TINTA MINDA

RAMALAN LANDSKAP PEKERJAAN MASA HADAPAN. BERSEDIAKAH GRADUAN KITA?

02/10/2023 10:41 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Nur Hairani Abd Rahman

Laporan World Economic Forum menekankan bahawa landskap pekerjaan masa hadapan dipengaruhi faktor yang dinamik dan kompleks. Berdasarkan kajian trend tahun 2023, ekonomi, kesihatan dan geopolitik telah mempengaruhi bentuk pasaran buruh global. Keadaan ini memberi implikasi besar khususnya kepada negara yang berpendapatan sederhana dan rendah dalam menyusun strategi memenuhi kehendak pasaran yang tidak menentu.

Pekerjaan masa hadapan sangat berkait rapat dengan sistem pendidikan negara. Hal ini kerana pendidikan diberikan untuk melatih dan menggilap bakat muda sebagai persediaan mereka untuk turut serta dalam pasaran buruh apabila mereka tamat pengajian kelak.

STEM, TVET

Untuk Malaysia, dasar pendidikan negara pada ketika ini memberi tumpuan kepada pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013-2025), Pendidikan STEM ditekankan dalam pelbagai aspek dan aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum untuk memikat lebih ramai pelajar mendalami STEM. Inisiatif yang dilaksanakan ini dilihat wajar dengan kehadiran Industri 4.0 untuk melahirkan generasi yang mahir dan cekap dalam bidang sains dan teknologi.

Persoalannya, adakah ini strategi yang betul? Apakah yang sedang kita rencanakan pada hari ini dapat menepati kehendak dan keperluan pasaran buruh pada masa hadapan? Berdasarkan kepada beberapa kajian, didapati ia menghasilkan dapatan yang berbeza dan menarik untuk diteliti.

Fakta menarik dari pada Zippia.com, antaranya menunjukkan bahawa menjelang tahun 2030: (i) 85 peratus pekerjaan semasa tidak akan wujud pada 2030, (ii) sektor automasi berpotensi untuk menghapuskan 47 peratus pekerjaan (di Amerika Syarikat) atau bersamaan 73 juta pekerjaan, dan, (iii) 37 peratus pekerja akan berkerja dari rumah. Ini menyebabkan berlakunya perubahan drastik terhadap sektor pendidikan dalam menghasilkan graduan yang dapat memenuhi keperluan pasaran.

Selain itu, data dari Gartnet.com pula menunjukkan bahawa peningkatan kemahiran dan ketangkasan digital akan mengatasi tempoh dan pengalaman. Fakta ini merupakan satu berita baik untuk graduan kita memandangkan kebanyakannya tidak mempunyai atau mempunyai pengalaman yang sangat mininum untuk menyertai sektor pekerjaan seusai tamat pengajian. Satu lagi fakta menarik yang di kongsi Gartnet.com, mesin pintar akan menjadi rakan sekerja kita pada masa hadapan. Nampak menarik namun mencabar kewibaan manusia dalam urusan pekerjaan untuk bersaing dengan mesin pintar. Persoalannya, mampukah graduan kita bersaing dengan mesin pintar?

Dapatan terakhir daripada Garnet.com adalah keseimbangan kerja dan kehidupan terutama sekali dalam sistem bekerja dari rumah. Sewaktu pandemik, banyak isu yang diutarakan tentang keseimbangan kerja dan kehidupan memandangkan kita sudah mempunyai pengalaman ini. Namun, adakah graduan kita berupaya untuk mencapai keseimbangan ini memandangkan kesihatan mental dan fizikal bergantung kepada setiap individu. Justeru, apa yang perlu kita lakukan dalam menyediakan graduan yang mampu mendepani cabaran tersebut?

Dapatan daripada kajian tempatan juga menarik untuk diberi perhatian. Contohnya, Laporan Critical Occupations List (MyCOL) 2022/2023 menunjukkan bahawa terdapat beberapa cabaran yang harus diberi perhatian. Antaranya, kurang pekerja mahir, ketidakpadanan pekerjaan dengan bidang yang dipelajari dan kesukaran dalam pengekalan bakat. Cabaran ini harus ditangani segera bagi memastikan pasaran buruh Malaysia yang dinamik dapat dikawal dengan strategi bersesuaian dan boleh memberi keuntungan kepada pekerja atau graduan dan industri.

Kesimpulannya, landskap pekerjaan pada masa hadapan berlainan dengan yang sedang kita alami. Mungkin kita sudah mula melakukan sedikit persediaan untuk mempersiapkan graduan menempuh dunia masa hadapan yang kritikal dan dinamik menerusi kursus dan program di universiti. Namun, keupayaan graduan kita masih belum teruji. Keadaan ini sememangnya memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak terutama sekali universiti, industri, graduan dan pihak berkepentingan lain untuk membantu melahirkan graduan generasi hadapan yang berdaya saing dan berdaya tahan dalam pasaran buruh yang mencabar dengan kepesatan perkembangan teknologi.

--BERNAMA

Dr Yong Zulina Zubairi adalah Pendaftar di Universiti Malaysia. Beliau juga merupakan ahli penyelidik bagi projek Addressing the Future of Work: Policy and Stakeholders’ Response on Graduate Employability since the Pandemic.

Dr Nur Hairani Abd Rahman merupakan Pensyarah Kanan dalam bidang dasar awam di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya. Beliau juga merupakan ahli penyelidik bagi projek Addressing the Future of Work: Policy and Stakeholders’ Response on Graduate Employability since the Pandemic.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)