TINTA MINDA

TINGKATKAN KESIHATAN MASYARAKAT, MULA DENGAN MAKLUMAT TEPAT DAN SUMBER SAHIH

01/11/2023 09:08 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Wan Norshira Wan Mohd Ghazali

Baru-baru ini, berita penularan penyakit X telah memenuhi ruang media dan menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.

Perkara ini diakui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah mengambil langkah bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan ancaman penyakit X di negara ini.

Berpandukan kepada pengalaman lepas dalam menghadapi COVID-19, usaha keras ini bukan sahaja diperlukan dari pihak berkuasa, malah kerjasama rakyat dalam mematuhi arahan dan undang-undang sangat penting.

Justeru, masyarakat seharusnya sentiasa peka dengan maklumat berkaitan penyebaran penyakit ini melalui medium yang boleh dipercayai. Masyarakat tidak mahu sejarah berulang dengan mempercayai berita palsu yang tidak diketahui sumber. Isu komunikasi yang telah lama wujud itu menyumbang kepada infodemik yang timbul seiring dengan kemunculan wabak, terutamanya COVID-19.

Penyebaran maklumat itu bukan sahaja berkisar tentang penyakit yang menimbulkan panik, malah maklumat palsu berkaitan vaksin bagi menangani penyakit berjangkit turut sama digembar-gemburkan tanpa asas.

Inilah masalah yang dihadapi pada zaman berteknologi canggih ini. KKM bukan sahaja perlu mengawal penyebaran penyakit, sebaliknya mereka juga harus membendung penularan berita tidak sahih dan cerita yang menakutkan.

Kesan buruk penyebaran berita palsu

Terdapat pelbagai kesan buruk yang berpunca dari penyebaran berita palsu berkaitan penyakit berjangkit. Antaranya adalah penyebaran berita keburukan vaksin yang telah menimbulkan salah faham dan panik.

Kajian sebelum ini menunjukkan, akibat daripada salah faham terhadap vaksin, orang ramai menolak vaksin untuk anak mereka. Perkara ini bukan sahaja menyebabkan penyakit terus menular, malah terdapat banyak kes kematian melibatkan kanak-kanak.

Perkara itu tidak asing dan berlaku seluruh dunia yang mana Malaysia juga tidak terkecuali mendapat kesannya. Sejak 2018, Malaysia telah merekodkan peningkatan pelbagai penyakit berjangkit termasuk demam campak, polio dan batuk kokol. Penyakit itu berjaya dikawal di Malaysia selama 27 tahun, namun kembali menular pada 2019. Perkara itu sedikit sebanyak mendorong kedegilan sesetengah masyarakat yang tidak mahu menerima vaksin kerana lebih mempercayai maklumat tidak sahih.

Stigma masyarakat mengenai vaksin

Contoh terkini sewaktu pandemik COVID-19, ramai masyarakat takut untuk mendapatkan vaksin ketika ia mula diperkenalkan. Pelbagai stigma ditimbulkan dan disebar tanpa kawalan oleh pengguna media sosial sehingga menyebabkan orang ramai enggan divaksin.

Terdapat pelbagai cara digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab ini, antara lainnya dengan menyalahgunakan agama untuk mencipta, mempromosi, dan menimbulkan salah faham hal berkaitan penyakit dan vaksin.

Justeru, masyarakat disarankan untuk belajar daripada pengalaman lepas serta lebih matang dalam menangani penyakit yang baharu atau bakal muncul dengan mengambil langkah lebih berhati-hati dalam menerima mahupun menyebar maklumat.

Seperti mana masyarakat harus kekal sihat demi kemaslahatan semua, mereka juga harus membendung penyebaran berita palsu atas dasar tanggungjawab terhadap agama.

Mungkin ada dalam kalangan masyarakat yang masih ragu-ragu akan keberkesanan vaksin untuk memerangi pandemik COVID-19, namun berdasarkan kejayaan vaksin dalam memerangi wabak terdahulu ia tidak mustahil.

