroka pasaran industri Halal

Penembusan pasaran halal untuk produk makanan kini bukan lagi menjadi halangan kepada PMKS dengan adanya platform E-Dagang. Bagi pasaran rentas negeri dan serantau, pengusaha PMKS boleh memberikan tumpuan kepada pemasaran melalui platform seperti Shopee dan Lazada. Untuk melebarkan lagi skop pasaran, PMKS boleh menerokai platform global seperti Amazon dan Alibaba.com.

Di samping itu, pengusaha PMKS berasaskan makanan yang berdaftar perlu dibantu oleh pihak berkuasa di peringkat negeri dari segi kewangan dan khidmat nasihat untuk memperoleh persijilan Halal. Ini adalah bertujuan untuk membantu meningkatkan dan menyeragamkan kualiti produk. Dengan sistem persijilan Halal Malaysia yang diakui global, produk dengan logo Halal akan lebih mudah diterima pembeli Muslim di luar negara.

Tidak ketinggalan juga untuk pelancongan, peluang untuk pengusaha PMKS berasaskan produk agropelancongan dan ekopelancongan menerokai pasaran Halal sangat tinggi.

Keseluruhannya, strategi penstabilan Ringgit kini perlu beralih kepada dimensi baharu melalui peningkatan kawalan dalaman dengan PMKS diangkat sebagai kunci peralihan. Kebergantungan kepada perubahan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sahaja tidak lagi boleh dijadikan pilihan utama disebabkan kesan rantaian yang akan dibawa oleh dasar tersebut kepada rakyat.

--BERNAMA

Dr Chakrin Utit ialah Pensyarah Kanan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)