PENA WANITA

BENDUNG SENTIMEN 3R YANG MEROSAKKAN PERPADUAN

25/09/2023 09:30 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Atriza Umar

Usaha doktrinasi oleh mereka yang fanatik atau taasub terhadap sesuatu ikutan perlu dibanteras dengan segera. Jika tidak, situasi negara tentunya bakal terancam oleh sebab isu-isu atau perkara yang ditimbulkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab bagi membenarkan apa yang pihak mereka cetuskan.

Fenomena ini tidak boleh dianggap biasa dan dibiarkan begitu sahaja. Jika berterusan berlaku, ia akan mendatangkan ‘virus’ negatif yang berpanjangan kepada masyarakat dan mampu mencetuskan tragedi yang tidak diingini. Malah, kemakmuran dan kestabilan negara serta usaha pembangunan akan terjejas jika sentimen-sentimen yang menyentuh isu agama, kaum dan raja (3R) dibiarkan berlarutan, semakin disensasi dan dipolitikkan.

Sebagaimana kata Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Malaysia akan terus terumbang-ambing sekiranya perkara berkenaan dibiarkan berlarutan. “Tindakan segelintir pihak yang memainkan sentimen sensitif dan membangkitkan isu 3R demi mempertahankan kuasa sebagai langkah terdesak."

Beliau berkata, ia perlu ditangani segera untuk mempertahankan keselamatan negara kerana ada orang tertentu yang merasakan kedudukan mereka terlalu hebat.

"Kita tidak boleh lagi begini. Kita tidak boleh lagi pandang kedudukan, pangkat atau kekayaan. Kalau begini ia boleh merosakkan. Ini sangat serius," katanya.

Tiada kebebasan mutlak

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pada Jun lepas memberi amaran kepada semua pihak agar tidak menyebarkan sentimen atau bahan yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan raja (3R). Beliau berkata tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang didapati berbuat demikian tanpa mengira daripada mana-mana kumpulan.

"Saya beri peringatan dan amaran tegas kepada semua, jangan sesekali membuat sebaran bersifat 3R. Jika kamu buat, maka bersedialah berhadapan dengan pihak berkuasa dan undang-undang Malaysia,” katanya.

Menurutnya, demokrasi negara tidak seharusnya dicemarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab atas alasan ia merupakan hak dan kebebasan bersuara. Apa yang pasti, dalam dunia hari ini, kebebasan bersuara harus diraikan, namun pada masa sama, wajib diingat tidak ada kebebasan yang mutlak.

Bendung segera

Sultan Perak, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah juga pernah bertitah kepada Ahli-ahli Dewan Negara dan Orang Besar Jajahan (OBJ) untuk berperanan proaktif membantu usaha preventif dan membendung isu-isu yang menyentuh kaum, agama dan raja (3R). Ini termasuklah dengan mendampingi jawatankuasa dan pegawai masjid, selain sering mengadakan pertemuan dan perbincangan dalam jajahan masing-masing untuk berusaha ke arah menyatupadukan rakyat.

“Usaha menghindarkan perkara itu daripada berlarutan wajib dirintis dan langkah tegas membendungnya perlu dilaksanakan,” titah baginda ketika hadir Mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke -172 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Dalam pada itu, perkara menyentuh 3R yang disensasikan hendaklah segera dipersembahkan ke pengetahuan baginda serta mendapatkan nasihat baginda terlebih dahulu.

"Jika berlaku (3R), hendaklah segera dipersembahkan ke pengetahuan Beta, dan mendapatkan nasihat Beta jika perlu dilaporkan kepada pihak-pihak berkuasa dan badan perundangan.”

Titah baginda lagi, generasi remaja semakin menjadi komponen terbesar rakyat di negara ini yang mana mereka wajib diberikan bimbingan untuk menjadi warga berharga kepada negara bangsanya termasuk dengan memainkan peranan di sekolah.

“Justeru semua OBJ dikehendaki mendampingi diri dengan warga pendidik dan memberi masa menghadiri program kokurikulum di sekolah, membantu usaha menyemarakkan semangat kesetiaan kepada raja dan negara, di samping membantu usaha memupuk perpaduan kaum,” titah baginda.

Baginda bertitah sekolah berperanan penting untuk menyemaikan semangat perpaduan dan semangat kesetiaan kepada raja dan negara.

"Beta turut menyeru OBJ mendampingi golongan remaja dengan mengadakan pertemuan, dialog dan perbincangan dengan pemimpin belia di jajahan masing-masing. Berikan masa untuk menghadiri dan meraikan kegiatan para belia di jajahan masing-masing. Bimbing mereka dengan kata-kata nasihat dan hulurkan bantuan untuk menjayakan kegiatan-kegiatan mereka untuk membolehkan mereka menjadi warga yang berharga kepada negara bangsanya," titah baginda.

Apa yang pasti, tidak ada kebebasan yang mutlak, namun undang-undang sedia ada memadai untuk memastikan ketenteraman awam dan negara tidak terancam. Beberapa undang-undang telah digubal sejak sebelum merdeka lagi bagi memastikan kebebasan ini tidak disalahgunakan.

Jangan play victim

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan mana-mana ahli politik tidak mengambil sikap seolah-olah menjadi mangsa (play victim) sekiranya disiasat pihak berkuasa akibat menyentuh isu sensitif 3R. Beliau memberi peringatan untuk tidak menyentuh isu 3R dan ia sudah ditegaskan berulang kali oleh institusi raja serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

“Orang Melayu ini ada adab, kesopanan terutama yang membabitkan institusi raja. Jadi, kalau itu pun dilakukan juga, jika nanti polis ambil tindakan, reaksi mereka ini akan ‘play victim’ apabila diambil tindakan, seseorang itu akan kata dia menjadi mangsa. Dia kata di Malaysia sudah tiada kebebasan bersuara.” katanya.

Memudaratkan rakyat, negara

Isu yang merosakkan pemikiran rakyat ini bukanlah memudaratkan individu tetapi memudaratkan negara. Ini kerana apabila pelabur-pelabur asing melihat negara ini kucar-kacir, tidak tenang, tidak bagus, mereka tentunya tidak berani melabur di negara ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah memberi amaran tegas kepada mana-mana ahli politik agar tidak memainkan isu 3R. Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan akan diambil kepada semua pihak tanpa mengira parti jika menyentuh isu berkenaan.

Dalam konteks kebebasan bersuara di Malaysia, ia berada di bawah lingkungan kawalan Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Polis 1967, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta beberapa akta lain termasuk Kanun Keseksaan.

Oleh yang demikian, kerajaan seharusnya bersedia berhadapan ledakan digital terutama melalui media sosial yang menyebabkan wujudnya pelbagai golongan seperti pempengaruh (influencer) dan laskar siber (cybertrooper).

Apa yang penting, pihak kerajaan dan pihak berkuasa perlu sentiasa memantau dan segera mengambil tindakan tegas serta yang sewajarnya tanpa kompromi bagi membasmi tindakan yang merosakkan perpaduan rakyat dan imej negara ini.

-- BERNAMA

Atriza Umar ialah Pegawai Jabatan Komunikasi dan Medi, Pertubuhan IKRAM Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)