Cara kenal pasti berita palsu dan tidak sahih

Sebagai langkah untuk membendung masyarakat daripada terpedaya dengan maklumat palsu berkaitan penyakit berjangkit mahupun vaksin yang diguna untuk mengawalnya, masyarakat dinasihatkan untuk sentiasa meneliti fakta sebelum mempercayai sesuatu maklumat.

Sebagai contoh, signal utama untuk menentukan kesahihan maklumat adalah dengan mengetahui siapakah sumber asal maklumat tersebut. Kebanyakan berita palsu disebar oleh individu yang tidak diketahui identitinya. Penyebar biasanya tidak menunjukkan wajah mahupun nama sebenar.

Jika maklumat yang disebar dalam bentuk suara melalui aplikasi WhatsApp pula, kebanyakannya tidak menyatakan nama, jawatan, atau organisasi pemilik maklumat berkhidmat.

Secara asasnya, jika penyampai maklumat adalah benar, mereka tidak perlu takut dan tidak akan menyembunyikan identiti mereka. Namun, maklumat tersebut tidak melalui individu berkredibiliti, masyarakat masih perlu berwaspada kerana sumber maklumat mungkin dimanipulasi fakta daripada maklumat asal.

Terdapat juga maklumat tidak sahih dalam bentuk penulisan dan video yang disebarkan secara berantai yang biasanya diterima dari ahli keluarga atau kenalan terdekat. Jika perkara seperti itu berlaku, penerima tidak seharusnya menyebarkannya bagi memastikan sebaran maklumat itu terhenti.

Antara cara lain bagi mengenal pasti berita palsu adalah cara penyampaian yang dilakukan sehingga menimbulkan rasa takut dan bimbang. Maklumat tersebut berupaya memainkan emosi masyarakat agar mudah diterima. Kebanyakan maklumat sebegini adalah dari sumber yang sama, diubah beberapa kali kepada pelbagai bentuk penyampaian dan cara.

Kecanggihan teknologi terkini, rujuk sumber bertauliah

Kecanggihan teknologi masa kini turut menyumbang kepada kekeliruan ini. Contohnya, penggunaan grafik tertentu serta logo yang menyerupai sumber media ternama boleh menyebabkan kekeliruan sekiranya tidak berhati-hati dalam meneliti maklumat yang diterima.

Tidak kira apa jua bentuk maklumat tidak sahih yang disebarkan, apa yang dapat disimpulkan adalah, maklumat tersebut digunakan untuk mempengaruhi masyarakat agar tidak mengambil vaksin yang mana ia bertentangan dengan saranan kerajaan dan KKM.

Apa yang harus dilakukan jika anda menerima maklumat sebegini? Sekiranya anda menerima maklumat seperti ini, perkara pertama adalah untuk mengabaikannya.

Namun, jika maklumat tersebut mengganggu emosi dan mempengaruhi anda, hendaklah merujuk kepada individu bertauliah bagi menyemak kesahihannya, sebagai contoh doktor atau portal sebenarnya.my.

Terdapat juga usaha dari badan organisasi bukan kerajaan untuk menghentikan penularan berita palsu berkaitan vaksin dan penyakit berjangkit melalui platform National Academies yang dapat dijadikan rujukan.

Melalui sumber itu, masyarakat dapat mengelak daripada menjadi ejen penyebaran berita tidak sahih. Yang jelas, jika tidak pasti akan sesuatu maklumat, jangan dikongsi!

Seterusnya, masyarakat perlu menggunakan kemudahan komunikasi dengan bertanggungjawab. Biasakan diri untuk membaca akhbar arus perdana serta mengikuti perkembangan semasa dengan menonton berita di televisyen.

Kecanggihan pada hari ini mungkin sedikit sebanyak mengelirukan, namun selagi mana masyarakat mempunyai nilai tanggungjawab, penyebaran maklumat palsu pasti dapat dibendung.

-- BERNAMA

Dr Wan Norshira Wan Mohd Ghazali ialah Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Moden dan Komunikasi, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)